Jul 6, 2010

YAM Latih Anak-anak Saudara Baru Sabah & Sarawak


Yayasan Amal Malaysia (AMAL Malaysia) dengan kerjasama Urusetia Saudara Kita Sarawak (USK) menganjurkan program latihan perkaderan dakwah kepada anak-anak saudara baru dari kalangan pribumi Sarawak. Seramai 17 orang peserta menyertai latihan ini.

Kesemua peserta terlebih dahulu mengikuti program induksi selama tiga hari di Pusat Penerangan Islam Sarawak di Kuching. Selepas itu, kesemua peserta akan dibawa ke Semenanjung bagi mengikuti Latihan Perkaderan Sukarelawan Dakwah di Kampus Sementara Pusat Dakwah Serantau (PDS) di Darul Thaqafah, Sepang Selangor.

Mereka akan mengikuti latihan tersebut selama setahun. Mereka akan dilatih sebagai pendakwah oleh pakar-pakar dalam berbagai bidang dakwah dan agama dari beberapa institut pengajian tinggi awam dan swasta.

Para pelatih dakwah ini telah menunjukkan minat yang mendalam di atas kesedaran dakwah kepada kaum mereka yang sebahagiannya tidak mempunyai sebarang pegangan agama. Selain itu, kebanyakan saudara-saudara baru ini termasuk ibubapa mengharapkan anak-anak mereka dilatih sebagai pendakwah dan pembimbing kepada masyarakat di kampung halaman mereka sendiri.

Alhamdulillah YAM dengan kerjasama USK mengambil inisiatif menganjurkan program latihan ini bagi melahirkan sukarelawan dakwah dari kalangan anak-anak saudara baru pribumi Sarawak dan juga Sabah. Untuk pengambilan pertama ini seramai 17 orang peserta dari Sarawak dan 13 orang dari Sabah. Hari Sabtu 19hb lepas, 17 orang peserta dari Sarawak telahpun mendaftar diri di Darul Thaqafah, manakala 13 orang dari Sabah dijangka akan melapor diri hari ini. Sekarang mereka sedang menjalani sesi orientasi.

0 Komen:

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Free Blogger Templates | Walgreens Printable Coupons