Showing posts with label info. Show all posts
Showing posts with label info. Show all posts

Aug 13, 2009

Forum Di Ambang Ramadhan


Insyaallah, Forum Di Ambang Ramadhan yang bertajuk "Ramadhan: Persediaan dan Penghayatan" akan di adakan pada hari Sabtu ini, 15 Ogos 2009 bersamaan 23 Sya'aban 1430H di Dewan Martabat, RPR Sebiew.

Marilah sama-sama kita menghadirkan diri untuk lebih menghayati dan memahami ibadat puasa yang bakal kita laksanakan Ramadhan ini.


Aug 3, 2009

Karnival AMAL Merdeka 2009 Edisi Ramadhan

Jul 14, 2009

Siri Ceramah Sempena Isra' dan Mikraj 1430H

Assalammua'laikum wrt wbt...

Jawatankuasa Kebajikan Islam Bintulu Port Sdn. Bhd. dengan Kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak Bahagian Bintulu (JAIS), Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Bintulu (JKTAIB) dan Bintulu Iqra’ Center (BIC) menganjurkan beberapa siri ceramah di sekitar Bintulu bersempena dengan sambutan Isra' dan Mikraj tahun 1430H.

Penceramah kali ini dijemput khas dari Semenanjung iaitu Dr Haji Abdul Basit bin Haji Abdul Rahman. Beliau merupakan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Ismail Petra (KIAS). Untuk mengenali beliau dengan lebih lanjut, lawati http://www.abuanasmadani.com

Beliau ditemani oleh isterinya iaitu Ustazah Nik Zulaili binti Nik Yaacob. Ustazah Nik Zulaili akan menyampaikan ceramah dalam siri ceramah khusus untuk wanita.

Bersama-sama meramaikan lagi majlis agama ini.

(Klik pada gambar untuk melihat jadual ceramah)


Siri Ceramah untuk Umum



Siri ceramah khusus untuk wanita

Apr 22, 2009

FIQH MAZHAB SYAFI'E: KADAR NAJIS YANG DIMAAFKAN

Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh kepada tetamu ziarah sekalian,


AlhamduliLLAHirabbil ‘alameen ‘alaa kulli haal,

Segala puji bagi ALLAH SWT Tuhan Sekalian ‘Alam ke atas segala-galanya,

Selawat dan Salam ke atas RasuluLLAH SAW serta keluarga Baginda, para sahabat, tabiin serta itba’ tabi’in.


Untuk entri kali ini, saya ingin membawakan salah satu bab kecil daripada Fiqh Thaharah (Bersuci) Mazhab Syafi’e sebagai perkongsian ilmu. Bagi yang tidak mengetahui, ianya merupakan satu pertambahan ilmu yang bermanfaat. Bagi yang sudah tahu pula, anggaplah perkongsian kerdil ini sebagai revision/ulangkaji ataupun sekadar sebuah revisit untuk mengingat semula perkara-perkara yang pernah kita pelajari.

Rata-rata penganut Mazhab Syafi’e di Malaysia, apabila sudah masuk ke dalam bab Najis ini – merekalah yang paling sensitif. Kadangkala untuk bersolat di tengah padang ataupun di tepi jalan pun sudah merasa ragu sedangkan sifat najis langsung tidak zahir ataupun tidak jelas kewujudannya di situ. Sikap ini seolah-olah membawa kepada sikap berlebih-lebihan lantas ditakuti membuahkan perasaan was-was. Kaedah fiqh menyatakan “Keraguan tidak dapat dihilangkan/dihapuskan dengan syak”.

Mungkin apa yang bakal dinaqalkan/dipindah kata di sini bakal sukar diterima oleh sesetengah daripada kita, kerana mungkin dirasakan pendapat itu seperti asing dan pelik. Walau apapun, hakikatnya terserah kepada ALLAH SWT. Apa yang penting, pendapat-pendapat para ulama’ lebih-lebih lagi di dalam Mazhab Syafi’e boleh diterima pakai selagi tidak ada percanggahan dengan Al-Qur’an dan Sunnah, apatah lagi di dalam Mazhab Syafi’e yang hanya membataskan suatu hukum itu disandarkan kepada 4 sumber sahaja, iaitu Al-Qur’an dan As-Sunnah, dituruti pula oleh Ijma’ dan kemudiannya Qias.


Kaedah Pengambilan / Penetapan Hukum Dalam Mazhab Syafi’e

Sedikit maklumat tambahan mengenai kaedah pengambilan hukum oleh Imam Syafi’e, beliau hanya berpegang kepada 4 perkara:

1. Al-Qur’an

2. As-Sunnah

3. Ijma’

4. Qias

Beliau tidak mengambil pendapat para sahabat sebagai sumber mazhabnya kerana dikhuatiri ia berkemungkinan ijtihad yang salah. Beliau juga tidak beramal dengan istihsan yang diterima oleh golongan mazhab Hanafi dan Maliki. Dalam hal mengambil istihsan ini, beliau berpendapat “Sesiapa yang melakukan istihsan bererti dia membuat syari’at”. Beliau juga telah menolak masalih mursalah dan tidak bersetuju menjadikan ‘amal Ahlul Madinah (perbuatan penduduk Madinah) sebagai hujjah.

Maka tidak hairanlah Imam Syafi’e mendapat nama jolokan “Nasir As-Sunnah” yang bermaksud Penolong Sunnah.


Kadar Najis Yang Dimaafkan Dalam Mazhab Syafi’e

Menurut pendapat ulama’ Mazhab Syafi’e tidak ada najis yang dimaafkan kecuali najis-najis berikut:

Najis yang tidak dapat dilihat oleh mata yang sederhana seperti darah yang sedikit dan percikan air kencing yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Ini termasuk jikalau ianya percikan kencing anjing dan juga babi. Ini selagi mana zatnya tidak jelas pada penglihatan mata kasar. Tidak perlu diteliti sehingga ke tahap diperiksa dan dibelek-belek di kawasan yang disyaki ini. Ini akan lebih menyusahkan. Sedangkan syara’ tidak membebankan sehingga ke tangga tersebut.


Dari Hal Darah

Kadar yang sedikit dan banyak daripada darah jerawat atau bintit-bintit, darah pijat, darah bisul, darah kudis atau kurap dan nanah adalah di antara najis yang dimaafkan. Begitu juga darah kutu babi, kutu manusia, nyamuk, agas, pijat dan seumpamanya yang terdiri daripada binatang yang darahnya tidak mengalir. Dimaafkan juga tempat berbekam dan hisapan darah, najis lalat, air kencing kelawar, kencing tidak lawas, darah isithadhah, air kurap atau kudis dan air-air bisa lain yang mempunyai bau dan yang tidak mempunyai bau menurut pendapat yang azhar/kuat. Kesemuanya dimaafkan kerana sulit untuk mengelakkan diri daripadanya. Ruang kemaafan yang diberikan adalah luas, selagi mana ianya berlaku dengan tidak disengajakan.

Contohnya, jika kesan luka itu mengalir tidak disengajakan maka ianya dimaafkan. Tetapi apabila keruping luka itu digaru misalnya sehingga menyebabkan darah mengalir dengan banyak, maka ianya tidak dimaafkan dan tidak boleh dibawa untuk solat. Apabila berada di dalam solat, maka batallah solatnya itu. Walau bagaimanapun, perkara tersebut adalah dimaafkan jika kadarnya adalah sedikit.

Kadar sedikit dan banyak ini adalah bergantung kepada uruf ataupun adat, kerana tidak ada di dalam mana-man nas yang menyentuh bagaimana yang dikatakan kadar sedikit dan banyak. Ianya adalah semata-mata ijtihad para ulama’.

Jika dipicit jerawat, bintit-bintit ataupun bisul ataupun dibunuh kutu ataupun membentangkan kain ataupun membawa kain yang terdapat najis yang dimaafkan itu, maka yang dimaafkan adalah yang kadarnya sedikit sahaja kerana amat sulit untuk mengelakkan diri daripadanya. Tidak dimaafkan kulit kutu anjing dan seumpamanya. Begitu juga dimaafkan menurut pendapat yang azhar (lebih jelas) kadar yang sedikit daripada darah ajnabi selain daripada anjing dan babi. Antara contoh darah ajnabi ialah darah yang telah terpisah daripada badan seseorang kemudian kembali mengenainya semula. Darah anjing dan seumpamanya tidak dimaafkan biarpun sedikit kadarnya disebabkan hukumnya yang berat.

Adalah jelas bahawa asas kemaafan yang diberikan kepada darah-darah lain selain anjing dan babi selama mana ia tidak bercampur dengan darah ajnabi. Jika ia bercampur dengannya biarpun ia (iaitu darah ajnabi) berasal daripada darahnya sendiri dari bahagian anggota yang lain, maka kesemuanya tetap tidak dimaafkan.


Kesan Istinja’, Darah Sembelihan Pada Pakaian Dan Sekitar Kenajisan Tanah

Dimaafkan kesan najis di tempat istinja’ yang menggunakan batu bagi diri orang yang berkenaan sahaja, tidak bagi diri orang lain, sekalipun tempat itu berpeluh dan lembap, tetapi belum berpindah ke tempat yang lain.

Dimaafkan juga najis yang sukar untuk dielakkan pada kebiasaannya seperti tanah jalanraya yang memang diyakini kenajisannya, dengan beberapa syarat:

  1. Najis itu tidak jelas di tempat-tempat itu
  2. Orang yang berkenaan telah berusaha mengelakkan diri daripadanya seperti dia tidak membiarkan hujung bawah ataupun kaki pakaiannya terlepas ke bawah sehingga mencecah tanah tersebut.
  3. Najis itu mengenainya semasa dia sedang berjalan ataupun menunggang, bukannya semasa dia terjatuh ke atas tanah.

Dengan itu, penentuan kadar sedikit yang dimaafkan adalah berdasarkan keadaan orang yang terlibat apabila dia tidak terjatuh ke atas sesuatu najis itu ataupun tersembam mukanya ke atas najis. Maksud di sini ialah kadar itu bergantung kepada kadar najis yang terlekat padanya, dengan syarat najis itu terlekat padanya bukan disebabkan dia terjatuh atau terpijak najis itu.

Maknanya, apabila dia terpijak, tersembam mukanya ke atas najis itu ataupun terjatuh ke atas najis itu, maka najis tersebut tidak dimaafkan dan menuntut seseorang itu melakukan thaharah.

Walau bagaimanapun, di dalam kes tanah ini apabila tidak diyakini tentang kenajisannya tetapi hanya berdasarkan zan (berat sangkaan) sahaja seperti kebanyakan jalan raya, maka kedudukan tanah itu dan seumpamanya samalah seperti pakaian tukang pembuat arak, pakaian kanak-kanak, penyembelih atau penjual daging dan ikan dan juga pakaian orang kafir yang mempercayai bahawa agamanya menuntut penggunaan najis, maka menurut pendapat yang asah (lebih sah)- ia adalah suci berdasarkan asalnya. Tetapi jika tidak ada sangkaan tentang kenajisannya, maka ia dihukum bersih, sama seperti air pancuran bumbung rumah yang disangkanya najis tetapi ia masih tetap dihukum bersih.

Mengenai pakaian tukang sembelih, penjual daging dan seumpama dengannya, kemaafan hanyalah ke atas mereka yang bergelumang dalam keadaan tersebut setiap hari. Ini jikalau kadarnya adalah sedikit. Contohnya, tukang sembelih dan penjual daging sememangnya akan sentiasa terdedah kepada percikan darah dan sukar untuk dielakkan.


Beberapa jenis lagi najis yang dimaafkan dalam mazhab Syafi’e.

Dimaafkan bangkai ulat buah-buahan, ulat cuka dan keju yang terjadi daripada bahan-bahan itu selama ia tidak keluar daripada dalamnya, yang kemudiannya dimasukkan semula ke dalamnya sesudah ia mati, dan selama mana ia tidak merubahkannya.

Dimaafkan juga *Al-Infihah (iaitu sejenis bahan berbentuk enzim yang digunakan sebagai penggumpal dalam pembuatan keju. Zaman sekarang ianya dikenali dengan beberapa nama iaitu pepsin, rennet ataupun whey) yang digunakan untuk keju, serta alkohol yang digunakan di dalam ubat-ubatan dan berbagai jenis pewangi

Dimaafkan juga asap najis (najis yang dibakar), wap air najis yang jatuh atau menitik dengan sebab api, roti yang dipanaskan ataupun yang ditanam di dalam abu najis biarpun sebahagiannya terlekat pada roti itu.

Juga dimaafkan pakaian yang disidai di atas dinding yang dibina daripada abu najis kerana sulit untuk mengelakkannya.

Dimaafkan tahi burung yang terdapat di atas tanah lapang ataupun di atas tanah jika sulit untuk dielakkannya yang tidak disengajakan berjalan di atasnya kecuali kerana terpaksa seperti ia menjadi tempat laluan yang mesti dilalui, dan di kiri kanannya tidak terdapat rumput yang lembap.

Dimaafkan bulu najis yang sedikit yang bukan daripada anjing dan babi, umpamanya bulu kucing, arnab, dan yang selainnya. Dimaafkan juga bulu yang banyak daripada binatang yang ditunggangi kerana sulit untuk mengelakkannya.

Ini adalah selagi bulu tersebut bukan berasal daripada babi ataupun anjing ataupun anak daripada kedua-duanya ataupun salah satu daripadanya dengan binatang lain. Jika bulu tersebut berasal daripada binatang-binatang ini, maka tidak dimaafkan walaupun sedikit.


Dimaafkan juga:

Kesan cacahan (tatu)

Tahi ikan yang terdapat di dalam air selagi mana ianya tidak mengubah sifat air itu.

Darah yang masih terdapat pada tulang ataupun daging.

Air liur yang keluar daripada usus seorang pesakit yang sedang tidur.

Tanah dan kotoran yang terkena kepada diri pengembala ataupun pemandu.

Tahi binatang yang termasuk ke dalam susu yang diperah daripadanya selagi tidak berubah keadaan susu tersebut dan kuantiti najis tersebut adalah sedikit. Kes ini kemungkinan berlaku apabila diperah susunya, dan pada masa yang sama ianya terkencing dan dilibas-libaskan ekornya, sehingga terdapat sedikit serpihan ataupun percikan daripadanya sehingga termasuk ke dalam labu susu perahan berkenaan.

Tahi ataupun kencing binatang yang terkena biji-bijian ketika ia memijaknya. Ini merujuk kepada konteks di mana binatang seperti lembu ataupun kerbau digunakan untuk memecahkan biji padi ataupun jerami ataupun lainnya.

Kesan tahi binatang berkaki empat yang bercampur dengan tanah.

Najis yang terkena madu lebah. Apa yang dimaksudkan di sini ialah kebiasaannya sarang lebah diperbuat daripada tanah dan juga sedikit najis binatang sepeti tahi lembu. Maka madu itu boleh digunakan dan kenajisannya adalah dimaafkan.

Kenajisan mulut kanak-kanak ketika memberi susuannya ataupun ketika mengucupnya.


Penutup

Daripada perkongsian ini, saya mengharapkan agar ada manfaatnya kepada tetamu ziarah sekalian. Sekurang-kurangnya mungkin terubat kemusykilan-kemusykilan yang timbul.

Saya amat mengesyorkan agar pembaca sekalian untuk merujuk kembali kepada ustaz, tok guru ataupun orang alim lain yang arif mengenai hal ini. Saya tidak menggalakkan pembaca hanya mengambil pendapat-pendapat di sini tanpa merujuk kepada guru, ditakuti pembaca tersilap dalam memahami penyataan-penyataan yang telah disebutkan di atas.

Walau bagaimanapun, apa yang dinaqalkan di sini semuanya bersifat telus/direct/straight to the point dan bahasanya telah dipermudahkan untuk memudahkan pembaca untuk memahaminya. Semuanya telah disampaikan tanpa kiasan untuk memudahkan pemahaman pembaca.

Semoga ada keberkatan dan manfaat dari ALLAH SWT atas usaha yang Maha Kerdil ini, agar memudahkan lagi masyarakat tentang hukum-hukum Islam berkaitan Fiqh Thaharah ini serta ruang lingkup kemaafan yang luas di dalam Islam, bersandarkan Fiqh Mazhab Syaf’ie yang diamalkan umum penduduk Malaysia dan Asia Tenggara.

WaLLAHua’lam.


Rujukan:

Kitab Fiqhul Islami Wa Adillatuhu Al-Juz’ Al- Awwal/ Fiqh Dan Perundangan Islam Jilid 1 susunan Dr Wahbah Zuhaili, Dalam Bab Kadar Najis Yang Dimaafkan: Mazhab Syafi’e, halaman 155-157. Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka Cetakan 1997.

Kuliah Agama Fiqh Thaharah Ustaz Azhar Idrus dengan judul kuliah “Penawar Lalat”.

*Istilah Al-Infihah : Rujuk Munir Ba’alBakkiy, Al-Maurid cetakan 1997 dan Majalah Ummat no. 39, 20 April 1998, halaman 77.


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

9.10pm,

Selasa, 21 April 2009,

Bintulu, Sarawak.

Feb 5, 2009

KULIAH FIQH MUSLIMAH

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Firman Allah Taala :

[يَرْفَعِ اللهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ] [المجادلة: 11]

" Allah Taala akan mengangkat darjat kedudukan orang yang beriman di kalangan kamu dan orang-orang yang menuntut ilmu ke beberapa darjat yang tinggi di sisiNya." (Surah Al-Mujadalah : 11)

Sabda Nabi Muhammad Sollallahu 'alaihi wasallam :
(طلب العلم فريضة على كل مسلم)
" Menuntut ilmu (mendalami ilmu tentang agama Allah) adalah wajib ke atas setiap orang yang beriman kepada Allah."
Hadith Sahih

Sabda Nabi Muhammad Sollallahu 'alai wasallam :
«من سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له طريقا إلى الجنة»
" Sesiapa yang berada di atas jalan orang yang menuntut ilmu, nescaya Allah akan memudahkan baginya jalan untuk menuju ke syurgaNya."
Hadith Sahih

Sabda Nabi Muhammad Sollallahu 'alaihi wasallam :

«من يرد الله به خيرا يفقهه في الدين»

"Sesiapa yang Allah Taala mahu mengurniakan kepada seseorang itu kebaikan, nescaya Allah akan membuka jalan kepadanya untuk memahami ilmu agama."

Hadith Sahih


Di atas rasa kesedaran yang tinggi tentang kepentingan membantu masyarakat Islam di Bintulu khususnya kaum wanita untuk mendalami ilmu agama terutamanya yang berkaitan dengan permasalahan FIQH MUSLIMAH, pihak Bintulu Iqra' Center dengan kerjasama Nisa' Bintulu dan Biro Wanita Masjid Darul Hidayah akan menganjurkan Kuliah Fiqh Muslimah secara dwi mingguan (dua kali sebulan)khusus untuk muslimat di Bintulu.
Berikut adalah butiran tentang program tersebut :

KULIAH FIQH MUSLIMAH
oleh :
USTAZAH JUNAIDAH BINTI HAJI SUHAI,
Guru Pendidikan Islam,
Sekolah Menengah Kebangsaan Bintulu.

Hari : Sabtu
Masa : 9 pagi hingga 11 pagi
Tempat : Dewan Solat Masjid Darul Hidayah, Kidurong.
Yuran : PERCUMA
KULIAH SIRI 1 AKAN BERMULA PADA 7 FEBRUARI 2009
BERSAMAAN 11 SAFAR 1430H

Kaum ibu dan remaja Muslimat di Bintulu adalah dijemput hadir untuk bersama-sama untuk mendapatkan peluang yang bermanfaat ini. Semoga Allah memberkati usaha yang mulia ini.

Posted by Abu 'Ammar Al-Madani


Jan 24, 2009

Rintihan Saudara Kita di Ulu Kota

Saudara kita sesudah mengucap Syahadah memeluk Islam


Petikan dari penulisan Ustaz Mohd Amir Ridhwan Bin Abdullah, Pegawai HIKMAH Wilayah Tengah Sarawak.
----------------------------------------------------------------------------------------
MASALAH YANG DIHADAPI MUALLAF/ SAUDARA KITA DI ULU KOTA

Sebagaimana dijelaskan sebelum ini, hubungan penduduk rumah panjang dengan orang luar sememangnya amat baik sebelumnya. Malah kemasukan kepada agama Islam di kampung ini semakin bertambah setiap kali kami mengadakan lawatan dan ziarah. Secara umumnya semua penduduk rumah panjang telah boleh menerima kehadiran kami dengan baik. Namun akhir-akhir ini berlaku kekecohan dan permasalahan yang ditimbulkan oleh pihak Missionnary (Kristian) di kampung ini berikutan kebimbangan mereka terhadap bertambahnya penganut Islam di Ulu Kota.

Pihak Kristian yang mulanya diwakili oleh guru sekolah yang tinggal di situ telah bekerjasama dengan pihak gereja untuk melakukan suatu agenda bagi menghalangi penyebaran Islam di situ. Lantaran itu penduduk Islam di sini telah difitnah dengan berbagai keadaan dan dipulaukan oleh masyarakat mereka.
---------------------------------------------------------------------------------------

Jan 21, 2009

Program Umrah BIC 1430H


Bismillahirrahmanirrahim.

Firman Allah Taala :
Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah
(Surah Al-Baqarah, ayat 196)

Hadis
Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: " Ibadat Umrah hingga ibadat Umrah berikutnya adalah kifarat dosa di antara keduanya. Manakala ibadah Haji yang Mabrur iaitu Haji yang diterima, tiada ganjarannya selain dari Syurga".
Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim
(Sohih Muslim No Hadith : 2403)


Assalamu'alaikum wr wb,

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dirahmati Allah Taala,

Di sini, dimaklumkan bahawa pihak Bintulu Iqra' Center http://bintulu-iqracenter.blogspot.com/ dengan kerjasama Jagong Mas Travel Sdn. Bhd akan mengadakan Program Umrah, Ziarah Makkah, Madinah dan Mesir pada 27 MEI 2009 (RABU) sehingga 14 JUN 2009 (AHAD).

Sehubungan dengan itu, jika tuan-tuan dan puan-puan berminat untuk menyertai program ini, sila berhubung dengan nama-nama yang tertera di bawah :

1) Ustaz Salehuddin bin Abu Samah ( 019-4823755 ) madinah78@yahoo.com
2) Ustaz Ibrahim bin Mat Isa ( 019-45335119 ) abuierfan@yahoo.com
3) Tuan Haji Abdul Ghani bin Haron ( 017-3361055 ) ghani@kimia.gov.my
4) Tuan Haji Abu Bakar bin Drahim ( 019-8845049 )

Untuk makluman, tempat yang disediakan oleh pihak Jagong Mas Travel adalah terhad.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
Ustaz Salehuddin bin Abu Samah,
Penasihat Bintulu Iqra' Center.

BUTIRAN LANJUT PROGRAM UMRAH, ZIARAH MAKKAH, MADINAH DAN MESIR Anjuran Bintulu Iqra Center dengan kerjasama Jagong Mas Travel (278488-A)
Harga Pakej RM 6,500.00 (tidak termasuk tambang BTU-KUL-BTU)
– PENERBANGAN EGYPT AIR (Kuala Lumpur – Cairo - Jeddah – Cairo - Kuala Lumpur)

Harga Pakej Termasuk :
· Tiket penerbangan dari Kuala Lumpur – Cairo - Jeddah – Kuala Lumpur kelas ekonomi
· Visa dan pengangkutan bas berhawa dingin Jeddah-Madinah–Mekah–Jeddah serta Ziarah
· Makan dan minum sepanjang tempoh pakej mengikut aturcara pakej
· Khidmat mutawif berpengalaman (pembimbing)
· Hadiah beg roda , beg sandang, buku doa , air zam-zam 10 liter
· Umrah percuma 2 kali ( pengangkutan ke tempat miqat )
· Penginapan sebilik 4 atau 5 orang

HARGA PAKEJ TIDAK TERMASUK :
· Perbelanjaan peribadi seperti telefon, khidmat basuh baju dan sepertinya
· Lawatan yang tidak termasuk di dalam aturcara
· Bayaran denda beg yang melebihi had timbangan yang di tetapkan, (EXCESS BAGGAGE)

SYARAT-SYARAT PENDAFTARAN :

-Membayar deposit RM 1000.00 seorang
-Pasport antarabangsa mempunyai tempoh sah laku tidak kurang dari 6 bulan
-4 keping gambar visa bersaiz 4 x 6 cm berlatar belakang putih, bersaiz muka 70 – 80 %
-Pasport dan gambar yang lengkap hendaklah di serahkan 30 hari sebelum tarikh berlepas untuk penempahan tiket penerbangan dan visa umrah
-Pembatalan selepas deposit tiket di bayar kepada syarikat penerbangan akan di tolak mengikut dari syarikat penerbangan
-Pembatalan selepas Visa di keluarkan akan di tolak RM 350.00
-Pembatalan selepas tiket penerbangan di keluarkan bayaran denda akan di tolak mengikut kadar semasa dari syarikat penerbangan
-Pembatalan lewat dari 2 minggu sebelum berlepas/ bayaran balik 50 % dari harga pakej
-Bayaran penuh 3 minggu sebelum tarikh berlepas
-Perubahan jadual penerbangan adalah tertakluk kepada perubahan dari syarikat penerbangan dengan notis.

ATURCARA PERJALANAN PROGRAM

27 MEI 2009 (RABU) BINTULU-K.LUMPUR - MH 2743 - WAKTU 14.30 - 16.30

HARI 1 - 27/05/09 KUALA LUMPUR – CAIRO (RABU)
Berkumpul di lapangan terbang KLIA urusan check in 3 jam sebelum penerbangan seterusnya berlepas ke Cairo

HARI 2 - 28/05/09 CAIRO (KHAMIS)
Setibanya di Cairo, jemaah akan disambut oleh wakil kami dan seterusnya ke hotel dan check in, berehat seketika. Kemudian jemaah akan di bawa melawat sekitar Bandaraya Kaherah, Masjid Al-Azhar & Masjid Iman Al Hussein, kilang kristal serta Bazaar Khan Al Khallili .

HARI 3 - 29/05/09 CAIRO - PIRAMID (JUMAAT)
Selepas sarapan melawat kawasan Piramid di Dataran Tinggi Giza untuk melihat 3 piramid yang terkenal dan satu di antaranya dikenali sebagai salah satu dari tujuh keajaiban dunia. Yang terbesar adalah Piramid Cheop diikuti kedua terbesar Piramid Cephren dan yang kecil Piramid Mycerinus terdapat patung Sphinx. Selain itu anda juga akan di bawa melawat ke Bazaar Minyak Wangi, Bazaar Payprus, Maqam Imam Syafie, Masjid Amru, kemudian Masjid Sultan Hassan dan Maqam Saidina Napisah.

HARI 4 - 30/06/09 CAIRO - ISKANDARIAH (SABTU)
Selepas sarapan pagi jemaah akan di bawa melawat sekitar bandaraya Iskandariah (350km) termasuk Taman bunga Muntazah, Istana Raja Farouk, Masjid serta Maqam Imam Busoiri dan Maqam dan Masjid Lukman Al-Hakim dan Makam Nabi Danial.

HARI 5 - 31/06/09 CAIRO – JEDDAH – MADINAH (AHAD)
Acara bebas untuk membeli belah sehingga tiba masa untuk berangkat ke Airport untuk penerbangan ke Jeddah. Tiba di Jeddah jemaah akan di sambut oleh wakil kami (Hj Subhan) dan seterusnya menyambung perjalanan ke Kota Madinah. Perjalanan akan mengambil masa lebih kurang 5 jam. Tiba di Madinah check-in hotel dan berehat.

HARI 6 - 01/06/09 MADINAH (ISNIN)
Selepas sarapan pagi jemaah akan di bawa melawat sekitar Masjid Nabawi, Raudah, Makam Rasulullah S.A.W, Makam Saidina Abu Bakar R.A, Makam Saidina Umar Al Khattab serta Perkuburan Baqi’.

HARI 7 - 02/06/09 MADINAH - ZIARAH (SELASA)
Program ziarah di persekitaran Bandar Madinah.Rombongan akan dibawa ke Masjid Quba untuk sembahyang sunat Zhuha. Seterusnya rombongan akan terus ke masjid Jumaat, Masjid Qiblatain, Kilang mencetak Al – Quran (BERGANTUNG KEPADA KELULUSAN) Shuhada Uhud, Masjid tujuh, Medan Khandak dan seterusnya dalam perjalanan pulang, rombongan akan singgah di pasar kurma.

HARI 8 - 03/06/09 MADINAH - MAKKAH (RABU)
Acara bebas sebelah pagi, jemaah di minta mengemas barang masing-masing untuk bertolak ke mekah selepas makan tengahari, jemaah di minta memakai ihram dan perjalanan akan di singgah di Bir Ali untuk Miqat umrah. Tiba di Mekah di jangka jam 9.00 malam , jemaah yang berkemampuan akan di bawa ke Masjidil Haram oleh Petugas untuk menyempurnakan Tawaf dan Saei Umrah .

HARI 9 - 04/06/09 MAKKAH - ZIARAH (KHAMIS)
Selepas sarapan pagi jemaah akan di bawa melawat tempat – tempat peninggalan sejarah islam sekitar Mekah seperti Jabal Nur , Jabal Thurs , Arafah , Jabal Rahmah , Mudzalifah , Mina , dan seterusnya ke Masjid Jaaranah untuk Berniat Umrah ( MIQAT UMRAH )

HARI 10 - 05/06/09 (JUMAAT) -11/06/09 MAKKAH - ACARA BEBAS
Hari ini jemaah bebas mengerjakan Umrah secara bersendirian. Jemaah dinasihati untuk mengambil peluang keemasan semasa berada di Makkah bagi memperbanyakkan ibadat, Tawaf sunat dan mengerjakan Umrah setakat yang terdaya.

HARI 17 dan 18 - 12/06/09 (JUMAAT) -13/06/09 (SABTU) MAKKAH – JEDDAH – CAIRO -KUALA LUMPUR
Berangkat ke King Abdul Aziz International Airport Jeddah. Jemaah diingatkan supaya mengerjakan Tawaf Wida’ sebelumnya bertolak ke Jeddah. Tiba di Jeddah urusan check-in dan berlepas ke Malaysia.

14 JUN 2009 (AHAD) K.LUMPUR – BINTULU - MH 2742 WAKTU 11.35 13.45
Posted by Abu 'Ammar Al-Madani

Dec 16, 2008

Remaja BIC: Bintulu Interactive Circle

:: Sila Klik Untuk Besarkan Poster ::

Nov 24, 2008

AMAL Teruskan Program Qurban & Aqiqah Lagi Pada Tahun Ini

Dari web Yayasan Amal Malaysia:

Ummat Islam di Sabah, Kemboja dan Vietnam akan di berikan perhatian oleh pihak Yayasan Amal Malaysia (AMAL) pada tahun ini. Di samping itu, beberapa negara lain seperti Filipina, Sri Lanka, Bangladesh, Sierra Leone dan Myanmar juga dalam usaha AMAL untuk menyampaikan daging korban di sana.

Seperti mana yang kita ketahui bahawa ummat Islam di sana sangat memerlukan bantuan serta perhatian dari kita khususnya di Malaysia, Singapura dan Brunei. Menurut En. Jamaludin Hj Ellias selaku Ketua Biro Kebajikan AMAL Pusat, ada permintaan ummat Islam dari beberapa negara tersebut untuk AMAL hadir serta membuat ibadah korban di sana. Dengan itu, sekarang telah di buka tawaran tersebut untuk ummat Islam di Malaysia khususnya untuk menabur bakti dengan membuat ibadah korban pada tahun ini. Urusan korban boleh menghubungi terus Pak Jamal 019-6644796 atau En Azri 019-3843962 (AMAL Pusat).

Deligasi AMAL di jadualkan bertolak pada 7 Disember dan pulang 10 Disember 2008. Orang ramai juga adalah di pelawa untuk turut sama ke negara yang akan di jadualkan kelak. Dan mereka boleh membeli tiket penerbangan mulai sekarang dan hubungi terus Pak Jamal.

Harga Qurban = RM260/ 1 Bahagian (Kecuali di Filipina = RM290/ 1 Bahagian)
Harga Aqiqah = RM350
(Harga termasuk, Harga Belian Lembu, Kos Pengurusan dan lain-lain). Faktor ekonomi dunia juga menyebabkan harga meningkat pada tahun ini.

Nov 23, 2008

Kem Smart Solat 2008

Alhamdulillah, program berjalan dengan lancar sehingga selesai. Tahniah kepada semua peserta kerana berjaya untuk memenuhi masa selama sehari di BIC untuk bersama membaiki mutu solat masing-masing. Diharapkan agar segala pengisian program dapat memberi manfaat kepada peserta dan juga keluarga.

Adalah menjadi harapan BIC agar para peserta program-program serta kelas-kelas pengajian BIC akan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Maklumat lanjut beserta gambar-gambar serta montaj Kem Smart Solat 2008 akan dimuatkan dalam sedikit masa lagi. Diharapkan agar pengunjung laman blog BIC dapat kembali lagi untuk berita yang terkini.

Terima kasih atas sokongan.

Nov 16, 2008

CUTI PERSEKOLAHAN

Minggu ini bermula cuti persekolahan. Sebilangan besar tenaga pengerak BIC terutama para guru akan terbang meninggalkan Bintulu pulang ke kampung halaman masing - masing untuk menziarahi ibubapa dan sanak saudara.

Kalau kita 'check' tiket minggu ini semuanya penuh samada Airasia mahupun MAS. Tinggal sahabat jurutera MLNG / ABF yang meneruskan kerja - kerja dakwah. Insyaallah kami pulang untuk 'charge batery', tengok keluarga di kampung. Terima kasih kepada akhi Firdaus, Azizi dan adik - adik UPM yang menjaga BIC sepanjang cuti sekolah ini.

Ana senaraikan sahabat - sahabat BIC yang bercuti di kampung :
  1. Ibrahim dan family - pulang ke Selangor, Johor dan Pahang ( 16 Nov - 30 Dis 2008 )
  2. Ust Salehuddin dan family - Pulang ke Pahang dan Perak ( 18 Nov - 25 Dis 2008 )
  3. Ust Abd Hadi dan family - Pulang ke Perak dan Pulau Pinang ( 23 Nov - ? )
  4. Ust Rosman Mat Taip - Pulang ke Kedah ( 14 Nov - ? )
  5. Ust Ust Mohd Lutfi dan family - Pulang ke Selangor dan pahang pada 17 Nov - ? ) - beliau akan konvo pada 19 Nov 2008 di Putrajaya . Beliau akan menerima Diploma Pendidikan
  6. Ust Kamaruzahan ( Abun ) - Pulang ke Johor pada 6 Disember 2008
  7. Ust Abd Halim ( sedang berehat selepas menjalani pembedahan tulang belakang)
  8. Ust Mohd Siroj - Pulang ke Pulau Pinang pada 24 Nov 2008 dan tak kembali lagi.
  9. Ust Zainol Fakri - Pulang ke Kelantan pada 8 Nov - ?
  10. Ust Mohd Sardi - Pulang ke Kelantan pada 15 Nov - ? ( akan melangsungkan perkahwinan pada 12 Disember 2008 )
  11. Ust Syawal - Pulang ke Kelantan pada 15 Nov - ?
  12. Cikgu Faizoer - Pulang ke Kelantan pada 15 Nov - ?
  13. Cikgu Azraie - Pulang ke Kedah pada 12 Nov 2008 - ? ( akan melangsungkan akad nikah hari 16 Nov 2008 )
  14. Cikgu Nik Mohd Lizam - Pulang ke Kelantan pada 12 Nov 2008 - ?
  15. Kak Hamidah ( keluarga Abg Ghani ) - Pulang ke Kedah pada 16 Nov - ?
  16. Abg Mat dan Kak Jan sekeluarga - Pulang ke Perak pada 1 Dis 2008 - ?
Kepada sahabat - sahabat yang akan naik pelamin dan menimang cahaya mata, di doakan sentiasa di bawah lindungan dan peliharaan dari Ilahi. Kepada sahabat - sahabat yang berpindah didoakan mendapat kesejahteraan dan kemudahan di dalam segala urusan. Insyaallah kita bertemu lagi tahun hadapan.

Murid - murid yang mengikuti kelas tajaan BIC mestilah jangan lupa solat dan jangan tinggal mengaji. Kelas Bahasa Arab akan bercuti dan akan disambung pada tahun hadapan. Terima kasih di atas sokongan ibubapa terhadap perjuangan BIC.

' BERAMAL KERANA ALLAH '

IBRAHIM MAT ISA
PENGERUSI
BINTULU IQRA CENTER
TG KIDURONG.

Nov 15, 2008

KEM SMART SOLAT


BINTULU IQRA CENTER (BIC) akan mengadakan KEM SMART SOLAT bersempena dengan cuti sekolah.

Terbuka kepada kanak-kanak berumur 7 tahun hingga 14 tahun

Sumbangan minimum RM 5 bagi menampung kos makanan

Dapatkan borang pendaftaran di premis BIC atau daftarkan secara sms dengan menghantarkan ke 013-7713873 :: Kem Smart Solat, , ::

Nov 12, 2008

" BERPAUT DI DAHAN CINTA "

Sahabat - sahabat yang berkesempatan berada di Kuala Lumpur pada waktu itu, mari kita sama - sama mengikuti program di atas, Insyaallah, BIC akan cuba juga untuk menganjurkan program seperti ini di masa akan datang di Bintulu.

Nov 9, 2008

Rayuan Bangsa Moro

Petikan dari Blog Roslan:

Rayuan buat Bangsa Moro Bumi Moro masih bergelora. Saudara-saudara seaqidah kita menjadi mangsa terjahan tentera Filipina yang memburu tanpa belas ihsan para pejuang Islam di sana.

Saya menerima SMS dari salah seorang pimpinan Yayasan AMAL yang baru pulang dari sana. Kata beliau keadaan di Mindanao semakin getir. Hampir 2/3 dari ketumbukan Tentera Filipina telah dikerahkan ke sana. Akibat serangan ganas mereka kira-kira 600,000 Bangsa Moro kini menjadi pelarian perang apabila rumah mereka dibakar dan dimusnahkan serta kampung halaman mereka dirampas.

Menurut wakil Yayasan AMAL itu sangat sedikit bantuan kemanusiaan yang sampai ke sana.Yayasan AMAL Malaysia akan melakukan program korban disamping bantuan perubatan dan kemanusiaan sempena Aidil Adha nanti.

Oleh itu bagi sesiapa yang berhajat untuk menghulurkan bantuan pada saudara-saudara kita yang sangat dalam keperluan ini bolehlah mengambil bahagian. Sebahagian lembu bernilai RM290 manakala seekor kambing berharga RM320 seekor. Bagi mereka yang berhajat bolehlah menghubungi Sdr Hj Husin Ismail di 0199511860 atau terus mneyalurkan bantuan kewangan ke akaun Yayasan AMAL Malaysia di Maybank no. akaun 553010122090.

Semoga bantuan kita itu diberkati Allah swt.

Nov 7, 2008

PERINGATAN: SYARIKAT PENIPU

Salam alaik.Di sini ana nak memberi ingatan kepada semua ahli Bintulu Iqra Center supaya berhati-hati dengan syarikat SK Classic Hepta Layer Solution Sdn Bhd yang berada di tingkat bawah Park City Mall Bintulu. Syarikat ini merupakan syarikat yang dikategorikan oleh KPDN sebagai syarikat gores dan menang. Ramai yang telah tertipu dengan syarikat ini. Di sini ana terangkan serba sedikit tentang modus operandi syarikat ini yang ana petik dari forum consumer.

Make lucky draw ==> collect small gift ==> extra draw ==> big prize + RM100 Voucher ==> 4 term & Condition must follow for entile to bring back big prize. Simple but the sales person will bring your mind round and round.

1st : They will pretend shock when you draw big prize like Home Theater RM3988

2nd : Ask did you click wrong button or not at computer system?

3rd :Ask you wait while they call their manager.

4th : Manager talk to you through the hand phone ask you the same question as 2nd step. Then ask you follow 4 term and condition.

A. The prize you have win must use by yourself. ===> Easy
B. You must help promote the product if you feel good after use it. ===> Easy
C. Take your photo. ===> Getting difficult
D. You must use the Voucher to buy any product list at the computer screen
===> More dificult

The other product prize start RM2788. How much does the Home Theater actually?

You can buy branded Pioneer or Sony Home Theater at RM1388 only and come with black & white warranty card.

Ramai yang sudah tertipu. Ada kes melibatkan wang sehingga RM10k. Jurujual syarikat akan mengatakan bayaran boleh dibuat dengan easy payment dan meminta kad kredit anda. Tetapi semasa proses pembayaran,anda akan di kehendaki untuk melihat demonstrasi pemasangan dan pada masa itulah, kad kredit anda akan di swipe habis.

Bagi yang dah terkena,anda boleh ikuti langkah berikut:
1) Jika baru terkena,boleh call bank untuk batalkan pembayaran. Kita berhak.
2) Bagi yang dah terkena,boleh buat tuntutan di Tribunal Pengguna Malaysia di KPDN dan pastikan barangan syarikat terbabit tidak diusik.Boleh call azraie 013-4010490 untuk sbrg pertanyaan.

Ana harap, antum dapat menyebarkan kepada semua kawan-kawan supaya mereka terselamat dari tipu daya syarikat ini. Baru-baru ini, ana dapat maklumat seorang pekerja dari MLNG juga dah terkena.

Nov 4, 2008

Program Khidmat Masyarakat Sebauh




Oct 17, 2008

MAJLIS RAMAH TAMAH AIDILFITRI 1429H

Oct 15, 2008

HASLINA SALUDIN TELAH KEMBALI KE RAHMATULLAH

Sewaktu menerima Diploma KPLI j-QAF di Putrajaya


Ustazah HASLINA BINTI SALUDIN telah kembali ke rahmatullah pada pukul 7.30 pagi 14 Oktober 2008 bersamaan 14 Syawal 1429H di Hospital Temerloh. Allahyarhamah telah disahkan meninggal dunia disebabkan penyakit kanser yang dideritai sekian lama. Namun demikian Allah lebih menyayangi dan telah menjemput allahyarhamah ke hadratnya pada usia 29 tahun ( 1979 – 2008 ).


Allahyarhamah merupakan seorang guru j-QAF kohort 2005 yang pernah bertugas di SK Jepak, Bintulu. Sepanjang kami mengenalinya, beliau amat aktif dan sering menyumbang tenaga untuk program – program kebajikan khususnya motivasi. Kali terakhir beliau menyumbangkan tenaganya untuk Program Kem Remaja Harapan di UPMKB.


Sesungguhnya IKATAN j-QAF amat terasa dengan kehilangan allahyarhamah, memandangkan komitmen kepada Jawatankuasa Kebajikan guru – guru j-QAF amat tinggi sekali.


Mudah – mudahan Allah akan menerima segala amal kebaikan dan kebajikan yang telah ditabur untuk murid – murid yang pernah dididik dan diajar khususnya di dalam membaca al-Quran , Kem Bestari Solat dan tidak ketinggalan kepada sumbangan beliau untuk masyarakat di Kampung Jepak khususnya kaum ibu.


Moga-moga Allah akan mengampuni segala kesalahan dan kesilapan semasa berada di bumi Allah ini.


Untuk itu, satu MAJLIS BACAAN YASSIN DAN TAHLIL ke atas roh allahyarhamah akan diadakan pada 19 OKTOBER 2008, JAM 8.30 PAGI DI BINTULU IQRA’ CENTER. Semua sahabat handai yang mengenali beliau amat – amat di alu – alukan untuk hadir ke BIC pada tarikh dan masa tersebut.


IBRAHIM BIN MAT ISA

PENGERUSI

IKATAN GURU j-QAF

BINTULU

Oct 10, 2008

SALAM PENGENALAN BIC

Oct 4, 2008

Ucapan Selamat Hari Raya

Ucapan Selamat Hari Raya dari Ustaz Ibrahim, Pengerusi Bintulu Iqra' Center (BIC)

Ucapan Selamat Hari Raya dari Ustaz Sardi, wakil BIC cawangan Sungai Plan


Dari Al-Muhandisah yang ketika ini di Johor, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua muslimin dan muslimat, kepada para 'amilin dan 'amilat BIC, Nisa' Bintulu, JKIM MLNG dan JASA ABF, juga tidak dilupakan kepada PETRONita dan Aunty Min & Hj Nasur Sekeluarga.. Juga kepada seluruh ahli biro Wanita Darul Hidayah.. Selamat Hari Raya 'Aidilfitri, selamat kembali kepada fitrah dan Maaf Zahir Batin andaikata diri ini ada menyinggung hati.. Wassalam

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Free Blogger Templates | Walgreens Printable Coupons