Oct 26, 2009

UCAPAN PENASIHAT MAJLIS MAHABBAH AIDILFITRI BIC&AMAL 2009 (MABIC '09)


Berikut adalah ucapan Penasihat Majlis Mahabbah Aidilfitri BIC&AMAL 2009 (MABIC'09), Ayahanda Tuan Haji Abu Bakar Bin Drahim. Beliau adalah merupakan seorang pesara tentera dan pesara Bintulu Port Sdn.Bhd (BPSB) yang sangat komited dengan kerja-kerja dakwah dan khidmah kepada ummah. Semoga Allah merahmati beliau dan keluarga di dunia dan di akhirat.


UCAPAN PENASIHAT
MAJLIS MAHABBAH AIDILFITRI BIC&AMAL 2009 (MABIC '09)

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين, والصلاة والسلام على رسول الأمين, وعلى أله وصحبه أجمعين

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang berbahagia semua para tetamu kehormat kita pada hari ini yang terdiri daripada wakil-wakil daripada agensi kerajaan, swasta, AJK masjid dan surau, Jawatankuasa-jawatankuasa kebajikan Islam, pertubuhan-pertubuhan dakwah dan para penasihat serta para sukarelawan BIC, AMAL dan NISA’, seterusnya kepada semua para tetamu jemputan, tuan-tuan dan puan-puan, muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian.

Pertamanya, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah Taala yang telah mengumpulkan kita di dalam majlis yang mulia ini untuk bersama-sama meraikan Majlis Mahabbah Aidilfitri BIC Dan AMAL 2009 yang kita adakan pada hari ini.

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan limpah dan izinNya, kita dapat berkumpul dalam Majlis Mahabbah Aidilfitri BIC dan AMAL 2009 anjuran Bintulu Iqra Centre (BIC), Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak dan Nisa’ Bintulu. Saya percaya dan meyakini bahawa sebahagian daripada kalangan hadirin sekalian sudah sinonim dengan majlis seperti ini yang telah dianjurkan oleh pihak kami setiap tahun. Namun begitu, pada kali ini saya selaku penasihat Majlis Mahabbah Aidilfitri BIC dan AMAL 2009 berasa amat bertuah kerana buat julung-julung kalinya, pihak kami telah berjaya mengadakan majlis ini di tempat yang lebih istimewa dan selesa. Jutaan terima kasih saya tujukan kepada Lembaga Pelabuhan Bintulu yang telah memberi kebenaran untuk mengadakan program di Rumah Tetamu Pelabuhan Bintulu ini tanpa sebarang bayaran. Semoga Allah mengurniakan sebaik-baik ganjaran kepada pihak LPB di atas jasa baik yang diberikan kepada pihak kami.

Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah,

Sebagaimana dalam firman Allah yang bermaksud,

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kamu kepada Allah agar kamu mendapat rahmat”.

Surah Al-Hujurat: ayat 10.

Untuk makluman para tetamu sekalian, objektif utama majlis ini dianjurkan tidak lain tidak bukan adalah untuk merapatkan ukhuwwah Islamiyyah (persaudaraan Islam) dan mengeratkan mahabbah (kasih sayang sesama insan) di antara warga BIC, Yayasan Amal Malaysia dan Nisa’ dengan agensi-agensi kerajaan, agensi-agensi swasta, pertubuhan-pertubuhan kebajikan dan dakwah, pusat-pusat pendidikan Islam serta masyarakat setempat di bumi Bintulu yang bertuah ini. Tidak ketinggalan, majlis ini juga diadakan khusus untuk menghargai pihak-pihak yang telah banyak memberi sumbangan sama ada dalam bentuk material, buah fikiran, tenaga bahkan sokongan moral yang jitu dalam menggerakkan kelangsungan kerja-kerja dakwah dan amal di Bintulu.

Para tetamu yang dirahmati Allah sekalian,

Di sini suka saya berkongsi sedikit maklumat mengenai Bintulu Iqra’ Center yang lebih dikenali dengan nama ringkasnya BIC. BIC dianggotai oleh para sukarelawan yang terdiri daripada warga pendidik di kalangan guru, ustaz, ustazah, pensyarah, jurutera, eksekutif Petronas, staf kerajaan dan swasta serta warga tempatan di Bintulu yang sedia berkhidmat untuk melakukan kerja-kerja dakwah, pendidikan dan kebajikan. BIC adalah satu organisasi yang bernaung di bawah Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan yang antara fokus aktivitinya ialah menjadikan pendidikan terhadap masyarakat sebagai tunjang utama demi meningkatkan penghayatan nilai Islam di kalangan masyarakat khususnya di Bintulu.

Sedar tidak sedar, BIC yang lahir pada Julai 2007 kini sudah mencecah usia 2 tahun. Namun begitu, Alhamdulillah, walaupun pada permulaannya hanya kelas Iqra’ dan kelas tuisyen yang berbentuk kebajikan sahaja yang dijalankan, namun dengan usaha para sukarelawan BIC dan hasil kerjasama dengan pihak-pihak tertentu akhirnya BIC telah memainkan peranan yang lebih luas dalam menganjurkan pelbagai program berteraskan pendidikan kepada masyarakat seperti penganjuran aktiviti penyebaran dakwah dan ilmu Islam bersama pihak Jabatan Agama Islam Sarawak Bahagian Bintulu, Jawatankuasa Kecemerlangan Sahsiah dan Akademik (JAKSA) Pejabat Pelajaran Daerah Bintulu, MACMA Bintulu, pihak-pihak masjid dan surau dan pelbagai agensi dakwah dan kebajikan yang lain. Selain itu, pihak kami juga telah berusaha menganjurkan pelbagai siri dakwah dan kebajikan ke kawasan pedalaman demi untuk membawa agenda dakwah dan khidmah kepada ummah.

Segala aktiviti yang dilaksanakan ini adalah selaras dengan misi BIC untuk menjalankan usaha-usaha peningkatan akademik dan agama dalam kalangan generasi muda, menyediakan peluang peningkatan kefahaman dalam kalangan masyarakat umum dan mendekatkan masyarakat kepada penghayatan beragama melalui program-program kebajikan. Oleh yang demikian, BIC sentiasa mengalu-alukan sokongan dan dokongan daripada masyarakat demi ke arah menyuburkan aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan di Bintulu. Justeru, saya mewakili warga BIC ingin mengucapkan ucapan jazakumullahu ahsanal jaza’ (semoga Allah mengurniakan sebaik-baik ganjaran) dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung dalam menjayakan semua program yang telah dijalankan oleh pihak kami.

Untuk makluman para tetamu sekalian, dalam perancangan masa hadapan, pihak kami sedang berusaha untuk mewujudkan sebuah Pusat Khidmat Amal, Kebajikan dan Pendidikan untuk anak yatim, ibu tunggal dan saudara kita yang memerlukan pembelaan. Justeru, pihak kami amat mengalu-alukan sebarang sumbangan daripada masyarakat Bintulu sama ada dalam bentuk mewakafkan tanah, menyediakan bangunan, membekalkan peralatan yang diperlukan, menyumbang dana secara berterusan dan sebagainya. Kami berdoa dan berusaha semoga Allah membantu kita semua untuk menjayakan usaha murni ini.

Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah,

Sebelum saya mengundur diri, saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan sekali lagi kepada hadirin yang sudi meluangkan masa untuk hadir dalam majlis yang tidak seberapa ini dan tidak dilupakan juga seluruh warga kerja Majlis Mahabbah Aidilfitri BIC dan AMAL 2009 daripada Pengarah Programnya sehinggalah kepada seluruh para AJK yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis ini. Doa saya panjatkan agar Allah memberkati usaha yang mulia ini dan semoga Allah mengeratkan mahabbah serta mempertautkan ikatan ukhuwwah Islamiyyah di antara kita semua. Semoga Allah mempertemukan kita lagi pada masa yang akan datang.

Buat akhirnya, saya memohon kemaafan di atas sebarang kekurangan yang ada di dalam majlis yang kami anjurkan ini dan saya akhiri ucapan ini dengan kalimah yang mulia Wabillahit Taufiq Wal Hidayah, Wassalamu ’Alaikum Warahmatullahi Wa Barakatuh.

Sekian, terima kasih.

0 Komen:

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Free Blogger Templates | Walgreens Printable Coupons