May 11, 2009

Ziarah 'AMAL' ke Ulu Kota kali ke-2

Rakan-rakan yang menyertai program ziarah saudara kita
Ulu Kota pada 1-3 Mei 2009 yang lalu

Pertamanya, ucapan JAZAKALLAH kepada semua peserta yang sanggup mengorbankan masa, harta dan keluarga demi menjayakan program ziarah ke Ulu Kota, Pakan pada 1 hingga 3 mei 2009. Moga Allah memilih kita lagi untuk misi dakwah dan kebajikan pada masa akan datang. Insyaallah.

Semangat kombinasi golongan veteran dan baru dalam mengerakkan usaha ziarah kali ini kian “keras”, kerana masing-masing sedar tentang kepentingan dakwah di kawasan pedalaman Sarawak. Asbab pergorbanan antum, islam kian menyinar diufuk timur.

Alhamdulillah, 1 hingga 3 Mei 2009 gabungan BIC dan AMAL Miri, Sibu Serta Sarikei menggorak langkah seterusnya bagi memantapkan hubungan silaturrahim dengan saudara kita di Ulu Kota, Pakan Sarikei.

Program 2 hari 1 malam di Ulu Kota rasanya tidak cukup bagi mereka yang sudah mengenal erti dakwah. Keadaan perjalanan yang agak mencabar sehingga tidak putus kalimah zikrullah dibacakan, terkumat-kamit mulut peserta kerana memuji betapa indahnya kebesaran ALLAH s.w.t, sesekali pengharapan terus diserahkan kepadaNya bulat-bulat kerana perjalanan ini, jika tersilap langkah jalannya mungkin ada dikalangan peserta rombongan yang tidak dipilih oleh ALLAH s.w.t untuk balik ke pangkuan keluarga.

Tetapi itu bukan menjadi alasan kepada pendokong gerak kerja dakwah, sukar sekalipun diterjah juga. Peserta paling veteran kali ini adalah Hj. Masaat dari Miri. Beliau dikagumi kerana telah berusia menjangkau 70 tahun tapi masih bersemangat seperti usamah bin zaid. Kata-kata beliau “dakwah tiada pencen” menyuburkan hati-hati kami untuk meneruskan langkah ini untuk meneruskan perjalanan tanpa perlu gentar dengan halangan yang bakal akan muncul.

Nama berita bala indai ?” (apa khabar wahai kaum ibu-ibu sekalian) itulah kata-kata awal yang disuarakan pada hari pertama oleh presiden AMAL Cawangan Sarawak Saudara Mukhtar Suhaili. Kehadiran kami disambut dengan hati gembira bercampur celaru oleh penduduk kampung, mana tidaknya sebelum tiba ke destinasi kami mendapat penggilan dari isteri ketua kaum saudara baru menyatakan ayahnya telah meninggal dunia, tetapi 3 jam selepas itu mendapat panggilan yang kedua menyatakan ayahnya “sedar” kembali. Subhanallah... maha besarNya kebesaranMu. Inilah satu pengalaman yang banyak mendidik kami agar sentiasa untuk bermuhassabah diri tentang persediaan menghadapi saat kematiaan. Alangkah gembiranya kami pak Ajang ( ayah kepada isteri Abang Azhar) yang disangka telah meninggal dunia, mampu bersama kami sehingga program ziarah ini tamat. Walaupun uzur tetapi senyuman yang diukirnya tetap menjadi pujaan hati kami.

Tibanya di perkampungan tersebut, Saudara Zahari Deli selaku ketua rombongan mula menyusun atur perjalanan gerak kerja dengan pembahagian tugas yang telah dirancang. Berkat bantuan daripada sahabat-sahabat, beliau mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Walaupun baru baginya dalam menjalankan aktiviti kebajikan ini, tetapi segalanya berjalan dengan lancar.

Ziarah kali ini, tidak menekankan elemen ceramah atau teori semata-mata. Antara aktiviti yang dijalankan bersama penduduk kampung termasuklah praktikal wudhu’, praktikal solat dari segi perlakuan, kursus ringkas pengurusan jenazah bagi saudara baru, kursus sembelihan, perlawanan persahabatan sepak takraw bersama penduduk bukan Islam di rumah panjang yang berdekatan. Aktiviti ini dijalankan mengikut keputusan mesyuarat ahli rombongan kerana lebih utama kiranya menjalankan aktiviti yang diperlukan oleh penduduk kampung.

Terasa kagum bila mana melihat sendiri keadaan disini. Persekitaran yang tenang mata memandang, apabila malam, terasa kedinginannya sampai ada yang boleh terkeluar dari mulutnya “sorry geng, lupak tutup aircond”. sejuk diwaktu pagi terasa sampai ke tulang sum-sum. Sambutan anak-anak kecil, walaupun kecil tetapi comel semuanya kerana sepanjang program anak-anak muslimat yang kecil tidak terasa janggal untuk bertudung. Terima kasih diucapkan kepada ahli rombongan muslimah yang mengikuti ziarah yang pertama dahulu telah mengajar bagaimana kaedah menjadikan anak-anak kecil muslimin dan muslimah menjadi anak yang soleh dan solehah.

Penyampaian sumbangan berupa wang tunai dan barang-barang keperluan adalah acara terakhir program ini. Sumbangan yang diberikan sekurang-kurangnya dapat membantu sedikit keperluan penduduk kampung. Semoga semangat, harta,masa yang dikorbankan oleh peserta-peserta rombongan ziarah pada kali ini terus istiqamah dan tidak jemu untuk berdakwah dan berkebajikan kepada masyarakat. InsyaAllah.

Berikut adalah gambar-gambar sepanjang program ziarah kedua ke Ulu Kota Pakan, Sarikei yang telah dijalankan.

Perjalanan yang terpaksa melalui beberapa halangan dan rintangan

Hanya mereka yang mempunyai keazaman dan komitmen yang tinggi
sahaja mampu sampai untuk menyampaikan dakwah Islam

Belajar menyembelih ayam, antara aktivit praktikal yang dijalankan

melebarkan dakwah dengan masyarakat rumah panjang yang masih
belum menerima Islam


Rumah penempatan mereka yang serba sederhana

Kesukaran untuk mendapatkan sumber air

Masak lauk yang dibekalkan oleh seorang penderma dari Bintulu

antara masyarakat Islam Ulu Kota

menjamu selera bersama masyarakat Islam Ulu Kota

mas'ul program ' Zahari Deli' bersama dengan sebahagian kaum ibu

Kita mendoakan semoga mereka ini akan diberi kekuatan iman yang teguh untuk untuk menghadapi segala cabaran dan rintangan yang mendatang. Di pihak kami insyallah akan membantu dengan kekuatan dan kemampuan yang ada. Bagi mereka yang telah membantu jawatankuasa ini, diucapkan jazakumullah khukhairan khathira. Semoga Allah membalas budi baik kalian. Sehingga bertemu lagi. Insyallah.

0 Komen:

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Free Blogger Templates | Walgreens Printable Coupons