Sep 30, 2008

PERUTUSAN SALAM 'EIDUL FITRI 1429H

PERUTUSAN SALAM 'EIDUL FITRI 1429H






Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam untuk Rasul Yang Mulia, juga untuk ahli kaum keluarganya, para sahabatnya dan juga untuk seluruh para pengikutnya yang istiqamah menelusuri jejak langkah perjuangannya.

Tuan-tuan dan puan-puan pengunjung Blog Bintulu Iqra’ Center (BIC) yang dirahmati Allah Taala,

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan SALAM ’EIDUL FITRI DAN UCAPAN DOA ” TAQABBALALLAHU MINNA WA MINKUM ” (Semoga Allah Taala menerima amalan kita semua) kepada semua pengunjung Blog Bintulu Iqra’ Center (BIC) khususnya kepada penganjur utama Program Penghayatan Ramadhan Al-Mubarak 1429H Bahagian Bintulu yang terdiri daripada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Bintulu, Pejabat Pelajaran Gabungan (PPG) Bahagian Bintulu, Jawatankuasa Kecemerlangan Sahsiah dan Akademik (JAKSA) dan Bintulu Iqra’ Center (BIC).

Ucapan ini juga ditujukan kepada Para Imam dan AJK Masjid Assyakirin, Masjid Darul Hidayah, Masjid Daerah Bintulu, Masjid Jepak, Pusat Islam Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu, Surau At-Taqwa RPR Sibiew, Surau Al-Mustaqim RPR Kidurong, Surau Al-Muttaqin Sungai Plan Lot, Surau An-Nur Flat Sungai Plan, Lembaga Amanah dan Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB), Jawatankuasa Kebajikan Islam Malaysia LNG, Jawatankuasa Kebajikan Islam Bintulu Port Sdn. Bhd, BAHARIS Bintulu Development Authority (BDA), Lembaga Pelabuhan Bintulu, JASA Asean Bintulu Fertilizer (ABF), Bank Rakyat Cawangan Bintulu, Jabatan Kimia Cawangan Bintulu, PETRONITA, PERAKAN (Persatuan Anak Kelantan) Cawangan Bintulu, Jamaah Islah Malaysia (JIM) Cawangan Bintulu, HIKMAH Bahagian Bintulu dan seluruh muslimin dan muslimat yang telah bersama-sama menyumbang dana, idea dan tenaga dalam menjayakan Program Penghayatan Ramadhan Al-Mubarak 1429H Bahagian Bintulu. Semoga Allah Taala menerima amalan kita semua dan mengurniakan ganjaran yang terbaik di akhirat kelak.

Saya juga mewakili seluruh ’Amilin dan ’Amilat (para petugas amal) Bintulu Iqra’ Center (BIC), Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak Unit Bintulu ingin mengucapkan SALAM ’EIDUL FITRI DAN UCAPAN DOA ” TAQABBALALLAHU MINNA WA MINKUM ” kepada semua para penyumbang dan dermawan khususnya untuk Program Ziarah Dakwah dan Ukhuwwah serta Program Sumbangan Anak Yatim dan Fakir Miskin. Kami dengan rasa rendah diri amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh tuan-tuan dan puan-puan kepada kami untuk melaksanakan amanah yang berat ini. Doakan agar kami dikurniakan sifat ikhlas, amanah dan terus istiqamah dalam melaksanakan misi ”Dakwah kepada ALLAH dan Prihatin kepada Ummah”. Ucapan ini juga kami hulurkan buat semua para pengunjung setia Blog Bintulu Iqra’ Center (BIC) yang dirahmati Allah Taala.

Khusus kepada seluruh ’Amilin dan ’Amilat (para petugas amal) Bintulu Iqra’ Center (BIC),

JAZAKUMULLAHU AHSANAL JAZA’ WA BARAKALLAHU FIIKUM JAMI’AN (Semoga Allah Taala mengurniakan sebaik-baik ganjaran dan memberkati kalian semua) yang telah bersedia dan sanggup bersusah payah menginfaqkan harta, tenaga, buah fikiran, masa dan sebagainya dalam usaha melaksanakan misi ”Dakwah kepada ALLAH dan Prihatin kepada Ummah”. Semoga usaha ’BERAMAL KERANA ALLAH” yang kita laksanakan ini akan sentiasa diiringi Nusrah (pertolongan) dari Allah Taala agar membekalkan kita dengan sifat ikhlas, amanah dan penuh tanggungjawab dalam menyusuri denai da’wah dan khidmah kepada ummah ini

Buat akhirnya, marilah kita bersama-sama menghayati maksud Firman Allah Taala ini :
Dan katakanlah: "Bekerjalah dan beramallah kamu, Maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaan amalmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan”. (Surat At-Taubah : ayat 105)

”BERAMAL KERANA ALLAH, ITU SYI’AR KITA”


Sekian, terima kasih.


Yang Amat Mengharapkan Keredhaan Allah,

USTAZ SALEHUDDIN BIN ABU SAMAH,
Pengerusi,
Jawatankuasa Program Penghayatan Ramadhan Al-Mubarak 1429H Bahagian Bintulu,
Merangkap Penasihat Bintulu Iqra’ Center.
Posted by Abu 'Ammar Al-Madani

Sep 28, 2008

ZIARAH DAKWAH III : SIMILAJAU DAN KG SG PLAN

Siapakah yang ambil kisah dengan kehidupan pakcik ini ???

Team BIC yang mengikuti aktiviti ziarah dakwah ke Similajau dan Kg Sg Plan

BINTULU, 22 SEPTEMBER / 22 RAMADHAN : Team BIC sekali lagi membuat program ziarah ke Similajau dan Kg Sg Plan. Seramai lebih kurang 30 orang team BIC menyertai aktiviti kali ini dengan menaiki 3 buah motosikal, Hilux, Waja dan Avanza.

Ketua ziarah kali ini ialah Ust Sardi. Bermula perjalanan pada pukul 9 .00 pagi yang mana semua team BIC berkumpul di Masjid Hidayah. Seperti biasa taklimat ringkas perjalanan dan doa agar dipermudahkan aktiviti di dalam melaksanakan aktiviti tersebut

Seramai 11 buah keluarga berjaya diziarahi dan team BIC menyerahkan bantuan yang berupa makanan asas dan duit raya.

Pihak pengurusan BIC mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam menjayakan aktiviti ziarah ini samada yang memberi sumbangan berupa wang ringgit, barang - barang makanan dan juga tenaga. Semoga segala sumbangan yang kita telah sumbangkan akan diterima oleh Allah sebagai sedekah.

Gambar aktiviti sepanjang perjalanan ziarah. Insafilah sebuah kehidupan.


Pihak BIC amat terharu dengan kehidupan beberapa keluarga yang amat daif dan terpinggir daripada arus pembangunan Bintulu. Sekiranya tuan - tuan ingin menghulurkan bantuan atau melihat sendiri kesusahan dan kepayahan kehidupan penduduk di Similajau, silalah berurusan dengan Bintulu Iqra' Center.

Keluarga ini amat terharu diatas ziarah yang dibuat oleh BIC, dan ibu ini sedang meluahkan perasaan terhadap kesempitan kehidupan mereka

Rumah yang serba kekurangan ini menjadi tempat berlindung dari panas dan hujan

Nenek ini tidak dapat bergerak dan amat terharu di atas kunjungan BIC

Ahli BIC bersedia untuk dikerah dimana - mana, bila-bila masa.
Akhi Faizal sedang memikul beras untuk menaiki rumah

di flat tingkat 4 kediaman sebuah keluarga mualaf


Siap sedia berkhidmat untuk masyarakat...

Ahli BIC....di mana - mana sahaja....


Sep 19, 2008

PROGRAM ZIARAH DAKWAH DAN UKHUWAH LABANG

Sep 18, 2008

Majlis Ifthor Jama'ie dan Sumbangan Anak Yatim/Miskin serta Meraikan Bakal Haji




Majlis Ifthor Jama'ie dan Sumbangan Anak Yatim/Miskin serta Meraikan Bakal Haji akan diadakan bertempat di Masjid Hidayah, Kidurong. Program ini merupakan anjuran Masjid Darul Hidayah, JAIS, PPG Bintulu, JAKSA dan BIC. Berikut adalah butir-butir maklumat program;


Tarikh : 20 Ramadhan 1429 H bersamaan 20 September 2008
Masa : 3.30 PM - 9.30 PM
Tempat : Masjid Darul Hidayah, Kidurong.


Untuk maklumat lanjut, bolehlah menghubungi Ust Sardi 0139235267



ZIARAH DAKWAH II : KAMPUNG LABANG

" Ziarah dakwah " bersama sebahagian masyarakat Kampung Labang

Bintulu, 14 September : Team BIC sekali lagi turun " Ziarah Dakwah " untuk menyampaikan bantuan ke Kampung Labang. Seramai 25 keluarga telah terpilih untuk menerima bantuan dari BIC yang telah disumbangkan oleh orang ramai. Bantuan berupa barang - barang keperluan asas seperti beras, gula, minyak, tepung, milo dan sebagainya untuk memberi kegembiraan kepada masyarakat yang memerlukan.

Keluarga yang terpilih adalah daripada kalangan mereka yang fakir dan miskin, anak - anak yatim dan mualaf. Semua keluarga yang merima bantuan ini mengucapkan syukur kepada Allah di atas rezeki yang diberikan dan mengucapkan terima kasih kepada semua pemberi - pemberi dan penderma.


Di bawah ini, gambar - gambar program untuk tatapan pembaca :

Sebelum bertolak " team BIC " mendengar taklimat perjalanan
yang disampaikan oleh Ust Hani
f

Konvoi " Ziarah Dakwah " ke Kampung Labang

Sebahagian " team BIC " siap sedia untuk ke seberang menggunakan perahu

Sebahagian peserta yang menerima bantuan

Antara barang - barang yang di sampaikan kepada penerima bantuan

Salah sebuah kenderaan untuk masuk ke Kampung Labang, di samping 2 buah bot

Ahli BIC bersama dengan Guru Besar SK Labang En Francis

Pihak BIC mengucapkan terima kasih kepada Ketua Kampung Labang,Tuan Imam dan tidak ketinggalan Ustaz Nazri dan Hanif di atas kerjasama yang diberikan sepanjang program ini. Ucapan terima kasih kepada sahabat - sahabat BIC di atas pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit. Moga - moga Allah akan menerima segala amal yang kita lakukan.

Sep 12, 2008

QUNUT TARAWIH SHEIKH MUSTHOFA AL-FADL

SAMBUNGAN TAZKIRAH SYEKH MUSTHOFA DI MASJID DARUL HIDAYAH

Sep 11, 2008

RAMADHAN; FADHILAT DAN IBADAH-IBADAH YANG DITUNTUT DI DALAMNYA


Bismillahirrahmanirrahim

RAMADHAN;
FADHILAT DAN IBADAH-IBADAH YANG DITUNTUT DI DALAMNYA

Tazkirah Ramadhan di Surau JASA ABF, Bintulu, Sarawak.
11 Ramadhan 1429H bersamaan 11 September 2008

Oleh:
Ustaz Abu 'Ammar Al-Madani
B.A (Hons.) Syariah, Islamic University of Madinah
Diploma Pendidikan (KPLI)

FADHILAT (KELEBIHAN) RAMADHAN

1. Firman Allah Taala : “Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan ke atas kamu ibadah puasa sepertimana yang telah difardhukan ke atas umat sebelum kamu semoga kamu beroleh ketaqwaan” (Surah Al-Baqarah, ayat 183)

2. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A: Bahawa sesungguhnya Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda ketika datang bulan Ramadhan: “Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan yang penuh keberkatan, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa, dalam bulan ini pintu Jannah dibuka, pintu Neraka ditutup, syaitan-syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini terdapat satu malam yang nilainya sama dengan seribu bulan, maka barangsiapa yang tidak melakukan amalan kebaikan di dalamnya, sesungguhnya dia tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini.”
(Riwayat Ahmad, Nasa’ie dan Baihaqi, hadith sohih)

3. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila pada malam permulaan Ramadhan, syaitan dibelenggu dan jin diikat, seluruh pintu Neraka ditutup dan tidak dibuka walaupun satu pintu, seluruh pintu Jannah dibuka dan tidak ditutup walaupun satu pintu, Selanjutnya ia berkata: ”Dan dalam bulan ini terdapat malaikat yang selalu menyeru: Wahai orang yang selalu beramal kebaikan, teruskanlah amalan kebaikan anda, wahai orang-orang yang berbuat kejahatan, berhentilah daripada melakukan perbuatan jahat . Seruan ini terus dilaungkan sehinggalah akhir bulan Ramadhan.”
(Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Nasa’ie)

4. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, sesungguhnya Nabi Sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: ”Solat lima waktu, Solat Jumaat sehingga Solat Jumaat berikutnya, puasa Ramadhan sehingga puasa Ramadhan berikutnya, akan dapat menutup dosa-dosa (kecil) yang dilakukan di antara keduanya, dengan syarat dosa-dosa besar dijauhi.” (Riwayat Muslim)

5. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru R.A, bahawa sesungguhnya Nabi Sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: ”Puasa dan Qur'an akan memohon syafa’at untuk seseorang yang beramal dengannya pada hari Kiamat nanti. Puasa berkata: Wahai Tuhanku, aku telah mencegahnya daripada memakan makanan dan mengikut runtunan nafsu syahwatnya pada siang hari, maka kurniakanlah kepadaku hak untuk memohon syafa'at baginya. Dan berkata pula Al-Qur'an: Wahai Rabbku, aku telah mencegahnya daripada tidur pada malam hari kerana membacaku, maka kurniakanlah kepadaku hak untuk memohon syafaat untuknya. Maka kedua-duanya diberi hak untuk memohon syafaat.” (Riwayat Ahmad, hadith hasan)

6. Diriwayatkan dari Sahal bin Sa'ad R.A, sesungguhnya Nabi Sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: ”Bahawa sesungguhnya di dalam Jannah itu terdapat sebuah pintu yang disebut "Ar-Rayyaan". Pada hari kiamat nanti akan diseru: Di manakah orang-orang yang telah menunaikan ibadah puasa? (untuk masuk Jannah melalui pintu itu), apabila orang yang terakhir di antara mereka sudah memasuki pintu itu, maka ditutuplah pintu tersebut.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

PENGAJARAN HADITH

Kesemua hadith di atas memberi pengajaran kepada kita, tentang keutamaan bulan Ramadhan dan keutamaan beramal di dalamnya, di antaranya:

1. Bulan Ramadhan adalah:
a. Bulan yang penuh Barakah.
b. Pada bulan ini pintu Jannah dibuka dan pintu neraka ditutup.
c. Pada bulan ini syaitan-syaitan dibelenggu.
d. Dalam bulan ini terdapat satu malam yang keutamaan beramal di dalamnya lebih baik daripada beramal seribu bulan di bulan lain iaitulah malam LAILATUL QADAR.
e. Pada bulan ini, setiap hari terdapat malaikat yang menyeru sesiapa yang berbuat baik agar meneruskan kebaikan tersebut dan yang berbuat maksiat agar menahan diri.(sila rujuk dalil 2 dan 3)

2. Keutamaan beramal di bulan Ramadhan:
a. Amal kebaikan dapat menutup dosa-dosa kecil di antara Ramadhan yang terdahulu dengan Ramadhan berikutnya.
b. Menjadikan bulan Ramadhan sebagai wasilah mendapatkan syafa’at.
c. Khusus bagi yang berpuasa, Allah akan menyediakan pintu khusus yang bernama Ar-Rayyaan untuk memasuki Jannah. (sila rujuk dalil 4,5 dan 6).

IBADAH-IBADAH YANG DITUNTUT DI DALAM BULAN RAMADHAN

1. Menunaikan ibadah puasa dengan sebaik mungkin.

• Menjaga adab-adab puasa
• Melaksanakan perkara-perkara sunat puasa
• Menghindari daripada segala perkara yang boleh merosakkan puasa
Abu Hurairah R.A telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda tentang Ramadhan: ”Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa yang telah lalu.
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e, Malik, Ahmad dan Baihaqi)
Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda bahawa: "Barangsiapa yang berpuasa tetapi tidak juga meninggalkan kata-kata bohong bahkan mempraktikkannya, maka tidak ada nilainya bagi Allah apa yang ia sangkakan sebagai puasa bahkan dia hanya mendapat ganjaran sekadar meninggalkan makan dan minum sahaja " (Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Memperbanyakkan istighfar (memohon keampunan daripada Allah Taala). Memohon semoga Allah Taala menyelamatkan diri daripada dicampakkan ke dalam api neraka.

Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda: ”Sesungguhnya Allah menyediakan tempat-tempat untuk hambaNya yang akan dibebaskan daripada api neraka pada siang dan malam pada setiap hari dalam bulan Ramadhan. Semua orang muslim yang berdoa akan dikabulkan doanya".
(Riwayat Bazzar, Ahmad dan Ibnu Majah, hadithnya sohih)

3. Memperbanyakkan bacaan Al-Quran

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru R.A, bahawa sesungguhnya Nabi Sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda: ”Puasa dan Qur'an akan memohon syafa’at untuk seseorang yang beramal dengannya pada hari Kiamat nanti. Puasa berkata: Wahai Tuhanku, aku telah mencegahnya daripada memakan makanan dan mengikut runtunan nafsu syahwatnya pada siang hari, maka kurniakanlah kepadaku hak untuk memohon syafa'at baginya. Berkata pula Al-Qur'an: Wahai Rabbku, aku telah mencegahnya daripada tidur pada malam hari kerana membacaku, maka kurniakanlah kepadaku hak untuk memohon syafaat untuknya. Maka kedua-duanya diberi hak untuk memohon syafaat.”
(Riwayat Ahmad, hadithnya hasan)

4. Memperbanyakkan doa khususnya pada waktu-waktu mustajab

Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sesungguhnya Allah memiliki hamba-hamba yang dibebaskan daripada api neraka setiap siang dan malam dalam bulan Ramadhan. Semua orang muslim yang berdoa akan dikabulkan doanya"
(Riwayat Bazzar, Ahmad dan Ibnu Majah, hadithnya sohih)

Dari Abdulah bin Amr bin Al-'Ash, Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya orang yang berpuasa ketika dia berbuka memiliki doa yang tidak akan ditolak".
(Hadith Riwayat Ibnu Majah, Hakim dan Ibnu Sunni)

5. Berusaha mendapatkan peluang beribadat pada malam Lailatul Qadar

Rasullulah Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda: ”Berusahalah mencari malam Lailatul Qadar pada (malam-malam ganjil) pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan"
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

6. Memberi makan kepada orang yang berbuka puasa

Rasulullah Sollallahu 'alaihi wasallam bersabda: ”Barangsiapa yang memberi makanan kepada orang yang berbuka puasa, nescaya dia akan mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu tadi walaupun sedikit"
(Hadith Riwayat Ahmad,Tarmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan disahihkan oleh Tarmizi)

7. Solat Tarawih pada setiap malam Ramadhan

Abu Hurairah R.A telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah Sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda tentang Ramadhan yang artinya: ”Siapa yang mendirikan solat dalam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa yang telah lalu. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasa’ie, Malik, Ahmad dan Baihaqi)

8. *Beri’tikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadhan

Abu Hurairah R.A berkata bahawasanya Rasullulah Sollallahu 'alaihi wasallam sering beri’tikaf pada setiap Ramadhan selama sepuluh hari dan manakala tibanya tahun beliau diwafatkan padanya, beliau beri’tikaf selama dua puluh hari. (Riwayat Bukhari)

* I’tikaf ialah beribadah di dalam masjid dengan mendirikan solat sunat, membaca Al-Quran, berzikir dan sebagainya sama ada dalam tempoh masa yang pendek atau sepanjang hari.

IBADAH-IBADAH LAIN YANG SANGAT DITUNTUT DI BULAN RAMADHAN

• Meningkatkan kesungguhan beribadah pada sepuluh malam terakhir Ramadhan
• Menunaikan kewajipan membayar zakat
• Solat berjamaah di masjid pada setiap waktu solat bagi kaum lelaki
• Bersedekah kepada insan yang memerlukan
• Mempereratkan ikatan sillaturrahim di antara ahli keluarga khususnya ibu, bapa dan ahli keluarga terdekat
• Melaksanakan kerja-kerja dakwah dan kebajikan kepada masyarakat

RUJUKAN:

1) Al-Quran Al-Karim
2) Kitab-kitab Hadith
3) Fiqh As-Siyam oleh Syeikh Yusof Al-Qaradhawi
4) Ahkam As-Siyam oleh Syeikh Muhammad ’Ali As-Shobuni

”Ya Allah, kami memohon keredhaanMu dan ganjaran syurga, ya Allah, kami memohon perlindungan daripada kemurkaanMu dan azab neraka”

Posted by Abu 'Ammar Al-Madani

KENANGAN PROGRAM DAKWAH DAN UKHUWAH KE NYALAU

Sep 10, 2008

TAZKIRAH SUBUH IMAM MAKKAH DI MASJID DARUL HIDAYAH

Sep 8, 2008

BUMI BINTULU DIZIARAHI TETAMU AGUNG DARI MAKKAH


Sheikh Musthofa Al-Fadl, Imam di Masjidil Haram di Makkah al Mukkaramah

Kehadiran Ramadhan 1429H menjadi sejarah pada Bintulu kerana menerima tetamu istimewa dari Makkah. Beliau ialah Sheikh Musthofa Al-Fadl, salah seorang imam di Masjidil Haram. Beliau hadir ke Bintulu di atas jemputan Hotel Plaza Regency.

Kehadiran beliau ke Bintulu amat - amat mengembirakan penduduk di Bintulu. BIC mengambil kesempatan untuk menaja jamaah Masjid Assyakirin untuk berbuka puasa bersama dengan Sheikh Musthofa Al-Fadl dan seterusnya beliau menjadi Imam solat fardhu dan tarawikh. Terasa seolah-olah pada malam itu Masjid Assyakirin bertukar menjadi Masjidil Haram. Ratusan jamaah bersolat di sana sehingga selesai 23 rakaat solat Tarawikh. "Jarang - jarang berlaku solat tarawikh sampai 23 penuh seperti ini". Kata salah seorang jamaah.

Pada Subuh 8 Septemper, beliau mengimami solat subuh dan seterusnya menyampaikan tazkirah di Masjid Darul Hidayah. Sesungguhnya amat bertuah kepada mereka yang sempat bersolat bersama beliau kerana bacaan beliau amat berbeza dengan bacaan kebanyakkan orang. Terasa setiap ayat yang dibaca amat menusuk kalbu. Apapun BIC mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada insan- insan seperti Abang Abdul Ghani Harun ( Jabatan Kimia ), Abang Mat dan Family di atas kesungguhan untuk membawa Sheikh Musthofa Al-Fadl ke tempat - tempat seperti yang dinyatakan di atas. Terima kasih juga di atas penajaan makanan untuk berbuka puasa, moga - moga Allah akan menerima setiap amalan yang kita lakukan.

Di bawah ini disertakan gambar - gambar untuk tatapan mereka yang tidak dapat bersama program tersebut.

Haji Abd Ghani Harun bersama tetamu khas dan penterjemah
beliau Us Salehuddin dan Us Lutfi

Suasana di dalam bilik VIP yang menempatkan tetamu jemputan berbuka puasa bersama BIC

Sheikh Imam sedang berdoa dengan bacaan doa yang sungguh menusuk kalbu para jamaah

Para jamaah khusuk meng'amin'kan doa yang dibacakan oleh Sheikh Imam

Para Jamaah terasa mereka seperti berada di Masjidil Haram Makkah

Abu Ierfan bergambar kenangan dengan Sheikh Musthofa Al-Fadl. Mudah - mudahan Ierfan dan Ammar akan menjadi Imam seperti beliau, Insyaallah.

Haji Abd Ghani insan penting yang membawa Sheikh Imam ke Masjid Assyakirin

Haji Bakar melakar kenangan bergambar dengan
Sheikh Musthofa Al-Fadl, Imam di Masjidil Haram di Makkah al Mukkaramah



- Abu Ierfan -




Sep 7, 2008

BIC BERSAMA IKIM


Bintulu, 6 September 2008 bersamaan 6 Ramadhan 1429H : Satu lagi catatan menarik terpahat pada diari aktiviti Bintulu Iqra' Center (BIC) apabila penerbit dan pengacara stesen radio IKIM telah turun ke Bintulu dan BIC berbesar hati untuk membantu mereka dalam mendapatkan maklumat siaran sekitar Bintulu.

Tujuan penerbit dan pengacara radio IKIM ke Bintulu adalah bagi mengumpul bahan sempena Ramadhan iaitu perkongsian pengalaman dengan saudara baru dan ucapan Selamat Hari Raya.




Antara gambar-gambar kenangan penerbit dan pengacara IKIM bersama Mualaf di Sekolah Kebangsaan Tanjung Batu.

Sep 6, 2008

BIC BERSAMA AJK MASJID HIDAYAH MENYEDIAKAN BUBUR LAMBUK

Satu lagi program BIC telah berjaya dilaksanakan sempena Program Penghayatan Ramadhan 1429H iaitu bergotong royong bersama AJK Masjid Hidayah membuat bubur lambuk. Program ini di ketuai oleh Us. Abd Hadi Ismail. Seramai hampir 50 orang ahli – ahli BIC terlibat di dalam membantu untuk menyiapkan bubur lambuk. Sekitar jam 5 Petang bubur lambuk diagih-agihkan kepada masyakat sekitar RPR Kidurong, Taman Jason, RPR Sibiew, Sg Plan dan Warga Hidayah. Di sini disertakan resepi dan bahan-bahan yang perlu untuk membuat bubur lambuk jenama BIC

.

( Contoh cara memasak untuk satu keluarga )


Bahan-Bahan:

Beras 1 pot, secubit halba, daging , garam secukup rasa, daun pandan, bawang putih hiris, lobak merah potong dadu (jika rajin dan suka) , bawang goreng (jika suka)
secubit serbuk lada putih, santan


Cara: -masukkan beras, bawang, daging, halba, daun pandan, lobak merah ke dalam periuk yang berisi air dan rebus sehingga mendidih
- masukkan santan, bawang goreng, serbuk lada putih,
-masak dalam lima minit, tutup api.


( Kalau tak jadi sila rujuk dengan Ustaz Abd Hadi 013 – 573 1321 )


Berikut gambar – gambar yang sempat di rakam sewaktu kerja – kerja penyediaan bubur lambuk BIC


Us Halim sedang memberi arahan kepada Akhi Firdaus

tentang cara memotong yang betul


Akhi Hassan memastikan daging dipotong dengan cara yang betul atau tidak


Us. Ruzaihan sedang tekun memotong daging


Us. Siroj menghiris bawang untuk digoreng


Abg Ramlee ( SU Masjid ) sedang asyik mengacau bubur

dengan dibantu oleh Us Ibrahim


Hj Omar ( penasihat BIC ) juga bersama - sama

dengan ahli - ahli BIC mengacau bubur lambuk


Ahli jemaah masjid mencuba mengacau bubur lambuk


" Seronok juga peluang kacau bubur lambuk ni "


" Wei! cepat - cepat, dah lewat ni, orang dah

beratur dah nak tunggu bubur lambuk kita ni "


Us Fuad, tekun menuang bubur ke dalam bekas,
takut-takut tertumpah...panas tuh


Alhamdulillah, kerja sama - sama, makan juga sama - sama. Tapi di dalam gambar ini, ketua tukang masak tak masuk, mana boss ni. Sorry Us Hadi..... Apapun terima kasih kepada semua Ahli - ahli BIC kerana dapat meluangkan masa, pada penderma - penderma, tidak ketinggalan kepada AJK Masjid, terutama kepada Pengerusi Ir Haji Naseer. Insyaallah ada kesempatan kita buat lagi yer....

- Abu Ierfan -




 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Free Blogger Templates | Walgreens Printable Coupons