Nov 19, 2009

KELEBIHAN SEPULUH HARI AWAL BULAN ZULHIJJAH.


الحمد لله رب العالمين, والصلاة والسلام على سيد المرسلين ..... وبعد

Di antara kelebihan dan kurniaan Allah untuk hambaNya ialah dijadikan bagi mereka beberapa musim untuk memperbanyakkan amal ibadat dengan dijanjikan pahala yang berganda banyaknya. Salah satunya ialah sepuluh hari yang terawal pada bulan Zulhijjah.

Terdapat beberapa dalil daripada Al-Quran dan Hadis yang ada menyebut tentang kelebihannya:

1. Firman Allah Taala :

[ وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ] [سورة الفجر: 1-2]

Maksudnya: {Demi fajar dan malam yang sepuluh.} (Al-Fajr: 1-2)

Kata Ibnu Kathir :Yang dimaksudkan di sini ialah sepuluh malam yang pertama pada bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. (Di riwayatkan oleh Imam Bukhari).

2. Daripada Ibnu Abbas RA, Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wa Sallam telah bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ، الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ -يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ- قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ قَالَ: وَلا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، إِلا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ
[رواه اأحمد 1968، والترمذي 757، واللفظ له].

Maksudnya: “Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain daripada hari-hari yang sepuluh ini.” Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah Sollallahu ’Alaihi Wa Sallam bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).”
(H.R: Ahmad, At-Tirmizi).

3. Firman Allah Taala :

[وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ] [سورة الحج: 28]

Maksudnya: {Hendaklah kamu menyebut nama Allah pada hari-hari yang ditentukan.} (Surah Al-Haj: 28). Kata Ibnu Abbas RA : Maksudnya ialah hari-hari yang sepuluh itu.

4. Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah Sollallahu ’Alaihi Wa Sallam bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللهِ، وَلا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ الْعَشْرِ، فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ . رواه أحمد 5446-صحيح

Maksudnya: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah Taala dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”

5. Adalah Said bin Jubir RA (perawi yang meriwayatkan Hadis Ibnu Abbas di atas) apabila tiba hari yang tersebut beliau beribadat bersungguh-sungguh sedaya-upayanya. (Riwayat Ad-Darimi- Hasan).

6. Kata Al-Hafiz Ibnu Hajar : Yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan sepuluh hari Zulhijjah ini ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu: solat, puasa, sedekah dan Haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.

AMALAN-AMALAN YANG BAIK DILAKUKAN PADA HARI-HARI TERSEBUT:

1. SOLAT.
Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardhu secara berjemaah dan memperbanyakkan solat sunat kerana ianya sebaik-baik amalan.
Thauban RA berkata: Aku mendengar Rasulullah Sollallahu ’Alaihi Wa Sallam bersabda (maksudnya): “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan mengangkat darjatmu kepadaNya dan dihapuskan kesalahanmu.” (H.R Muslim.) Perkara ini umum untuk semua waktu.

2. PUASA.
Hal ini kerana puasa juga termasuk di dalam amalan soleh.
Daripada Hunaidah bin Khalid RA, daripada isterinya, daripada sebahagian isteri-isteri Rasulullah Sollallahu ’Alaihi Wa Sallam berkata: ‘Rasulullah Sollallahu ’Alaihi Wa Sallam berpuasa pada hari kesembilan Zulhijjah, pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan.’ (H.R Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei). Kata Imam An-Nawawi : Berpuasa pada hari-hari sepuluh Zulhijjah adalah sunat yang sangat digalakkan.

3. TAKBIR, TAHLIL dan TAHMID.
Hal ini kerana hadis Ibnu Umar RA yang telah dinyatakan di atas mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah).”

Kata Imam Bukhari : ‘Ibnu Umar dan Abu Hurairah RA menuju ke pasar pada hari-hari sepuluh dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut bertakbir sama.’

Katanya lagi: ‘Ibnu Umar sewaktu berada di dalam khemahnya di Mina bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid dan pasar mendengarnya, mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan suara takbir.’

Ibnu Umar RA bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat. Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Sayyidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah Rodhiallahu 'Anhum.

Adalah amat digalakkan para muslimin sekarang menghidupkan kembali sunnah yang telah dilupakan pada hari ini, sehinggakan orang-orang yang baik pun telah melupakannya, tidak seperti orang-orang soleh yang terdahulu.

Antara lafaz-lafaz takbir yang diriwayatkan oleh para sahabat dan tabiin:

الله أَكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر كَبِيْراً.
الله أكْبَر. الله أكْبَر. لا إِلهَ إِلا الله وَالله أكْبَر.
الله أكْبَر. وَلِلّهِ الْحَمْد.
الله أكْبَر. الله أكْبَر. الله أكْبَر. لا إِلهَ إلا الله وَالله أكْبَر.
الله أكْبَر. الله أكْبَر . وَلله الْحَمْد.

4. PUASA PADA HARI ARAFAH.
Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada Hari 'Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini telah sabit daripada Rasulullah Sollallahu ’Alaihi Wa Sallam . Baginda telah bersabda mengenai kelebihannya.

[صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ] [رواه مسلم]

Maksudnya: “Berpuasa pada Hari 'Arafah, aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” (H.R Muslim).

PERINGATAN:
Amalan ini hanyalah disunatkan untuk orang yang tidak mengerjakan haji sahaja. Tetapi bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah tidak disunatkan berpuasa kerana Rasulullah Sollallahu ’Alaihi Wa Sallam tidak berpuasa sewaktu Baginda wukuf di Arafah iaitu pada tahun Baginda mengerjakan haji.

5. KELEBIHAN HARI RAYA KORBAN (YAUM AN-NAHR), 10 ZULHIJJAH.

Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari yang amat mulia ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Sesetengah ulama’ berpendapat hari ini ialah hari yang paling afdhal di dalam setahun sehingga melebihi Hari 'Arafah.
Kata Ibnu Al-Qayyim : ‘Sebaik-baik hari di sisi Allah ialah Hari Nahr, iaitu hari Haji yang besar (Hajj Al-Akbar), seperti yang tersebut di dalam Sunan Abi Daud [No.1765], hadis Rasulullah Sollallahu ’Alaihi Wa Sallam yang bermaksud:
“Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah ialah Hari Nahr, kemudian Hari Qar”. (Hari Qar ialah hari yang para jamaah haji bermabit (bermalam) di Mina iaitu hari kesebelas Zulhijjah).

Sebahagian ulama' lain pula berpendapat Hari 'Arafah lebih afdhal kerana sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan diampunkan dosanya oleh Allah Taala selama dua tahun, tidak ada hari lain yang Allah merdekakan hambaNya lebih ramai daripada Hari 'Arafah dan pada hari itu juga Allah Taala turun menghampiri hambaNya dan berbangga kepada malaikat dengan hambaNya yang berwukuf pada hari tersebut.

Pendapat yang lebih tepat ialah pendapat yang pertama (Hari Nahr), kerana hadis Rasulullah Sollallahu ’Alaihi Wa Sallam telah jelas menyebutkan kelebihannya dan tidak ada yang menyalahinya.

Sama ada Hari Nahr atau Hari 'Arafah yang lebih utama, hendaklah setiap muslim yang bermukim atau yang mengerjakan haji mengambil peluang ini dengan sepenuhnya untuk mendapatkan kelebihan beribadat pada keduanya.

CARA MENYAMBUT MUSIM KEBAJIKAN:

1. Setiap muslim hendaklah menyambut kedatangan musim kebajikan umumnya dengan bertaubat yang sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat kerana dosalah yang menyekat manusia daripada kebaikan dan menjauhkannya daripada Tuhannya.

2. Menanam semangat dan azam yang kuat untuk mendapatkan keredhaan Allah Taala. Firman Allah yang bermaksud: {Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama mereka yang berbuat baik.} (Al-Ankabut: 69).

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga kita dipilih oleh Allah untuk termasuk ke dalam golongan mereka yang berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.

Kepada para jamaah haji, kita doakan semoga mereka mendapat Haji yang mabrur, Amin.

Sekian, wassalam.

Akhukum:

Dr. Abdul Basit bin Abdul Rahman
Abu Anas Madani, Pondok Sungai Durian, Kelantan.

Diterbit semula dengan izin penulis oleh Bintulu Iqra’ Center
www.bintulu-iqracenter.blogspot.com

Posted by Abu 'Ammar Madani

0 Komen:

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Free Blogger Templates | Walgreens Printable Coupons