Oct 29, 2008

MAJLIS PENGHARGAAN PENTAZKIRAH RAMADHAN 1429H

29 Oktober 2008 / 29 Syawal 1429H, Bintulu : Alhamdulillah, pada malam tadi telah berlangsung majlis penghargaan untuk para pentazkirah sempena Program Penghayatan Ramadhan Al-Mubarak 1429H. Majlis ini dianjurkan oleh JAKSA dengan kerjasama JAIS dan BIC. Program ini diadakan di bangunan JAIS cawangan Bintulu. Kehadiran jemputan amat menggalakkan. Program bermula pada pukul 8.00 malam yang dipengerusikan oleh Ustaz Mohd Siroj bin Abdul Latiff. Pengisian majlis pada malam itu ialah ucapan daripada En Abdul Mu'in bin Abdul Kassim dan seterusnya Ustaz Khalifah bin Juli diikuti oleh tazkirah ringkas daripada Ustaz Ahmad Mukkarom bin Hilal. Kemudian diikuti dengan penyampaian sijil dan cenderamata kepada pentazkirah yang disampaikan oleh En. Abdul Mu'in bin Abdul Kassim dan Ustaz Khalifah bin Juli.

Tujuan majlis ini diadakan ialah untuk memberi penghargaan kepada para pentazkirah yang sedia dan sudi untuk menyumbang tenaga, idea dan fikiran untuk pembangunan ummah. Mudah-mudahan para pentazkirah akan dapat terus istiqamah untuk menyampaikan ceramah dan tazkirah pada masa akan datang. Insya Allah.

Pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ustaz Mohd Siroj dan rakan-rakan daripada JAKSA dan BIC yang mengatur dan menyusun para pentazkirah untuk turun di enam lokasi utama untuk memberi tazkirah kepada jemaah. Bukan kerja senang untuk menyusun atur perjalanan tazkirah dan menetapkan jadual tazkirah kepada para ustaz dan jurutera kerana jadual di tempat kerja yang padat. Bukan setakat malam, bahkan waktu siang juga kena bertazkirah (waktu zohor). Apa pun inilah sumbangan yang dapat diberikan untuk ummah.

Pihak kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Jabatan Agama Islam Sarawak Bahagian Bintulu terutama kepada Ustaz Khalifah bin Juli, Penasihat JAKSA yang terdiri daripada En. Abdul Mu'in bin Abdul Kassim, Ustaz Ahmad Mukkarom bin Hilal, En Shafian bin Japar, Ustaz Ubaidillah bin Abdul Hamid dan Tuan Haji Kadir bin Jaya. Semoga gandingan para penasihat dan dibantu oleh jawatankuasa yang dibentuk mampu untuk melaksanakan dan meningkatkan lagi program-program berbentuk pembangunan modal insan pada masa akan datang.

Ucapan terima kasih juga kepada semua pengerusi-pengerusi masjid antaranya Masjid Darul Hidayah, Masjid Assyakirin, Masjid Daerah, Masjid Jepak, Surau Attaqwa, Surau RPR Kidurong dan Surau Sungai Plan. Insya Allah pada masa akan datang kita akan mengatur dan memperbanyakkan program-program yang seumpama ini dengan lebih baik lagi.

Sesungguhnya, aktiviti sepanjang Ramadhan 1429H amat memberi ingatan dan kesan kepada masyarakat muslim di Bintulu. Insya Allah, bersama-samalah kita berdoa agar kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan yang telah kita tinggalkan pada tahun akan datang. Insya Allah.

Gambar program " MAJLIS PENGHARGAAN PENTAZKIRAH RAMADHAN 1429H " yang berlangsung di bangunan JAIS pada 29 Oktober 2008 ( Rabu ) bersamaan 29 Syawal 1429H.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Salehuddin bin Abu Samah

Antara pentazkirah yang hadir ke majlis tersebut

Encik Abdul Mu'in bin Abdul Kassim menyampaikan amanat dan harapan kepada semua pentazkirah

Ustaz Khalifah bin Juli, Pegawai JAIS memberi sokongan kepada BIC dan JAKSA untuk mempelbagaikan program pada masa akan datang

0 Komen:

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Free Blogger Templates | Walgreens Printable Coupons