Jul 5, 2011

SKI 2011: Sambutan Di Luar Jangkaan!



Bintulu, 2 Julai 2011 – Bintulu Iqra Center dan JAIS dengan kerjasama beberapa agensi lain telah berjaya menganjurkan Seminar Kewangan Islam. Seramai 239 peserta telah berdaftar dengan pihak penganjur. Ini merupakan sambutan luar biasa yang mana pada peringkat permulaannya hanya 150 orang sahaja sasaran penyertaan. Ini menunjukkan bahawa masyarakat telah sedar tentang betapa penting muamalah secara Islam. Untuk itu mereka berusaha untuk mencari ilmu, khususnya berkaitan dengan Ilmu Muamalah.



Dua pembentang kertas kerja telah didatangkan khas dari Kuala Lumpur, iaitu Ustaz Ahmad Arif Bin Arshad, Penolong Naib Presiden Ar Rajhi Bank dan Ustaz Mohd Nazri Chik, Penolong Pengurus Bahagian Syariah, Bank Islam Malaysia Berhad. Tiga sesi pembentangan telah dibentangkan oleh pembentang dengan tajuk-tajuknya iaitu Ekonomi dan Kewangan Islam, Emas dan Perak di dalam Kitaran Ekonomi dan Isu-isu Syariah di dalam Pelaburan Kontemporari.



Daripada pembentangan tersebut, rata-rata para peserta mengucapkan syukur dan terima kasih di atas peluang dan manfaat yang mereka perolehi. Sesungguhnya program tersebut amat bermanfaat kerana ianya menimbulkan kesedaran betapa muamalat yang dilakukan selama ini jauh dari mendapat redha Allah. Pengerusi BIC, Dr Ahmad Afifi di dalam ucapan penangguhannya menyeru semua peserta agar meninggalkan transaksi berasaskan riba’ bermula dari sekarang dan berhijrahlah kepada sistem kewangan Islam. Kewajipan BIC menyampai sudah selesai, terpulang kepada para peserta untuk sedar dan berubah ke arah kebaikan.



Walaupun penyertaan tersebut dikenakan bayaran sebanyak RM10 akan tetapi manfaatnya jauh lebih besar dari itu. Dengan bayaran RM10 peserta disediakan makan 3 kali dan dibekalkan dengan kertas kerja beserta dengan sijil penyertaan sebagai bukti bahawa mereka telah mengikuti seminar kewangan Islam tersebut.

Pengarah Program SKI 2011, Ustaz Mohd Nasir Bin Abd Fatah mengucapkan terima kasih di atas sokongan kepada BIC di atas sambutan yang diberikan serta mengucapkan terima kasih juga kepada semua badan dan agensi kerjasama serta tenaga kerja yang bertungkus lumus memastikan kejayaan program ini. Insyallah, kesempatan pada masa akan datang pihak BIC bersedia untuk mengadakan program seumpama itu.



Lagi gambar-gambar sekitar SKI 2011 boleh dilihat di sini.


Jzkk

1 Komen:

Anonymous said...

Tahniah...lepas ni ke buat lagi

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Free Blogger Templates | Walgreens Printable Coupons