Aug 29, 2009

Ziarah Dakwah Kuala Tatau 2009


29 Ogos, Bintulu - AMAL Sarawak dengan kerjasama Bintulu Iqra Center (BIC) telah menganjurkan Ziarah Dakwah untuk kali yang ketiga dalam bulan Ramadhan ini iaitu di Kuala Tatau. Rombongan Jawatankuasa Kebajikan Islam Bintulu Port Sdn Bhd juga turut serta dalam ziarah dakwah kali ini.

Peserta rombongan berkumpul di Masjid Assyakirin untuk mendengar taklimat ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Ibrahim. Seterusnya, Ustaz Salehuddin mengetuai bacaan doa sebelum kami memulakan perjalanan.

Kami bertolak kira-kira jam 8.30 pagi menuju ke jeti Kuala Tatau. Sampai sahaja di sana, sebuah bot sudah menanti kami untuk membawa kami ke seberang. Pengalaman menarik kepada mereka-mereka yang tidak pernah menaiki bot sebelum ini.

Setibanya kami di Masjid Al-Amin, Kuala Tatau, kelihatan penduduk kampung sudah menunggu kami di sana. Kehadiran kami disambut meriah oleh penduduk kampung. Program bermula dengan taklimat ringkas dari ketua rombongan iaitu Ustaz Ibrahim dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Pengerusi AMAL Sarawak, Ustaz Halim dan Ketua Kampung. Seterusnya, program diteruskan lagi dengan tazkirah ringkas mengenai Ramadhan oleh Ustaz Salehuddin.

Sejurus selepas tazkirah ringkas, sumbangan yang dibawa diserahkan kepada 79 keluarga terpilih. Program diakhiri dengan persembahan nasyid oleh rombongan muslimin yang menyampaikan lagu rasmi Yayasan AMAL Malaysia iaitu Ber'amal Kerana Allah.

Kepada pihak yang ingin menyumbang, boleh terus berurusan dengan pihak BIC. Pihak kami mengalu-alukan sesiapa yang berminat untuk turut serta dalam siri Ziarah Dakwah yang kami anjurkan.

0 Komen:

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Free Blogger Templates | Walgreens Printable Coupons