May 25, 2009

Bengkel Pemerkasaan AMAL Sarawak 2009-2011

Backdrop Bengkel AMAL 2009

Sesi Bengkel AMAL

AMAL Sarawak, 30 Jamadil Awwal 1430H: Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, pada hujung minggu lepas bermula petang Sabtu (23 Mei 2009) sehingga petang Ahad (24 Mei 2009), seramai hampir 50 orang ahli dan sukarelawan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak (AMAL Sarawak) telah berkampung di Villa Mardhiah, Bintulu untuk sama-sama berpartisipasi dan menjayakan Bengkel Pemerkasaan Halatuju dan Pelan Tindakan AMAL Sarawak bagi Sesi 2009-2011.


Program yang pertama seumpamanya selepas Muktamar Pertama Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak pada 15 Mac 2009 yang lalu ini dirangka khusus dengan objektif seperti berikut:

  • Membentuk dan menentukan halatuju AMAL Sarawak mengikut suasana setempat berlandaskan syariat Islam,
  • Membentuk Blue Print perlaksanaan gerak kerja AMAL Sarawak bagi sesi 2009-2011,
  • Menyediakan perancangan tindakan jangka pendek dan tindakan jangka panjang,
  • Mengeratkan lagi ukhuwwah antara pimpinan, ahli dan sukarelawan AMAL Sarawak.

Antara pengisian sepanjang program ini termasuklah Pengisian Khas daripada Ustaz Hj Elilas bin Zakaria, Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah berkongsi dengan para hadirin tentang “Dakwah dan Pengorbanan”. Beliau telah memberi penekanan kepada pentingnya Q&Q diberi perhatian dalam memastikan kejayaan misi dakwah. Q yang pertama ialah Quality iaitu kualiti dalaman ahli dan juga kualiti gerak kerja dalam pelaksanaan agenda kebajikan dan kemasyarakatan. Manakala Q yang kedua ialah Quantity, iaitu pentingnya usaha perkaderan dan mencari pelapis dakwah terus dijalankan. Selain itu, beliau juga menasihatkan ahli-ahli dan sukarelawan agar sentiasa menggunakan pendekatan berhikmah di dalam memasyarakatkan Budaya AMAL di Sarawak.


Sementara itu, Saudara Muhtar Hj Suhaili selaku Pengerusi AMAL Cawangan Sarawak pula telah berkongsi dengan rakan-rakan seusahanya berkenaan “Yayasan AMAL Malaysia di Sarawak… Satu Perjalanan”. Beliau telah mengimbas kembali tentang sejarah bertapaknya AMAL Malaysia di Sarawak, realiti dakwah di Sarawak, pencapaian semasa yang telah diikhtiarkan, program-program yang telah dilaksanakan, penekanan tentang pentingnya usul-usul muktamar diberi perhatian dan harapan agar semua ahli serta sukarelawan AMAL terus istiqamah dalam perjuangan.


Seterusnya Saudara Mohd Azwani bin Abdul Rani, Setiausaha AMAL Cawangan Sarawak telah menjadi moderator Bengkel Penetapan Pelan Tindakan dan KPI. Perbincangan telah dibahagikan kepada 6 kumpulan mengikut biro-biro seperti berikut:

  1. Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan
  2. Biro Pembangunan Insan dan Motivasi
  3. Biro Pembangunan Belia dan Sukan
  4. Biro Ekonomi dan Kewangan
  5. Biro ICT dan Multimedia
  6. Biro Hal Ehwal Wanita dan Keluarga.

Program selanjutnya diteruskan dengan sesi pembentangan dan sesi ‘brainstorming’ oleh setiap biro. Pelbagai program dan aktiviti, idea-idea bernas dan cadangan-cadangan mantap telah didiskusi dan dipersetujui. Kesemua hasil bengkel seterusnya akan diperhalusi dan disusun sebaiknya untuk dijadikan Blue Print pelaksanaan agenda AMAL Sarawak bagi sesi 2009-2011. Pembentangan resolusi menutup sesi bengkel dan mudah-mudahan segala yang dibincangkan ada khair dan manfaatnya kepada perjuangan menegakkan Islam di Bumi Kenyalang. Amiin.


Program selama dua (2) hari tersebut diakhiri dengan ucapan penangguhan oleh Ustaz Abdul Halim Abdul Kadir, Timbalan Pengerusi Cawangan Sarawak. Di dalam ucapannya, Ustaz Abdul Halim telah menekankan akan keperluan untuk kita melaksanakan amanah yang telah ditaklifkan dengan sebaik-baiknya ke arah memenuhi tuntutan Allah dan RasulNya. Beliau juga mencadangkan agar sinergi gerak kerja serta ‘networking’ dan ’smart-partnership’ dengan NGO-NGO Islam yang lain dapat dipertingkatkan pada masa akan datang demi kemaslahatan usaha dakwah dan islah. Kebajikan ahli-ahli juga wajar diberi pertimbangan yang sewajarnya demi memastikan rasa kebersamaan dan kekukuhan gerakan dapat dipertahankan.


Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Cawangan Kali Ke-2 juga telah diadakan sejurus selepas tamatnya program bengkel tersebut.


Bengkel AMAL 23-24 Mei 2009

Ikhwah AMALian yang hadir


Bengkel AMAL 23-24 Mei 2009-2

Akhawat AMALian yang hadir


Alhamdulillah, Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak dengan ini ingin mengucapkan syabas dan jazakumullahu khairan kathiran kepada semua ahli-ahli di atas komitmen dan kerjasama mantap di dalam menjayakan bengkel pada kali ini. Tahniah juga kepada Saudara Zahari Deli dan seluruh AJK pelaksana kerana berjaya melaksanakan program kali ini dengan cemerlang. Semoga Allah SWT menerima segala ‘amalan kita, terus mengikatkan hati-hati kita dalam iman dan mudah-mudahan kita semua akan istiqamah dalam kebaikan dan beroleh redhaNya. Amiin Ya Rabbal ‘Alamin.


“Berkhidmat Untuk Kemanusiaan, Ber’amal Kerana Allah”.


Sumber : http://amalsarawak.net/

0 Komen:

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Free Blogger Templates | Walgreens Printable Coupons