Sep 6, 2009

Ziarah Dakwah Kampung Labang 2009


Bintulu, 5 September - AMAL Sarawak dan Bintulu Iqra' Center sekali lagi turun untuk "Ziarah Dakwah". Destinasi kami kali ini ialah Kampung Labang yang mengambil masa kira-kira satu jam setengah dari bandar Bintulu.

Seperti biasa, program dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Ustaz Ibrahim dan seterusnya bacaan doa oleh Ustaz Sardi. Kami memulakan perjalanan pada jam 8.30 pagi.

Sebelum menaiki bot untuk ke Kampung Labang, kami terpaksa menempuhi jalan tanah merah yang masih basah dan berlumpur. Perjalanan yang mencabar tidak mematahkan semangat kami, bahkan menjadi satu pemangkin buat kami atas dasar ikatan ukhuwah islamiyyah.

Setibanya kami di Kampung Labang, kami dibawa ke Sekolah Kebangsaan Labang, yang kebetulan sedang melalui sesi persekolahan. Kegigihan dan iltizam guru-guru di sana untuk mendidik anak bangsa sangat dikagumi.

Selesai menziarahi SK Labang, kami terus dibawa ke surau untuk meneruskan program. Program di surau dimulai dengan ucapan alu-aluan Ketua Kampung iaitu TK. Michi b. Lau. Seterusnya, Ustaz Sardi selaku Pengerusi AMAL Unit Bintulu menyampaikan sedikit taklimat ringkas mengenai Yayasan AMAL Malaysia.

Program diserikan lagi dengan sesi tazkirah ringkas oleh Tuan Haji Abdul Rani dari Pejabat Pelajaran Daerah Bintulu. Selesai tazkirah, sumbangan yang kami bawa mula diagihkan kepada 36 keluarga terpilih. Pihak Jawatankuasa Kebajikan Islam Bintulu Port Sdn Bhd (JKI BPSB) turut mengambil peluang untuk menyampaikan sumbangan kepada pihak surau. Program diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Ibrahim.

Pihak AMAL dan BIC mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ketua Kampung Labang, Tuan Iman dan tidak ketinggalan Ustaz Nazrie dan Hanit di atas kerjasama yang diberikan sepanjang program. Ucapan terima kasih juga kepada sahabt-sahabat BIC dan AMAL di atas pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit. Moga Allah menerima segala amal yang kita lakukan.

0 Komen:

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Free Blogger Templates | Walgreens Printable Coupons