Oct 29, 2008

MAJLIS PENGHARGAAN PENTAZKIRAH RAMADHAN 1429H

29 Oktober 2008 / 29 Syawal 1429H, Bintulu : Alhamdulillah, pada malam tadi telah berlangsung majlis penghargaan untuk para pentazkirah sempena Program Penghayatan Ramadhan Al-Mubarak 1429H. Majlis ini dianjurkan oleh JAKSA dengan kerjasama JAIS dan BIC. Program ini diadakan di bangunan JAIS cawangan Bintulu. Kehadiran jemputan amat menggalakkan. Program bermula pada pukul 8.00 malam yang dipengerusikan oleh Ustaz Mohd Siroj bin Abdul Latiff. Pengisian majlis pada malam itu ialah ucapan daripada En Abdul Mu'in bin Abdul Kassim dan seterusnya Ustaz Khalifah bin Juli diikuti oleh tazkirah ringkas daripada Ustaz Ahmad Mukkarom bin Hilal. Kemudian diikuti dengan penyampaian sijil dan cenderamata kepada pentazkirah yang disampaikan oleh En. Abdul Mu'in bin Abdul Kassim dan Ustaz Khalifah bin Juli.

Tujuan majlis ini diadakan ialah untuk memberi penghargaan kepada para pentazkirah yang sedia dan sudi untuk menyumbang tenaga, idea dan fikiran untuk pembangunan ummah. Mudah-mudahan para pentazkirah akan dapat terus istiqamah untuk menyampaikan ceramah dan tazkirah pada masa akan datang. Insya Allah.

Pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ustaz Mohd Siroj dan rakan-rakan daripada JAKSA dan BIC yang mengatur dan menyusun para pentazkirah untuk turun di enam lokasi utama untuk memberi tazkirah kepada jemaah. Bukan kerja senang untuk menyusun atur perjalanan tazkirah dan menetapkan jadual tazkirah kepada para ustaz dan jurutera kerana jadual di tempat kerja yang padat. Bukan setakat malam, bahkan waktu siang juga kena bertazkirah (waktu zohor). Apa pun inilah sumbangan yang dapat diberikan untuk ummah.

Pihak kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Jabatan Agama Islam Sarawak Bahagian Bintulu terutama kepada Ustaz Khalifah bin Juli, Penasihat JAKSA yang terdiri daripada En. Abdul Mu'in bin Abdul Kassim, Ustaz Ahmad Mukkarom bin Hilal, En Shafian bin Japar, Ustaz Ubaidillah bin Abdul Hamid dan Tuan Haji Kadir bin Jaya. Semoga gandingan para penasihat dan dibantu oleh jawatankuasa yang dibentuk mampu untuk melaksanakan dan meningkatkan lagi program-program berbentuk pembangunan modal insan pada masa akan datang.

Ucapan terima kasih juga kepada semua pengerusi-pengerusi masjid antaranya Masjid Darul Hidayah, Masjid Assyakirin, Masjid Daerah, Masjid Jepak, Surau Attaqwa, Surau RPR Kidurong dan Surau Sungai Plan. Insya Allah pada masa akan datang kita akan mengatur dan memperbanyakkan program-program yang seumpama ini dengan lebih baik lagi.

Sesungguhnya, aktiviti sepanjang Ramadhan 1429H amat memberi ingatan dan kesan kepada masyarakat muslim di Bintulu. Insya Allah, bersama-samalah kita berdoa agar kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang telah kita tinggalkan pada tahun akan datang. Insya Allah.

Gambar program " MAJLIS PENGHARGAAN PENTAZKIRAH RAMADHAN 1429H " yang berlangsung di bangunan JAIS pada 29 Oktober 2008 ( Rabu ) bersamaan 29 Syawal 1429H.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Salehuddin bin Abu Samah

Antara pentazkirah yang hadir ke majlis tersebut

Encik Abdul Mu'in bin Abdul Kassim menyampaikan amanat dan harapan kepada semua pentazkirah

Ustaz Khalifah bin Juli, Pegawai JAIS memberi sokongan kepada BIC dan JAKSA untuk mempelbagaikan program pada masa akan datang

Oct 24, 2008

Majlis Ramah Tamah Aidil Fitri BIC 1429H

Oct 23, 2008

RAMAH TAMAH AIDILFITRI BIC MERIAH

Suasana sekitar program " Ramah Tamah Aidilfitri BIC "

Hj Jaafar turut serta memeriahkan suasana ramah tamah Aidilfitri BIC.
Hj Jaafar baru sahaja menjalani pembedahan tulang belakang,
lihat talipinggang yang dipakai.


Pada 19 Oktober / 19 Syawal 1429H bersamaan hari Ahad, BIC telah berjaya menganjurkan program ramah tamah Aidilfitri bersama - sama dengan keluarga pelajar-pelajar BIC dan masyarakat Kidurong. Kehadiran di anggarkan seramai 200 orang benar-benar mencapai sasaran pihak penganjur.

Antara pengisian sepanjang program ini berlangsung ialah bacaan Yassin dan tahlil, ucapan alu-aluan pengerusi BIC, tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Abd Halim selaku penasihat BIC dan penerangan tentang peranan BIC dan tayangan aktiviti-aktiviti BIC yang telah dianjurkan.

Pihak pengurusan BIC yang mengendalikan program ini amat berterima kasih kepada semua ibubapa yang telah sudi hadir untuk bersama - sama memeriahkan program ini dan bersuai kenal di dalam memastikan aktiviti dakwah dapat dikongsi bersama. Mudah-mudahan program seumpama ini akan dapat diteruskan untuk masa akan datang.

Kepada semua yang membekalkan makanan dengan pelbagai aneka makanan dari pelbagai negeri benar-benar menarik perhatian para pengunjung, pihak kami mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih.

Akhirnya, saya mewakili pihak pengurusan BIC memohon kemaafan di atas segala kekurangan dan kesilapan semasa majlis ini dijalankan dan aktiviti lain yang pernah diadakan di BIC.

" BERAMAL KERANA ALLAH "

Ust Ibrahim
Pengerusi
Bintulu Iqra' Center
Kidurong

Sahabat BIC bersama dengan akhi Faiz Sahri, salah seorang aktivis dakwah di Bintulu

Akhi Syahrizal menikmati jamuan bersama rakan-rakan

Akhi Firdaus bersama - sama dengan adik-adik UPM

Ibu-ibu juga turut serta bersama - sama memeriahkan program BIC

RAMAH TAMAH AIDIL FITRI BIC 1429H




Tanggal 19 October 2008 bersamaan 19 Syawal 1429H, Bintulu Iqra Center sekali lagi berjaya menganjurkan Ramah Mesra Aidil Fitri 1429H yang telah dijalankan di Pejabat BIC iaitu di Kidurong. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dengan kehadiran orang ramai yang memberangsangkan. Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil dan yasin diketuai oleh Pengurus BIC iaitu Ustaz Ibrahim. Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada guru j-Qaf yang telah melangsungkan perkahwinan baru-baru ini. Setelah selesai, majlis diteruskan dengan jamuan. Pelbagai juadah terhidang yang menjadi santapan tetamu yang hadir.

Oct 17, 2008

MAJLIS RAMAH TAMAH AIDILFITRI 1429H

Oct 15, 2008

HASLINA SALUDIN TELAH KEMBALI KE RAHMATULLAH

Sewaktu menerima Diploma KPLI j-QAF di Putrajaya


Ustazah HASLINA BINTI SALUDIN telah kembali ke rahmatullah pada pukul 7.30 pagi 14 Oktober 2008 bersamaan 14 Syawal 1429H di Hospital Temerloh. Allahyarhamah telah disahkan meninggal dunia disebabkan penyakit kanser yang dideritai sekian lama. Namun demikian Allah lebih menyayangi dan telah menjemput allahyarhamah ke hadratnya pada usia 29 tahun ( 1979 – 2008 ).


Allahyarhamah merupakan seorang guru j-QAF kohort 2005 yang pernah bertugas di SK Jepak, Bintulu. Sepanjang kami mengenalinya, beliau amat aktif dan sering menyumbang tenaga untuk program – program kebajikan khususnya motivasi. Kali terakhir beliau menyumbangkan tenaganya untuk Program Kem Remaja Harapan di UPMKB.


Sesungguhnya IKATAN j-QAF amat terasa dengan kehilangan allahyarhamah, memandangkan komitmen kepada Jawatankuasa Kebajikan guru – guru j-QAF amat tinggi sekali.


Mudah – mudahan Allah akan menerima segala amal kebaikan dan kebajikan yang telah ditabur untuk murid – murid yang pernah dididik dan diajar khususnya di dalam membaca al-Quran , Kem Bestari Solat dan tidak ketinggalan kepada sumbangan beliau untuk masyarakat di Kampung Jepak khususnya kaum ibu.


Moga-moga Allah akan mengampuni segala kesalahan dan kesilapan semasa berada di bumi Allah ini.


Untuk itu, satu MAJLIS BACAAN YASSIN DAN TAHLIL ke atas roh allahyarhamah akan diadakan pada 19 OKTOBER 2008, JAM 8.30 PAGI DI BINTULU IQRA’ CENTER. Semua sahabat handai yang mengenali beliau amat – amat di alu – alukan untuk hadir ke BIC pada tarikh dan masa tersebut.


IBRAHIM BIN MAT ISA

PENGERUSI

IKATAN GURU j-QAF

BINTULU

Oct 10, 2008

PUASA SUNAT SYAWAL

Puasa Sunat Enam Syawal
Persoalan Puasa Sunat Sebelum Puasa Qadha
Dan Puasa Qadha Digabungkan Dengan Puasa Sunat

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الأمين، وعلى آله وصحبه أجمعين

Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari Isnin dan Khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (Hari Arafah, ’Asyura’ dan Enam Hari Dalam Bulan Syawal).

Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah Rodhiallahu ‘Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sollallahu ’Alaihi Wa Sallam bersabda, Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman (dalam hadis Qudsi):
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ... وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ )) رواه مسلم
Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah SAW menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151]
Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan tentang keutamaan puasa sunat.

Abu Said Al-Khudri R.A berkata: Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا )) رواه البخاري))

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah SWT menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih Al-Bukhari no: 2840]

Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Bersempena dengan bulan Syawal ini, artikel ini akan membincangkan tentang puasa sunat ini.

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.

Abu Ayyub Al-Ansari R.A berkata: Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ)) رواه مسلم.))

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari pada bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].

Di dalam hadis ini Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wa Sallam menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.
Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Ta'ala maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.

Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal.

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.
Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah SWT, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Kerana itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangkan pada bulan lain Allah SWT dilupai”.

Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.

Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi Rahimahullah: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam asy-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah R.A berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ" رواه مسلم

Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.”
[Sahih Al-Bukhari no: 1991].

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.

Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama’ ialah:

1- Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Hal ini kerana apabila Rasulullah SAW menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.

Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah SWT:

وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
[آل عمران: 133]

Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.”
[Surah Aali Imran:133]

2- Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.

Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Ada dua pendapat ulama’ dalam masalah ini.

Pendapat Pertama:
Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah Radhiallahu 'Anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang.
Aisyah ra berkata:

كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلا فِي شَعْبَانَ
قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ ) رواه البخاري

Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAW. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah SAW” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]

Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah SAW, yakni Aisyah R.A, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.

Pendapat Kedua:
Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
Rasulullah SAW mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.
Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah R.A.

Menurut Imam An-Nawawi Rahimahullah, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].

قال النووي في شرح مسلم: "وَمَذْهَب مَالِك وَأَبِي حَنِيفَة وَالشَّافِعِيّ وَأَحْمَد وَجَمَاهِير السَّلَف وَالْخَلَف: أَنَّ قَضَاء رَمَضَان فِي حَقّ مَنْ أَفْطَرَ بِعُذْرٍ كَحَيْضٍ وَسَفَرٍ يَجِب عَلَى التَّرَاخِي، وَلا يُشْتَرَط الْمُبَادَرَةُ بِهِ فِي أَوَّل الإِمْكَان"

Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut].

3- Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam.

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?

Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.

Ada dikalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma’rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]

Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatinya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]

Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Wallahu a’lam.

Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.

Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah SWT dan sangat digalakkan oleh Rasulullah SAW. Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah SAW. Sepatutnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal. Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.

Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah SWT akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Sebagaimana sabda Nabi SAW:

إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا )) رواه البخاري.

Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]

Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah SWT ke jalan yang diredhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal ini dengan sempurna. Seterusnya kita dimasukkan ke dalam golongan orang yang mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Aamin.

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم تسليما إلى يوم الدين


Akhukum,
Abu Anas Madani,
Pondok Sungai Durian.
04 Syawal 1429h- 041008
Posted by Abu 'Ammar Al-Madani

SALAM PENGENALAN BIC

Oct 8, 2008

ZIARAH UKHUWAH KE BRUNEI DARUSALAM

Sahabat BIC mengabadikan kenangan dengan keluarga Mufti Brunei.
Kelihatan tuan mufti dan isteri di apit oleh Haji Ghani

7 Oktober, Bintulu : Beberapa wakil sahabat dari BIC membuat Ziarah Ukhuwah ke Bandar Seri Begawan untuk melihat budaya masyarakat Brunei merayakan Aidilfitri. Alhamdulillah kami dikurniakan tahun ini dengan kesempatan bersolat aidilfitri sebanyak 2 kali. Kali pertama beraya di Limbang, manakala solat kedua di Bandar Seri Begawan. Di sini kami berkongsi catatan sepanjang berada 4 hari di Brunei Darussalam.

  • 30 September : Bertolak dari Bintulu ke Bandar Seri Begawan. Perjalanan mengambil masa 4 ½ jam.Berbuka puasa untuk hari terakhir Ramadhan 1429H di Kg Air Bandar Seri Begawan, bersama – sama dengan keluarga Tuan Haji Yusof. Pada malam itu di Brunei baru hendak melihat anak bulan sedangkan di Malaysia telah pasti raya pada 1 Oktober. Setelah diumumkan keputusan pada malam itu bahawa hari raya jatuh pada hari Khamis. Jadi kami terpaksa merancang untuk menyambut hari raya di Limbang memandangkan di Brunei masih lagi puasa pada 1 Oktober tersebut.
  • 1 Oktober : Kami makan pagi bersama dengan keluarga Haji Yusof. Mereka bersahur, tapi kami mengambil sunat makan sebelum solat aidilfitri. Jam 6.30 pagi, kami bergerak ke Limbang, kalau jalan tak sesak perjalanan kami hanya mengambil masa sekitar 20 minit sahaja. Oleh kerana jalan sesak terutama di pintu masuk sempadan, perjalanan kami memakan masa hampir 1 jam. Kami bersolat di Surau Kg Bakol, nasib baik sempat bersolat, kami berhajat untuk bersolat di masjid besar Limbang, tapi masa tidak mengizinkan untuk kami sampai di sana. Sepanjang hari ini kami beraya di Limbang, ziarah rumah kawan – kawan termasuk rumah Ustaz Zaini ( Penolong Pengarah Dakwah SPPIM ). Petang kami bergegas pulang ke Bandar Seri Begawan untuk bertakbir bersama – sama masyarakat di sana.
  • 2 Oktober : Sekali lagi kami bersolat aidilfitri, kali ini kami bersolat di Masjid Jamek Hasanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan. Terasa amat seronok bilamana dapat berhari raya bersama masyarakat di sana. Setelah selesai bersolat, kami menziarahi keluarga Tuan Haji Yusof di Kampung Air. Ramai sanak saudara berkumpul di sana. Seharian suntuk kami beraya sehingga jam 10 malam. Ramai kenalan – kenalan baru yang kami temui, alhamdulillah.
  • 3 Oktober : Hari terakhir kami beraya di Bandar Seri Begawan. Pagi ini kami beraya di Rumah Mufti Brunei iaitu Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. Peluang berhari raya di rumah beliau , merupakan pengalaman yang paling berharga bilamana dapat berbual – bual dan bergambar bersama keluarga beliau. Selepas itu kami menunaikan solat Jumaat di Masjid Hajah Mariam di Jerudong, selepas solat Jumaat kami pulang ke Bintulu. Alhamdulillah kami selamat sampai pada jam 6.30 petang. Keluarga Abang Ghani pulang pada keesokkan harinya, manakala keluarga Ust Abd Rahim pulang pada hari Ahad.

Begitulah catatan ringkas ini yang sempat untuk dikongsikan bersama – sama, mudah mudahkan syiar BIC telah dapat dikenali oleh orang – orang di Brunei. Insyaallah ada kesempatan dan waktu kita akan buat jaulah ke sana lagi dengan mengatur program – program yang lebih tersusun. Buat keluarga Tuan Haji Yusof, ucapan jazakumullah khairan khathiran diucapkan. Banyak bakti dan sumbangan tuan di dalam membina ukhuwah, ramai lagi rakan – rakan BIC yang ingin bertemu tuan. Mudah – mudahan Allah memberi kesihatan dan rahmat kepada tuan seisi keluarga.

Bersama - sama ini kami sertakan gambar - gambar untuk tatapan semua.

Perjalanan menuju ke Limbang, kelihatan jalan penuh sesak
di pintu masuk Limbang Malaysia


Berhari raya bersama - sama sahabat di Limbang.
Kelihatan Ust Mohd Jais berbaju jubah di hadapan

Hari raya di Brunei,
bersama dengan Imam Besar Masjid Jamek Hasanal Bolkiah

Abu dan Ummu Ierfan di hadapan pintu masuk Masjid Jamek Hasanal Bolkiah

Suasana beraya di Kampung Air

Di hadapan Masjid Omar Ali Saifuddin

Mufti Brunei berdoa agar IERFAN menjadi ulamak

Gambar kenangan dengan keluarga Tuan Haji Yusof ( berbaju biru sebelah kanan )

Oct 4, 2008

Ucapan Selamat Hari Raya

Ucapan Selamat Hari Raya dari Ustaz Ibrahim, Pengerusi Bintulu Iqra' Center (BIC)

Ucapan Selamat Hari Raya dari Ustaz Sardi, wakil BIC cawangan Sungai Plan


Dari Al-Muhandisah yang ketika ini di Johor, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua muslimin dan muslimat, kepada para 'amilin dan 'amilat BIC, Nisa' Bintulu, JKIM MLNG dan JASA ABF, juga tidak dilupakan kepada PETRONita dan Aunty Min & Hj Nasur Sekeluarga.. Juga kepada seluruh ahli biro Wanita Darul Hidayah.. Selamat Hari Raya 'Aidilfitri, selamat kembali kepada fitrah dan Maaf Zahir Batin andaikata diri ini ada menyinggung hati.. Wassalam

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Free Blogger Templates | Walgreens Printable Coupons