May 22, 2011

RAUDHATUL ILMI 2011



Bintulu – 22 Mei 2011, satu lagi lakaran sejarah tercatat di Masjid Al-Mustaqim RPR Kidurong di mana program Raudhatul Ilmi berjaya dilaksanakan. Program anjuran bersama Bintulu Iqra’ Center dan Biro Wanita Masjid Al-Mustaqim ini merupakan perintis kepada program Raudhatul Ilmi untuk tahun 2011.

Hampir jam 9 pagi tadi, ditakdirkan hujan turun dengan lebatnya tetapi sedikit pun tidak mematahkan semangat para jemaah muslimat yang terdiri daripada muslimat sekitar RPR Kidurong dan juga sekitar Bintulu untuk hadir beramai-ramai. Bahkan kehadiran para jemaah muslimat di luar jangkaan! Hampir 50 orang, Alhamdulillah!

Raudhatul Ilmi yang bermula pada jam 9 pagi tadi dimulakan dengan Solat Sunat Dhuha dan diimamkan oleh penasihat BIC, Puan Wan Juliana Wan Mohd Zain.

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain”, sabda Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.

Program diteruskan dengan ucapan aluan pengerusi majlis, Pn Hayati Jemiron. Dalam ucapan tersebut, beliau menyeru para jemaah untuk bersama-sama meyedekahkan Al-Fatihah kepada mangsa-mangsa tanah runtuh di Hulu Langat yang terkorban. Seterusnya, pengerusi majlis menjemput Dr Najihah selaku penceramah yang dijemput khas dari UPM Kampus Bintulu untuk berkongsi ilmu berkenaan tajuk ‘Bila Hati Berbicara’. Kupasan ilmu berkisarkan tentang hadis pertama dari hadis 40 ini, adalah tentang Niat. Tajuk yang sangat signifikan untuk semua yang mendambakan redhaNya dalam setiap amalan yang dilakukan. Respon yang diberikan oleh para jemaah menggalakkan dengan pelbagai soalan yang diajukan kepada penceramah.

Seterusnya, Pn Wan Juliana Wan Mohd Zain dijemput untuk memaklumkan secara terperinci berkenaan program Raudhatul Ilmi. Menurutnya, program ini akan diadakan secara berkala (dua minggu sekali) dan setiap kali program ini dijalankan, BIC akan mengambil langkah proaktif dengan menghulurkan sumbangan kepada dua buah keluarga yang memerlukan (kategori muallaf, ibu tunggal atau golongan fakir)di sekitar RPR Kidurong dengan bantuan Biro Wanita Masjid Al-Mustaqim.

Sesi santapan rohani ini berakhir hampir jam 11 pagi dan seterusnya para jemaah muslimat yang hadir dijamukan dengan pelbagai juadah yang disediakan oleh Biro Wanita Masjid Al-Mustaqim. Semoga program yang dianjurkan ini mendapat rahmat dan keberkatan Ilahi dan diharapkan ianya menjadi satu titik permulaan ke arah memperkasakan lagi dakwah dan tarbiyah selari dengan matlamat penubuhan Bintulu iqra Center, InsyaALLAH.

2 Komen:

~hikari said...

mg Allah memberkati segala usaha BIC juz for ummah...

B.I.C said...

Jzkk ;)

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Free Blogger Templates | Walgreens Printable Coupons