Jan 1, 2015

PRAY FOR PANTAI TIMUR

JOM BANTU MANGSA BANJIR..

Salam semua,
Insya Allah mulai saat ini misi segera adalah mendapatkan sumbangan untuk dihantar terus kepada mereka yang terlibat dengan bencana banjir di kawasan pendalaman di Kelantan. Masih banyak lagi barangan dan sumbangan yang belum sampai ke tangan mangsa banjir dan kami memerlukan segala jenis bantuan untuk membantu mereka.

Anda boleh bantu sumbang dengan hubungi BINTULU IQRA' CENTER di 012-8059090. Kepada yang memberi arahan dan cadangan kepada kami supaya ke situ dan ke sini, saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan saya secara rendah hati menawarkan kepada anda, apa kata, jom turun bersama-sama mengharungi apa yang kami dan sukarelawan lain harungi.

Kalau tak boleh, jangan sumbang tengok dan sumbang kutuk, itu sumbangan yang agak sumbang. Sumbangan berserta doa amatlah diperlukan sekarang oleh banyak mangsa. Kita ajak ini bukan pasal kita bagus tetapi mengajak kepada kebaikan memang tuntutan agama. Baca dan faham maksud Surah Al-Asr.

Selamat menyambut Maulidul Rasul SAW kepada semua .Fitnah iblis bila ada yang mengatakan program mengajak orang mendekati Allah swt dan Rasul saw adalah pembaziran. Tidak ada pembaziran di dalam usaha menyatukan ramai orang serta membawa orang mendekatkan diri kepada Tuhan dan Rasul saw. Ini yang patut dilakukan oleh mereka yang menjadi pemimpin tidak kisah dari parti mana atau jawatan mana. Atau yang pernah memegang mana-mana jawatan apatah lagi jika dalam bidang pendidikan.

Kejatuhan moral semakin dahsyat. Statistik yang pernah dibuat oleh para akademik sendiri beberapa tahun lepas menunjukkan percentage anak muda yang solat adalah tidak sampai 30% peratus. Kita tidak boleh tunggu mereka dapat hidayah untuk datang ke masjid tetapi kita perlu adakan pendekatan-pendekatan yang akan menarik mereka mendekati majlis ilmu dan mudah-mudahan bila mereka semakin suka dengan majlis ilmu, di mana-mana pun mereka akan mula mendekati masjid-masjid.

Setiap satu bencana yang datang dariNya selain dari berpunca dari kelemahan kita, tetapi ia tetap dariNya, maka kepada Dialah kita memohon pertolongan.

Allah juga berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 152 maksudnya,

“Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)”.

Ayat ini membuka lebih banyak kesedaran betapa pentingnya kita menyumbang bersama untuk membantu meringankan bebanan mangsa bencana banjir di pelbagai negeri. Satu kutipan sumbangan dibuat untuk tujuan tersebut dan ianya akan dipastikan sampai 100% peratus kepada mangsa banjir.

Jika buat program TV seperti Maharaja Lawak ada kos, buat program muzik muzik pun ada kos, buat program Jom Heboh pun ada kos, buat program ceramah politik pun ada kos, buat program yang baik pun ada kosnya.

Bencana bila datang pun lebih banyak kos.

Apakah kos yang anda sanggup bayar untuk menyatukan ummat?
Apakah kos yang anda sanggup bayar untuk menyelamatkan Iman anak-anak anda?
Apakah kos yang anda sanggup bayar untuk mendekatkan lebih ramai kepada Allah swt dan Rasul saw?
Semua orang ada keutamaan masing-masing dan bila ada insan yang cuba berusaha mendekatkan lebih ramai orang kepada kebaikan, jangan kita pula menjadi seperti iblis yang membisikkan keraguan atau menghalang kebaikan. Dalam masa yang sama, ia takbur dengan diri sendiri merasakan dia yang terbaik, sedangkan dia juga adalah makhluk kepada Allah Yang Maha Berkuasa.

Bagi anda yang masih ingin menyumbang wang kepada mangsa banjir, anda boleh menyumbang dengan menghubungi Bintulu Iqra' Center di 012-8059090.

Bencana demi bencana, musibah demi musibah Allah swt datangkan. Masa untuk kita bersatu, bersama dan bermunajat kepadaNya dengan berkat Rasulullah saw kekasihNya, mudah-mudahan doa kita semua diterima.

p/s: Daripada berkongsi perkara-perkara yang boleh menimbulkan murka Allah, marilah kita perbanyakkan Istighfar, kerana dengan Istighfar akan menolak azab dan bala Allah. Firman Allah, “Dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun)”. [Al-Anfaal:33]

Ustaz Ahmad Muzakir Ahmad Shukri
Pengerusi Bintulu Iqra' Center.

0 Komen:

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Free Blogger Templates | Walgreens Printable Coupons