Sep 11, 2008

RAMADHAN; FADHILAT DAN IBADAH-IBADAH YANG DITUNTUT DI DALAMNYA


Bismillahirrahmanirrahim

RAMADHAN;
FADHILAT DAN IBADAH-IBADAH YANG DITUNTUT DI DALAMNYA

Tazkirah Ramadhan di Surau JASA ABF, Bintulu, Sarawak.
11 Ramadhan 1429H bersamaan 11 September 2008

Oleh:
Ustaz Abu 'Ammar Al-Madani
B.A (Hons.) Syariah, Islamic University of Madinah
Diploma Pendidikan (KPLI)

FADHILAT (KELEBIHAN) RAMADHAN

1. Firman Allah Taala : “Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan ke atas kamu ibadah puasa sepertimana yang telah difardhukan ke atas umat sebelum kamu semoga kamu beroleh ketaqwaan” (Surah Al-Baqarah, ayat 183)

2. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A: Bahawa sesungguhnya Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda ketika datang bulan Ramadhan: “Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan yang penuh keberkatan, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa, dalam bulan ini pintu Jannah dibuka, pintu Neraka ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini terdapat satu malam yang nilainya sama dengan seribu bulan, maka barangsiapa yang tidak melakukan amalan kebaikan di dalamnya, sesungguhnya dia tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini.”
(Riwayat Ahmad, Nasa’ie dan Baihaqi, hadith sohih)

3. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila pada malam permulaan Ramadhan, syaitan dibelenggu dan jin diikat, seluruh pintu Neraka ditutup dan tidak dibuka walaupun satu pintu, seluruh pintu Jannah dibuka dan tidak ditutup walaupun satu pintu, Selanjutnya ia berkata: ”Dan dalam bulan ini terdapat malaikat yang selalu menyeru: Wahai orang yang selalu beramal kebaikan, teruskanlah amalan kebaikan anda, wahai orang-orang yang berbuat kejahatan, berhentilah daripada melakukan perbuatan jahat . Seruan ini terus dilaungkan sehinggalah akhir bulan Ramadhan.”
(Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Nasa’ie)

4. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, sesungguhnya Nabi Sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: ”Solat lima waktu, Solat Jumaat sehingga Solat Jumaat berikutnya, puasa Ramadhan sehingga puasa Ramadhan berikutnya, akan dapat menutup dosa-dosa (kecil) yang dilakukan di antara keduanya, dengan syarat dosa-dosa besar dijauhi.” (Riwayat Muslim)

5. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru R.A, bahawa sesungguhnya Nabi Sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: ”Puasa dan Qur'an akan memohon syafa’at untuk seseorang yang beramal dengannya pada hari Kiamat nanti. Puasa berkata: Wahai Tuhanku, aku telah mencegahnya daripada memakan makanan dan mengikut runtunan nafsu syahwatnya pada siang hari, maka kurniakanlah kepadaku hak untuk memohon syafa'at baginya. Dan berkata pula Al-Qur'an: Wahai Rabbku, aku telah mencegahnya daripada tidur pada malam hari kerana membacaku, maka kurniakanlah kepadaku hak untuk memohon syafaat untuknya. Maka kedua-duanya diberi hak untuk memohon syafaat.” (Riwayat Ahmad, hadith hasan)

6. Diriwayatkan dari Sahal bin Sa'ad R.A, sesungguhnya Nabi Sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: ”Bahawa sesungguhnya di dalam Jannah itu terdapat sebuah pintu yang disebut "Ar-Rayyaan". Pada hari kiamat nanti akan diseru: Di manakah orang-orang yang telah menunaikan ibadah puasa? (untuk masuk Jannah melalui pintu itu), apabila orang yang terakhir di antara mereka sudah memasuki pintu itu, maka ditutuplah pintu tersebut.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

PENGAJARAN HADITH

Kesemua hadith di atas memberi pengajaran kepada kita, tentang keutamaan bulan Ramadhan dan keutamaan beramal di dalamnya, di antaranya:

1. Bulan Ramadhan adalah:
a. Bulan yang penuh Barakah.
b. Pada bulan ini pintu Jannah dibuka dan pintu neraka ditutup.
c. Pada bulan ini syaitan-syaitan dibelenggu.
d. Dalam bulan ini terdapat satu malam yang keutamaan beramal di dalamnya lebih baik daripada beramal seribu bulan di bulan lain iaitulah malam LAILATUL QADAR.
e. Pada bulan ini, setiap hari terdapat malaikat yang menyeru sesiapa yang berbuat baik agar meneruskan kebaikan tersebut dan yang berbuat maksiat agar menahan diri.(sila rujuk dalil 2 dan 3)

2. Keutamaan beramal di bulan Ramadhan:
a. Amal kebaikan dapat menutup dosa-dosa kecil di antara Ramadhan yang terdahulu dengan Ramadhan berikutnya.
b. Menjadikan bulan Ramadhan sebagai wasilah mendapatkan syafa’at.
c. Khusus bagi yang berpuasa, Allah akan menyediakan pintu khusus yang bernama Ar-Rayyaan untuk memasuki Jannah. (sila rujuk dalil 4,5 dan 6).

IBADAH-IBADAH YANG DITUNTUT DI DALAM BULAN RAMADHAN

1. Menunaikan ibadah puasa dengan sebaik mungkin.

• Menjaga adab-adab puasa
• Melaksanakan perkara-perkara sunat puasa
• Menghindari daripada segala perkara yang boleh merosakkan puasa
Abu Hurairah R.A telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda tentang Ramadhan: ”Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa yang telah lalu.
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e, Malik, Ahmad dan Baihaqi)
Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda bahawa: "Barangsiapa yang berpuasa tetapi tidak juga meninggalkan kata-kata bohong bahkan mempraktikkannya, maka tidak ada nilainya bagi Allah apa yang ia sangkakan sebagai puasa bahkan dia hanya mendapat ganjaran sekadar meninggalkan makan dan minum sahaja " (Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Memperbanyakkan istighfar (memohon keampunan daripada Allah Taala). Memohon semoga Allah Taala menyelamatkan diri daripada dicampakkan ke dalam api neraka.

Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda: ”Sesungguhnya Allah menyediakan tempat-tempat untuk hambaNya yang akan dibebaskan daripada api neraka pada siang dan malam pada setiap hari dalam bulan Ramadhan. Semua orang muslim yang berdoa akan dikabulkan doanya".
(Riwayat Bazzar, Ahmad dan Ibnu Majah, hadithnya sohih)

3. Memperbanyakkan bacaan Al-Quran

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru R.A, bahawa sesungguhnya Nabi Sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: ”Puasa dan Qur'an akan memohon syafa’at untuk seseorang yang beramal dengannya pada hari Kiamat nanti. Puasa berkata: Wahai Tuhanku, aku telah mencegahnya daripada memakan makanan dan mengikut runtunan nafsu syahwatnya pada siang hari, maka kurniakanlah kepadaku hak untuk memohon syafa'at baginya. Berkata pula Al-Qur'an: Wahai Rabbku, aku telah mencegahnya daripada tidur pada malam hari kerana membacaku, maka kurniakanlah kepadaku hak untuk memohon syafaat untuknya. Maka kedua-duanya diberi hak untuk memohon syafaat.”
(Riwayat Ahmad, hadithnya hasan)

4. Memperbanyakkan doa khususnya pada waktu-waktu mustajab

Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sesungguhnya Allah memiliki hamba-hamba yang dibebaskan daripada api neraka setiap siang dan malam dalam bulan Ramadhan. Semua orang muslim yang berdoa akan dikabulkan doanya"
(Riwayat Bazzar, Ahmad dan Ibnu Majah, hadithnya sohih)

Dari Abdulah bin Amr bin Al-'Ash, Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika dia berbuka memiliki doa yang tidak akan ditolak".
(Hadith Riwayat Ibnu Majah, Hakim dan Ibnu Sunni)

5. Berusaha mendapatkan peluang beribadat pada malam Lailatul Qadar

Rasullulah Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda: ”Berusahalah mencari malam Lailatul Qadar pada (malam-malam ganjil) pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan"
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

6. Memberi makan kepada orang yang berbuka puasa

Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda: ”Barangsiapa yang memberi makanan kepada orang yang berbuka puasa, nescaya dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu tadi walaupun sedikit"
(Hadith Riwayat Ahmad,Tarmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan disahihkan oleh Tarmizi)

7. Solat Tarawih pada setiap malam Ramadhan

Abu Hurairah R.A telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda tentang Ramadhan yang artinya: ”Siapa yang mendirikan solat dalam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa yang telah lalu. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasa’ie, Malik, Ahmad dan Baihaqi)

8. *Beri’tikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadhan

Abu Hurairah R.A berkata bahawasanya Rasullulah Sollallahu 'alaihi wasallam sering beri’tikaf pada setiap Ramadhan selama sepuluh hari dan manakala tibanya tahun beliau diwafatkan padanya, beliau beri’tikaf selama dua puluh hari. (Riwayat Bukhari)

* I’tikaf ialah beribadah di dalam masjid dengan mendirikan solat sunat, membaca Al-Quran, berzikir dan sebagainya sama ada dalam tempoh masa yang pendek atau sepanjang hari.

IBADAH-IBADAH LAIN YANG SANGAT DITUNTUT DI BULAN RAMADHAN

• Meningkatkan kesungguhan beribadah pada sepuluh malam terakhir Ramadhan
• Menunaikan kewajipan membayar zakat
• Solat berjamaah di masjid pada setiap waktu solat bagi kaum lelaki
• Bersedekah kepada insan yang memerlukan
• Mempereratkan ikatan sillaturrahim di antara ahli keluarga khususnya ibu, bapa dan ahli keluarga terdekat
• Melaksanakan kerja-kerja dakwah dan kebajikan kepada masyarakat

RUJUKAN:

1) Al-Quran Al-Karim
2) Kitab-kitab Hadith
3) Fiqh As-Siyam oleh Syeikh Yusof Al-Qaradhawi
4) Ahkam As-Siyam oleh Syeikh Muhammad ’Ali As-Shobuni

”Ya Allah, kami memohon keredhaanMu dan ganjaran syurga, ya Allah, kami memohon perlindungan daripada kemurkaanMu dan azab neraka”

Posted by Abu 'Ammar Al-Madani

1 Komen:

muhd_abduhu said...

salam

Pak Leh ..enta dah jadi mursyidul am ka kat srwak ? hehe

org bangi

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Free Blogger Templates | Walgreens Printable Coupons