Bayangkan kalau anda hanya tinggal satu hari sahaja untuk hidup. Apakah yang anda akan buat pada hari ini? Apakah yang bakal anda tinggalkan untuk keluarga anda? Apakah yang anda mahukan yang terbaik untuk anak-anak anda terus hidup tanpa anda di sisi mereka?
Pejamkan mata dan bayangkan semua di atas. Tarik nafas dalam-dalam. Fikir sejenak. Adakah kita sudah puas hati dengan hidup kita hari ini dan esok kalau tak hidup lagi pun, kita akan tenang di sana nanti. Bila saya fikir balik, kenapa Rasul yang mulia meletakkan status bijak kepada sesiapa yang selalu mengingatkan kematian, adalah supaya kita lebih bersedia dalam apa jua keadaan sekalipun. Persediaan amalan (utama untuk akhirat), persediaan ilmu (untuk hidup), persediaan harta (untuk menyumbang), persediaan keluarga, persediaan apa yang terbaik untuk kita tinggalkan andai nyawa kita tidak lagi diberi Tuhan keesokan hari.
Oleh itu, firman Allah di dalam Surah Luqman, ayat 34, “Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (samada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya”.
Sebab itu semua orang sangat perlu bersedia. Bila kita bersedia dengan ilmu dan amalan yang mantap, Allah SWT itu amat mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Apa yang bakal ditinggalkan juga akan ringan bebanannya dan mudah perjalanan mereka walaupun kita tiada menemani.
Persoalannya, adakah kita semua betul-betul bersedia? Adakah kita semua sudah tahu apa rancangan kita untuk menghadapi 2015 nanti?
Selamat Datang Tahun Baru 2015. Tetapi sejauh manakah anda rasa ianya dialu-alukan di dalam hidup anda. Adakah anda betul-betul diterima. Tetamu ada yang datang dengan temujanji dan ada yang datang tanpa temujanji. Tapi, walaupun ada tetamu yang datang tanpa memberitahu lebih awal, kita tetap akan menyambut kedatangannya disebabkan kita memang sentiasa bersedia.
Tahun 2015 yang bakal menjadi tetamu kita esok, walaupun kita sedia maklum akan kedatangannya, sedia maklum apakah cabarannya, namun adakah kita masih sentiasa bersedia atau hanya menyerah pada takdir untuk berubah?
Atau, apakah yang masih kurang dalam kehidupan anda. Ketahuilah, orang yang berjaya adalah orang yang sentiasa bersedia tidak kira apa sahaja cabaran dan rintangannya. Mereka sangat peka dan sensitif pada setiap apa sahaja isu yang timbul.
Tuhan mengikut sangkaan hambaNya. Apa yang kita sangka atau fikir itu menjadi satu doa.
Ada banyak cara untuk mencari redha Allah swt, untuk mendapatkan kasih sayangNya. Dan apa yang ramai orang tidak sedar atau tidak faham ialah, bila kita mencari redhaNya, bila kita berjalan kepadaNya, Allah swt berlari kepada kita, bila kita mendekatiNya, Dia lebih lagi hampir kepada kita sebagaimana Hadis yang bermaksud:-
Dari Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah Saw bersabda: Allah berfirman:
“Aku menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Aku bersamanya apabila dia mengingat-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, maka Aku mengingatinya dalam diri-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam suatu kelompok, Aku mengingatinya dalam kelompok yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekati-Ku satu jengkal, maka Aku mendekatinya satu hasta. Jika dia mendekati-Ku satu hasta, maka Aku mendekatinya satu lengan. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku datang kepadanya dengan berlari”.
(Sahih al-Bukhari, Kitab: at-Tauhid, Bab: Qaul Allah Ta’ala wa Yuhadzdzirukumullah Nafsah. Juz: 6, halaman: 2694, no: 6970. Penerbit: Dar Ibni Katsir. Al-Yamamah, Beirut, Lubnan. Cetakan ke-3, tahun: 1407H/1987M)
Dan cuba fikirkan dengan mudah, jika Tuhan kepada sekalian alam meredhai kita, mengasihi kita, bukankah hidup kita akan lebih mudah Insya Allah?
Usaha dalaman pula melibatkan usaha dengan memperbaiki hubungan hati kita kepadaNya dan sesama makhluk terutamanya manusia lain. Peliknya ialah, untuk kita memperbaiki kehidupan kita, lebih banyak kita buat perkara di bawah ini, Insya Allah kehidupan kita akan lebih tenang dan kita boleh rasai keberkatanNya serta kemurahan rezekiNya.
Lihat ujian Allah swt kepada ramai di kawasan bencana banjir. Ujian mereka adalah apa yang berlaku kepada mereka datangNya dari Allah swt dan ujian kita adalah adakah kita sanggup dan bersedia membantu mereka dengan harta atau wang yang kita ada sedangkan ianya datang dari Allah swt juga?
Formula kejayaan yang sebenar di dunia ini adalah bila kita beriman dengan Allah swt dan Rasul saw serta gunakan apa yang diberi pinjamanNya untuk membantu orang lain, untuk menambah nilai hidup orang lain dan memberi manfaat kepada orang lain.
Akhir kata, terima kasih kepada tuan puan #Bintulu Iqra' Center di dalam sumbangan wang, tenaga dan barangan atau makanan untuk dihantar kepada mangsa banjir. Insya Allah, saya sendiri juga akan turun lagi ke beberapa kawasan di Kelantan untuk sama-sama agihkannya nanti sebelum kami bantu negeri-negeri lain.
Ujian ini adalah ujian untuk kita semua. Jika anda ada kekuatan untuk paling kurang buka online banking anda dan transfer RM100 atau RM1,000 atau RM10,000 sebagaimana yang telah ditransferkan ke akaun Bintulu Iqra' Center beberapa hari ini, bagi saya itu bukan mudah dan anda mempunyai hati yang kuat dan baik. Mudah-mudahan Allah swt balas dengan limpahan rahmat dan barokahNya. Amiin.
Wallahu A'lam.
Ustaz Ahmad Muzakir Ahmad Shukri
Pengerusi Bintulu Iqra' Center