May 24, 2011

Ziarah Dakwah ke Rumah Panjang Siba dan Uting



Bintulu – 17 Mei 2011, BIC dan Yayasan Amal Malaysia ( YAM ) BIntulu telah berjaya mengadakan siri Ziarah Dakwah ke rumah Panjang Siba dan Rumah Panjang Uting di persimpangan Bakun. Seperti biasa semua sukarelawan BIC dan YAM Bintulu telah berkumpul di Masjid Darul Hidayah seawal jam 7 pagi. Konvoi kali ini diketuai oleh Ustaz Faez dan dibantu oleh Ustaz Zunaidi Yusof sebagai penunjuk arah. Sebelum konvoi bermula, sesi taklimat mengenai pergerakan dan perjalanan telah disampaikan oleh Ustaz Ibrahim. Alhamdulillah, konvoi kali mencatat sejarah kerana disertai hampir 60 orang sukarelawan yang kebanyakannya terdiri dari guru-guru baru yang berkeinginan untuk melihat suasana di rumah panjang.


Jarak perjalanan lebih kurang 50km dari Bandar Bintulu. Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang 40 minit. Alhamdulillah, konvoi kami telah selamat tiba ke rumah panjang pertama iaitu Rumah Panjang Siba. Tuai Rumah, mengalu-alukan kehadiran kami dan mengucapkan jutaan terima kasih di atas kunjungan dan ziarah bagi membantu keluarga yang susah. Pihak kami dimaklumkan ada sebuah keluarga yang telah masuk Islam dan memerlukan pembelaan. Mengikut makluman tuai rumah tersebut, mereka sama sekali tidak meminggirkan keluarga Islam tersebut.



Seterusnya kami bergerak ke Rumah Panjang Unting yang terletak di persimpangan menghala ke Bakun. Kedatangan kami ini tidak diduga samasekali oleh masyarakat Iban di sana kerana kehadiran yang begitu ramai. Tuai rumah sangat teruja dengan kehadiran kami. Beliau mencadangkan ada siri ziarah pada waktu yang lain ke tempat mereka memandangkan pada waktu ziarah kami, ramai di kalangan mereka yang bekerja di luar. Hanya sebahagian kaum ibu sahaja yang tinggal. Menurutnya keluarga Islam yang tinggal di rumah panjang ini ada lebih kurang 15 keluarga. Mereka hanya pulang apabila apabila cuti panjang kerana sebilangan besar daripada mereka bekerja di luar.


Apapun pengalaman sepagi ini dapat memberi kesedaran khususnya kepada peserta ziarah dakwah yang baru pertama kali berkunjung ke rumah panjang. Seterusnya, sebelum berakhir ziarah dakwah pada pagi tersebut, peserta ziarah dakwah telah singgah ke tempat rehat Sim Swee Joo yang terletak di Batu 6 ½ Jalan Bintulu Miri. Sungguh kami tidak menduga bahawa terdapat kawasan yang bersih dan cantik di Bintulu ini sebagai tempat untuk rehlah dan bersantai. Kami sempat bertaaruf dan beramah mesra dengan peserta ziarah dakwah, memandangkan ada sebilangan kecil yang baru pertama kali mengikuti siri ziarah ini.


Pihak penganjur ziarah dakwah kali ini mengucapkan berbanyak-banyak jutaan terima kasih di atas komitmen bagi menjayakan siri ziarah kali ini. Harapan kami agar ziarah ini selain mempertautkan ikatan ukhuwah di kalangan peserta ziarah, ianya juga meninggalkan kesan sentuhan perasaan dan emosi apabila mereka melihat kehidupan masyarakat rumah panjang yang perlu perhatian dan pembelaan dari masyarakat yang Bintulu. Insyaallah pada siri-siri ziarah yang akan datang, pihak penganjur dicadangkan supaya membuat aktiviti secara bersama seperti permainan, ceramah atau pemeriksaan kesihatan dan lain-lain sebagai aktiviti yang mendekatkan masyarakat rumah panjang dengan masyarakat luar.

Untuk lebih gambar, sila layari Galeri BIC di sini.



Jzkk ;)

1 Komen:

Abu Irsyad said...

Terima kasih kepada semua yang telah menjayakan siri Ziarah Dakwah ini, semoga Allah memberi keberkatan di dalam usaha-usaha dakwah ini.

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Free Blogger Templates | Walgreens Printable Coupons