“Perkataan yang mengandungi seruan dakwah ke arah kebaikan atau pencegahan daripada kemungkaran.”
Nasihah itu ialah ucapan yang baik, memberi peringatan, kritikan membina, teguran, nasihat, galakan kepada kebaikan atau larangan kepada perbuatan mungkar.
Manusia memerlukan nasihat yang akan mengawal manusia daripada melakukan perkara-perkara yang melangkaui sempadan Allah. Ia merupakan suatu tuntutan sebagaimana firman Allahu Subhanahu Wa Ta’ala yang bermaksud:
“Justeru, berilah peringatan, maka sesungguhnya peringatan itu member manfaat kepada orang-orang yang beriman.”
Begitu juga di dalam Surah Ali Imran, ayat 110:
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq.”
Nasihah juga diertikan sebagai ikhlas dan suci bersih. Hal ini berdasarkan sebuah hadis Nabi s.a.w. ketika Ubai r.a. bertanya kepada Rasulullah s.a.w., apakah erti “Taubat Nasuha” (perkataan Nasuha sama dengan Nasihah).
Rasulullah s.a.w. menjawab: “iaitu taubat yang ikhlas, yang tidak akan diulang lagi mengerjakan dosa-dosa itu.”
Justeru, nasihat dan ikhlas mempunyai hubungan yang rapat. Jika disebut nasihat, semestinya perlukan keikhlasan kerana maknanya yang seiringan. Dalam erti kata yang sebenar, tidak dinamakan nasihat jika tidak ikhlas dalam menyampaikan nasihat.
Nasihat yang tidak ikhlas adalah satu omongan kosong, kutukan, tuduhan, dendam dan sebagainya. Amalan ini terkeluar daripada konsep ad-Dinul Nasihah. Ia juga tidak menjadikan ucapan anda disifatkan sebagai suatu ibadah. Ketidakikhlasan inilah yang menjadi punca mengapa nasihat, teguran atau pandangan yang diutarakan tidak mendapat perhatian dan tidak berhasil. Apabila tidak disertakan dengan ikhlas, maka penyampaiannya itu mungkin diiringi oleh keinginan untuk membalas dendam, memperkecilkan, memalukan, mengutuk, menjatuhkan, iri hati, dengki, cemburu, marah dan sebagainya.
Justeru, bagaimana harus mad’u menerima nasihat yang sebegitu?
Natijah daripada tidak ikhlas akan membawa kepada berlakunya peristiwa berikut:
1. Pemimpin menyampaikan nasihat kepada rakyatnya semata-mata ingin mempertahankan kedudukannya. Simptom kepada penyakit ini ialah:
- Memuji diri sendiri dan usahanya agar dipandang tinggi dan berjasa oleh rakyatnya.
- Menghina, mencerca atau menjatuhkan orang lain yang dianggap akan menggugat kedudukannya walaupun individu tersebut tidak melakukannya.
- Menaburkan janji-janji kosong yang tidak mungkin dapat dilaksanakan olehnya.
- Sanggup menipu dan mengubah fakta walaupun sudah terang lagi bersuluh.
2. Da’ie memberikan nasihat kepada mad’u kerana mahu dilihat sebagai seorang pendakwah dan alim. Maka, terjadilah perkara seperti berikut:
- Menceritakan kelebihan yang ada pada diri supaya dipandang tinggi oleh mad’u.
- Sering menceritakan pengalaman-pengalaman diri yang tidak berkait tentang tajuk ceramahnya kerana ingin dipandang hebat.
- Mereka-reka jawapan apabila diajukan soalan walaupun pada hakikatnya dia tidak tahu supaya tidak dipandang lemah oleh masyarakat.
- Menghafal nama-nama ulama’ dan kitab-kitab kononnya untuk menguatkan hujahnya supaya dianggap alim sedangkan dia tidak pernah membaca atau mendalami kitab tersebut.
3. Guru-guru memberi nasihat kepada pelajarnya kerana kerjanya semata-mata atau untuk menjaga periuk nasinya. Lalu, terjadilah insiden-insiden seperti:
- Menasihat secara sambil lewa atau melepaskan batuk di tangga.
- Marah yang melampau walaupun kesalahan yang dilakukan adalah ringan dan pertama kali atau jarang berlaku.
- Terungkaplah kata-kata cacian seperti bodoh, sial dan sebagainya yang tidak sepatutnya terkeluar daripada mulut seorang guru kepada anak muridnya.
4. Ibu bapa yang menasihati anak-anak kerana ego dan merasa diri berkuasa. Maka, kita akan mendapati adanya perkara seperti berikut:
- Marah yang melampau sehingga mendera atau mencederakan fizikal atau mental anak-anak.
- Mencari-cari kesalahan anak-anak supaya anak sentiasa patuh dan takut kepada ibu bapa secara membuta tuli.
- Mengungkit-ungkit jasa dan pemberian mereka kepada anak-anak atau mengungkit-ungkit kesalahan anak-anak untuk memaksa anak-anak patuh dan menyetujui nasihat dan arahan mereka.
5. Rakyat memberi nasihat kepada pemimpin kerana perasaan marah, cemburu dan dengki. Maka, terjadilah insiden-insiden seperti:
- Menegur pimpinan secara kasar dan suara yang tinggi. (Situasi ini dibenarkan sekiranya nasihat yang disampaikan secara lembut berkali-kali telah ditolak dan tidak diendahkan kerana keangkuhannya)
- Menegur pimpinan secara terbuka di khalayak ramai walaupun ia boleh ditegur secara bersendirian.
- Mencari-cari kelemahan dan kesilapan pemimpin serta melupakan jasa mereka sehingga menimbulkan sangkaan yang buruk atau membuat andaian yang melampau di atas setiap tindak tanduk pemimpin.
Semoga contoh-contoh yang disebutkan tadi menjadi sempadan bagi kita dalam menyampaikan nasihat agar diterima oleh Allahu Subhanahu Wa Ta’ala dan membuahkan hasil yang berguna untuk mad’u, da’ie dan masyarakat. Sekadar ini sahaja dahulu untuk menjadi renungan bersama. Semoga dapat memperbaiki mutu penyampaian nasihat kita semua agar terserlah syiar “Ad-Dinul Nasihah (Agama Itu Nasihat)”. Sekian.
Musafir al-Hana'
Bintulu, Sarawak.
*Rujukan dan contoh dipetik daripada "1001 Feqh Nasihah" karangan Mohd Nazri Zainuddin; terbitan JAHABERSA (2005)
0 Komen:
Post a Comment