Aug 19, 2009

Kursus Pentazkirah Ramadhan 1430 H

Para peserta Kursus Latihan Kader Dakwah

17 Ogos - Jawatankuasa Kecemerlangan Sahsiah & Akademik, Unit Pendidikan Islam dengan kerjasama JAIS dan JAKIM telah berjaya menganjurkan " Kursus Latihan Kader Dakwah " untuk bakal-bakal para pentazkirah dan penceramah di Bulan Ramadhan. Seramai 50 orang peserta telah mengambil bahagian yang terdiri daripada guru-guru, sukarelawan AMAL, pensyarah UPM, kakitangan HIKMAH, pegawai masjid dan jurutera yang berminat untuk menyampaikan tazkirah sepanjang Ramadhan ini.

Kursus sehari ini telah diadakan di Regency Plaza Hotel yang bermula pada pukul 8.00 pagi - 5.00 petang. Kursus dimulakan dengan taklimat dari pegawai PLS En. Hasfa Bakhry Bin Hassan, Ketua Unit Sekolah Pembangunan Sahsiah PLS. Seterusnya Cikgu Abd Rahim ataupun dikenali dengan Pak Ngah selaku penceramah memulakan ceramah beliau dengan menyampaikan ceramah bertajuk " Komunikasi Berkesan " dan " Mengenali Mad'u ". Pada sebelah petang Ustaz Salehuddin selaku pengerusi Penghayatan Ramadhan 1430H, telah memberi taklimat berkenaan dengan jadual pengiliran dan tajuk yang dicadangkan. Seterusnya Pihak JAIS yang diwakili oleh Ustaz Rafaie Morshidi telah memberi garis panduan dan undang-undang berceramah berdasarkan Ordinan Sarawak. Program penutupan dimulakan dengan Ustaz Ahmad Mukarram Hilal selaku penasihat JAKSA telah menyampaikan tazkirah untuk para pentazkirah dan seterusnya penyampaian sijil kepada para peserta yang telah disampaikan oleh En. Hasfa Bakhry Bin Hassan yang mewakili pengarah JAKIM.

Para peserta melahirkan rasa syukur dan terima kasih di atas pemilihan mereka sebagai peserta kursus sehari ini. Terlalu banyak pengetahuan dan pengalaman telah diperolehi, terutama penyampaian ceramah yang begitu berkesan sekali. Pengalaman 17 tahun beliau berceramah sangat menarik untuk dikongsi bersama peserta.

Pihak JAKSA mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak JAIS dan JAKIM di atas pemilihan lokasi Bintulu untuk diadakan kursus yang sedemikian. Sungguh besar saham yang telah dilaburkan oleh JAKIM yang telah membuka ruang kepada guru-guru untuk terlibat dengan dakwah. Kami mengharapkan kursus sebegini akan terus diadakan untuk meramaikan da'ie di Bumi kenyalang khususnya di Bintulu.


0 Komen:

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Free Blogger Templates | Walgreens Printable Coupons