Jan 6, 2009

PUASA 'ASYURA' MENGIKUT SUNNAH


PENDAHULUAN

Kita telah sampai ke dalam bulan Muharram. Bulan awal yang mulia ini adalah bulan pertama di dalam Kalendar Hijriah. Seperti yang kita sedia maklum, di dalam bulan Muharram inilah ada hari yang telah disunatkan kepada kita untuk berpuasa iaitu puasa hari 'Asyura. Malah, ada petunjuk dari Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam juga memberi galakan untuk berpuasa pada hari kesembilan Muharram.

KELEBIHAN

عن أبي هريرة قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( أفضلُ الصيام بعد رمضان شهرُ الله المحرم ، وأفضلُ الصلاة بعد الفريضة صلاةُ الليل ) وفي رواية: ( الصلاة في جوف الليل )

Daripada Abu Hurairah Radiyallahu'anhu berkata : bahawa Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda : "Seafdal-afdal puasa selepas bulan Ramadhan ialah bulan Allah Muharram dan sebaik-baik solat selepas solat fardhu ialah solat pada malam hari". Di dalam riwayat yang lain "Solat di sepertiga malam"
[Riwayat Muslim no.2812 dan 2813]

GALAKAN BERPUASA 'ASYURA'

عن أبي قتادة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم سئل عن صوم يوم عاشوراء ، فقال : ( يكفر السنة الماضية ) وفي رواية : ( … وصيام يوم عاشوراء أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله )

Daripada Abu Qatadah Radiyallahu'anhu bahawa Rasulullah ditanya akan puasa hari 'Asyura. Maka sabdanya : "ia menghapuskan dosa setahun yang lalu". Didalam riwayat yang lain "..adapun puasa pada hari 'Asyura menghapuskan dosa tahun sebelumnya".
[Riwayat Muslim no. 2803 dan 2804]

Hadith diatas jelas merupakan anjuran Rasulullah kepada umatnya agar berpuasa pada hari kesepuluh di dalam bulan Allah Muharram. Ini dijelaskan pada akan terhapusnya dosa setahun yang lalu iaitu dosa-dosa yang kecil. Majoriti ulama menyatakan bahawa dosa-dosa besar tidak dapat dihapuskan dosanya melainkan dengan bertaubat kepada Allah Ta'ala dan menegakkan hukum hudud terlebih dahulu bagi pesalah yang thabit didalam undang-undang Islam.

HIKMAH PUASA 'ASYURA'

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَدِمَ الْمَدِينَةَ فَوَجَدَ الْيَهُودَ صِيَامًا يَوْمَ عَاشُورَاءَ فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « مَا هَذَا الْيَوْمُ الَّذِى تَصُومُونَهُ ». فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ أَنْجَى اللَّهُ فِيهِ مُوسَى وَقَوْمَهُ وَغَرَّقَ فِرْعَوْنَ وَقَوْمَهُ فَصَامَهُ مُوسَى شُكْرًا فَنَحْنُ نَصُومُهُ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « فَنَحْنُ أَحَقُّ وَأَوْلَى بِمُوسَى مِنْكُمْ ». فَصَامَهُ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ.

Ketika Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wa sallam tiba di Madinah, beliau mendapati orang-orang Yahudi melakukan puasa ‘'Asyura. Kemudian Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam bertanya, “Hari apa yang kamu berpuasa ini?” Orang-orang Yahudi tersebut menjawab, “Ini adalah hari yang sangat mulia. Ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya. Ketika itu pula Fir’aun dan kaumnya ditenggelamkan. Musa berpuasa pada hari ini dalam keadaan bersyukur, maka kami pun mengikuti beliau berpuasa pada hari ini.” Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam lantas berkata, “Kita seharusnya lebih berhak dan lebih utama mengikuti Musa daripada kalian.” Lalu setelah itu Rasulullah sollallahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan kaum muslimin untuk berpuasa.
[HR. al-Bukhari no.2004 dan Muslim no. 2714]

Hadith tersebut di atas menunjukkan kepada kita betapa Rasulullah mengikut apa yang dilakukan oleh Nabi Musa kerana merasakan umatnya lebih berhak untuk meluahkan rasa kesyukuran seperti yang berlaku kepada Nabi Musa yang selamat dari ancaman Fir'aun.
Antara hikmahnya ialah membezakan umat Nabi Muhammad dari orang Yahudi. Ini kerana ada hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim yang menjelaskan bahawa orang Yahudi menjadikan hari 10 Muharram ini sebagai satu perayaan, tetapi umat Islam menjadikan hari ini untuk berpuasa. Ini merupakan perbezaan yang sering baginda lakukan dan kita akan lihat beberapa perbezaan yang Nabi anjurkan kepada umatnya.

DISUNATKAN PUASA PADA 9 MUHARRAM

عن ابن عباس - رضي الله عنهما - أن رسول الله صلى الله عليه وسلم لما صام يوم عاشوراء وأمر بصيامه قالوا : يا رسول الله ، إنه يوم تعظمه اليهود والنصارى ، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( فإذا كان العام المقبل - إن شاء الله - صمنا اليوم التاسع ) قال : فلم يأت العام المقبل حتى توفي رسول الله صلى الله عليه وسلم .

Daripada Ibn Abbas Radiyallahu'anhuma bahawa Rasulullah ketika berpuasa pada hari 'Asyura dan mengalakkan untuk berpuasa, para sahabat bertanya : "Ya Rasulullah, sesungguhnya hari tersebut ('Asyura) merupakan hari yang diagung-agungkan oleh Yahudi dan Nasrani. Kemudian baginda bersabda : jika tiba tahun berikutnya – insyaAllah – kita akan berpuasa pula pada hari kesembilan".
Ibn Abas berkata “Belum sampai tahun depan, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam sudah meninggal dunia.”
(HR. Muslim no. 2722)

Di dalam riwayat yang lain, Nabi Sollallahu 'alalihi wasallam bersabda:

( لئن بقيت إلى قابل لأصومن التاسع )

"jika ada kesempatan ke tahun akan datang, aku akan berpuasa pada hari kesembilan".
(HR. Muslim no.2723)

Ini menunjukkan kesungguhan baginda ingin berpuasa tetapi tidak kesampaian. Walaubagaimanapun, para ulama bersetuju untuk menyatakan bahawa perkara ini menunjukkan betapa Nabi Muhammad Sollallahua 'alaihi wasallam ingin melakukan perbezaan daripada amalan ahli kitab. Ini juga dijelaskan oleh satu athar daripada Ibnu Abbas :

( صوموا التاسع والعاشر خالفوا اليهود )

"Berpuasalah pada hari kesembilan dan kesepuluh, dan bezakanlah (dari meniru) Yahudi"
[HR. Al-Baihaqi no.8665]

Ini disokong dengan banyaknya hadith yang menegah kita meniru orang-orang kafir.

KESIMPULAN

Setelah dinyatakan sunat berpuasa pada hari kesembilan dan kesepuluh, sebahagian ulama membahagikan martabat puasa di dalam bulan ini. Antaranya Syeikh Abdullah Soleh Al-Fauzan mengatakan puasa di dalam Muharram terdapat beberapa peringkat iaitu :

Pertama : Berpuasa pada 9,10 dan 11 Muharram. Ini berpandukan dari nukilan Imam Ahmad [AlMughni 4/441, Iqtidaus Siratul Mustaqim 1/419]

Kedua : Berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Ini seperti yang dijelaskan di dalam artikel ini.

Ketiga : Berpuasa 9 dan 10 atau 11 Muharram. Ini berpandukan dari satu athar yang dhoif dari Ibn Abbas.

Keempat : Hanya melaksanakan puasa 10 Muharram. Ini menjadi perselisihan para ulama akan makruhnya dengan hanya berpuasa pada hari 10 Muharram. Dan yang paling jelas, ia makruh kepada sesiapa yang mampu untuk mengumpulkan hari ke 9 dan 10 dan tidak hanya berpuasa pada hari ke 10 sahaja. Wallahua'lam

[Risalah Ahadith Syahrillah AlMuharram ms 13]
Ibnuhazam
Panel JH AAN
Posted by Abu 'Ammar Al-Madani

0 Komen:

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Free Blogger Templates | Walgreens Printable Coupons