Dec 7, 2007

[saifulislam.com] Di Mana Janji Kita

Dipetik dari Saifulislam.com

Di Mana Janji Kita?November 25th, 2007 by Abu Saif 2,299 Views

Saiful Islam sibuk memberi swan makan
“Balik Malaysia nanti, kita kena pastikan yang sebulan sekali kita kena pergi taman macam ini”, saya masih ingat pada perbualan saya dan isteri petang itu di belakang Hospital Naas.
Suasana musim panas di Naas sungguh nyaman. Ramai sungguh pasangan yang membawa anak-anak mereka bersiar di sekitar tasik kecil itu.

NAAS
Hospital Naas terletak di County Kildare, Ireland. Ia merupakan lokasi kerja terakhir isteri saya sebelum kami pulang ke Malaysia pada Julai 2004.

Saif yang baru mencecah usia dua tahun, asyik membaling roti kepada burung undan yang jinak di tasik itu. Petang terasa begitu nyaman bagi kami. Angin dingin bertiup lembut, mentari pula kemerah-merahan merangkak senja. Syukur dengan musim panas yang memberikan siang lebih panjang untuk kami.

Banyak masa untuk bersiar di taman.

Itu rutin biasa saya sekeluarga. Tepat jam 5, saya akan keluar rumah, menyorong Saiful Islam di dalam stroller menuju ke hospital untuk menjemput Ummu Saif yang habis waktu kerja. Sering juga kami singgah ke tasik di belakang hospital, sebelum tiba senja dan malam. Rumah kami hanya 10 minit berjalan kaki.

“Nyah dulu pun masa duduk di UK selalu bawa anak-anak dia ke taman. Banyak gambar mereka semasa di UK, diambil di taman belaka”, kata Ummu Saif, merujuk kepada kakaknya yang lama bermastautin di UK hampir dua dekad lalu. Kakak Ummu Saif adalah isteri kepada Raja Ahmad Aminullah, biras saya, seorang penulis dan seniman yang mempengerusikan Yayasan Kesenian Perak.

“Tentu sahaja. Kalau di London, boleh dikatakan setiap blok rumah, ada taman di hadapannya. Kagum juga abang dengan kesungguhan orang kota London mengekalkan taman mereka”, saya membalas.

“Tetapi bila balik Malaysia, tak ada dah!”, pintasnya mematikan lamunan saya.
Saya terdiam. Ada sedikit perasaan gundah kerana terpaksa mengiyakan kenyataan itu.

Saya tahu di Malaysia suasananya tidak begitu. Menyorong anak-anak ke taman, belum lagi menjadi aktiviti yang melata di kalangan masyarakat. Tetapi saya bukan bimbang kepada trend, sebaliknya khuatirkan peluang untuk berbuat demikian.

Lama saya merantau, rumah dan taman jarang dipisahkan.

BUJANG DI LONDON

Semasa masih bujang dan tinggal di kawasan High Street Kensington, London, tentu sahaja taman yang dekat dengan kediaman saya adalah Kensington Garden, lokasi istana Lady Diana dan salah satu taman tersohor di ibu kota Britain itu.

Masih segar di ingatan saya, gelagat tupai-tupai di taman itu yang berani datang menjamah makanan di telapak tangan, semasa saya duduk mengambil angin di hadapan Royal Albert Hall yang megah itu. Mungkin kerana terlalu asyik dengan pemandangan sekitar, saya telah dilanggar oleh sebuah kereta semasa berbasikal di pinggir kawasan itu!

Malah saya tidak melepaskan peluang membawa keluarga melawat Regent’s Park apabila emak dan abang saya berkunjung ke UK. Taman ini juga memberikan pelbagai nostalgia, khususnya kerana ia bersebelahan masjid terpenting di London. Circle Yusuf Islam dan pendakwah-pendakwah lain rancak mengisi program masjid ini.

Taman bersebelahan, amat sesuai untuk rehat petang selepas Asar berjemaah di Regent’s Mosque itu.

Terhibur juga hati melihat kawan-kawan bertelagah dengan seorang English apabila bola digunakan petang itu, dibaham oleh anjing lelaki itu yang kegeraman. Macam-macam kenangan saya dan rakan-rakan dengan para teman di Hyde Park London, selain pengalaman kami mengikuti siri debat di Speakers’ Corner. Taman berhampiran stesyen Marble Arch itu bukan sahaja indah dengan pemandangan alamnya, bahkan terangsang oleh tradisi ‘kebebasan bercakap’ yang dikekalkan di situ.

Mahu bercakap tentang Islam?

Mahu bercakap tentang Israel?

Mahu bercakap tentang UFO mendarat di belakang rumah?

Hadirin berpindah dari seorang pengucap ke seorang pengucap yang lain. Mereka sahaja yang mengadilinya.

Biar pun Speakers’ Corner sering lucu oleh gelagat manusia pelik di situ, saya juga melihat besarnya impak pentas itu kepada penyebaran dakwah Islam.

Taman bukan sebarang taman.

BELFAST

Apabila saya berpindah ke Belfast dan seterusnya mendirikan rumahtangga, kediaman kami masih juga dekat dengan taman.

Biar pun Wellington Park Avenue adalah jenis stereotype rumah British yang berbatu merah tanpa laman dan tiada pagar, tetapi Botanic Garden tetap menjanjikan dingin dan tenang jiwa.

Saya dan isteri selalu benar bersiar-siar sambil bercerita tentang persiapan menyambut anak sulung yang bakal lahir tidak lama lagi.

Malah ada banyak juga taman-taman lain, termasuk Silent Valley yang indah dan damai… jauh dari hiruk pikuk kehidupan kota. Empangan di tengah lembah yang sunyi itu, sesuai dengan namanya, memberikan kita kepekaan pada mendengar desiran angin, ombak tasik yang berbisik dan sesekali unggas melintas di depan mata.

BERJALAN KAKI

Sesuai juga dengan cuaca dan budaya tempatan, ke mana sahaja kami pergi, selalunya destinasi dituju dengan berjalan kaki. Setakat 30 minit berjalan kaki, jarang sekali kenderaan dipilih sebagai pengangkutan.

Kadang-kadang ke kawasan universiti, tetapi selalu juga kami sekadar mahu ke kedai runcit Asia bagi membeli keperluan harian. Peluang itu kami gunakan untuk menyusul jalan-jalan di celah taman yang indah dan damai itu.

GALWAY

Mungkin tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Galway adalah bandar yang paling mendamaikan. Bukan sahaja ia hijau dengan taman, Galway dilimpahi nikmat dengan banyaknya sungai dan alur jernih yang membelah segenap sudut bandarnya di pinggir Lautan Atlantik itu.

Jika kena musimnya, kita jadi asyik melihat gelagat pemancing berdiri di sungai-sungai, cuba menangkap salmon yang sedang bertarung menongkah arus naik ke hulu dari muara sungai.

DUBLIN

Walaupun saya sekeluarga tidak lama menetap di Dublin, seperti biasa kami tidak melepaskan peluang untuk mencari taman.

Selain Stephen’s Green yang kekal hijau di celah hiruk pikuk kota Dublin, tumpuan kami sudah tentu ke Pheonix Park, iaitu salah sebuah taman terbesar di Eropah yang luasnya lebih 1700 ekar! Apa yang paling menarik di Pheonix Park ini adalah rusa liar yang begitu banyak berkeliaran… pemandangan yang amat sukar untuk dilihat di tempat lain.

Pheonix Park juga menempatkan Dublin Zoo, salah sebuah zoo tertua di dunia yang hingga ke hari ini, masih menjadi tarikan utama pelancong dan penduduk tempatan di ibu kota Irish itu.
Namun, taman yang paling menarik di Dublin, sudah tentu Powerscourt yang pernah menjadi lokasi penggambaran filem The Count of Monte Cristo pada tahun 2002.

Meluangkan masa berjalan-jalan di taman seperti itu sememangnya aktiviti yang penuh makna. Sihat untuk akal, sihat untuk jiwa dan juga iman di dada.

Masakan tidak, rendang pohon hijau dan bunga-bungaan yang mekar, tentu sahaja membekalkan udara yang segar dan bersih untuk santapan tubuh dan badan kami.

Tetapi tenang itu bukan hanya datang dari udara segar dan pemandangan yang indah. Ia lebih dari sekadar realiti yang maaddi (material).

SUATU PERBANDINGAN

Pengalaman duduk di tengah bangunan yang hebat penuh sejarah juga kemodenan, tidak sama dengan nyaman diri semasa duduk di taman. Ketika kita duduk mengadap bangunan hebat seperti Westminster di London atau KLCC di Kuala Lumpur, kita masih dikelilingi oleh ciptaan Allah kerana bangunan itu dibina oleh manusia yang dicipta oleh-Nya. Namun ketika di taman, suasananya nyata berbeza. Kita dikeliling oleh ciptaan Allah yang dicipta dengan ‘tangan’-Nya sendiri. Ciptaan langsung oleh-Nya, pada rupa pada susunan.

Kita tenang dengan alam semulajadi kerana ia ciptaan langsung Allah… justeru membawa kita dekat kepada-Nya. Jika mendekati ciptaan langsung Allah itu mengundang tenang, apatah lagi jika kita mendekati-Nya terus pada zikir dan fikir yang langsung.

Ahh… inilah ubat sakit jiwa dan sakit perasaan paling mujarab. Membawa diri pulang ke asal, yang asalnya dekat dengan Dia.

Kerana itu kami bertekad untuk meneruskan aktiviti berkunjung ke taman.
Balik Malaysia nanti, sebulan sekali, kalau boleh seminggu sekali, bawalah isteri, suami dan khususnya anak-anak bersiar-siar di taman.

Itu janji kami sebelum mengunci pintu rumah di Naas, dan menuju ke lapangan terbang Dublin dengan lambaian perpisahan kepada perjalanan 11 tahun di perantauan.

DI MANA JANJI KITA?

Ya, inilah soalan saya kepada Ummu Saif dan soalan beliau kepada saya.
Melihat anak-anak terkurung di dalam rumah tingkat 11 bak sarang merpati, saya rasa terkilan, bahawa damai yang dikecap sebagai sebahagian hidup kami semasa di Ireland dulu, janjinya tinggal janji. Bukanlah rumah kami tidak berjiran dengan taman. Siapa di Kuala Lumpur yang tidak kenal dengan Tasik Permaisuri?

Tambahan pula selepas Erra Fazira dan Yusri KRU pernah melangsungkan sambutan perkahwinan mereka di taman ini.

Tetapi cabarannya bukan pada mencari sebuah taman. Sulitnya adalah pada masa dan kesempatan. Keluar pagi balik malam, suasana kerja mencuri masa pergi begitu sahaja. Hujung minggu pula terpaksa dibahagi antara kerja Ummu Saif di hospital, dengan jadual ceramah dan mesyuarat yang perlu saya hadiri.

Allah sahaja yang tahu betapa terkilannya saya jika ceramah Sabtu atau Ahad, dihadiri oleh peserta yang acuh tidak acuh, kerana mereka tidak tahu betapa mahalnya setiap hujung minggu saya untuk anak-anak membesar damai dengan ibu, bapa dan Allah Pencipta melalui damai taman dan alam sekitar sentuhan-Nya.

Sedih melihat anak-anak berlari mengelilingi meja rumah, kerana sepatutnya mereka berkejar-kejaran di sebuah taman.

Di mana janji kita? Untuk berdamai di taman… mendekati Dia pada ciptaan langsung-Nya yang kaya itu.

Pandangan saya terkurung dalam catatan diari di sisi jendela besi…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

0 Komen:

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Free Blogger Templates | Walgreens Printable Coupons