May 30, 2009

Manisnya Dikasihi Orang



Siapa yang tak mahu dikasihi?
Semua orang mahu dikasihi.Dari sekecil-kecil insan,hinggalah yang tua.Kerana sememangnya lumrah manusia ingin dikasihi.

Pelbagai cara yang diguna oleh seseorang untuk menarik perhatian orang lain supaya dirinya disayangi.Contoh yang mudah,bayi menangis menarik perhatian ibu ayah.Jarang sekali kita lihat,ibu dan ayah membiarkan cahaya matanya menangis sendirian tanpa diambil bena.Tetapi,selalu;sering;setiap saat;masa;ketika..kita lihat orang tua menunggu anaknya pulang ke kampung halaman.Tunggu tanpa jemu meskipun bertahun lama tidak pulang.Tak pernah kita ambil kisah semua itu.Memanglah mereka tidak memaksa,tetapi diri sendiri perlulah ingat.Ibu dan ayah memerlukan kasih sayang kita juga.

Saya ingat lagi masa saya kecil-kecil dulu.Ibu dan abah saya singgah di suatu rumah orang-orang tua.Tak ingat kat mana.Saja-saja ziarah.Tengok keadaan orang-orang tua yang ada kat situ.Saya rasa sedih sangat tengok wajah-wajah mereka.Saya tak tahulah,kalau tengok muka orang tua,automatik macam nak nangis.Kenapa mereka duduk kat situ,saya pun tak tahu.Sebab duduk kat kampung boring agaknya.Anak asyik tak balik-balik kot.Masa tu,saya nak dijamu biskut bantal.Kesiannya lah kat nenek tu.Biskut pun dah masuk angin.Saya bukannya sedih sebab biskut tu masuk angin,tetapi mengenangkan nasib nenek tu.Manalah anak-anaknya.Biarkan mak macam tu.

Roomate saya pernah berpesan.Sayangilah ibu ayah selagi mereka ada.Roomate menangis-nangis bercerita,dia sangat menyesal tak sempat menyayangi arwah ayahnya betul-betul semasa hidupnya.Sayu dengar cerita dia.

Imam Muslim di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan sebuah hadith yang berbunyi:

Maksudnya: “Kehinaan bagi sesiapa yang memiliki kedua ibu-bapanya yang tua salah seorang atau kedua-duanya, dan tidak dapat memasuki syurga.”[1]

Al-Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini berkata: “Hadith ini berupa galakan untuk berbuat baik kepada ibu-bapa dan besarnya pahalanya, maknanya berbuat baik kepada mereka berdua ketika mereka tua dan lemah dengan memberi khidmat atau nafkah atau selainnya menjadi sebab dapatnya memasuki syurga, dan sesiapa yang mengurangi perkara ini (berbuat baik kepada ibu-bapa), dia terlepas dari dapat memasuki syurga dan Allah menghinakannya.”[2]

Demikian betapa besarnya kedudukan berbuat baik kepada ibu-bapa sehingga ia menjadi sebab beroleh syurga ataupun neraka.

Di dalam al-Adab al-Mufrad[3] al-Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas R.A. yang didatangai seorang lelaki dan bertanya:

Maksudnya: “Aku telah meminang seorang wanita, akan tetapi ia tidak menerima pinangan-ku, kemudian wanita itu dipinang oleh lelaki lain, dan wanita itu menerimanya, maka timbul perasaan cemburu aku terhadap wanita itu, lalu aku membunuhnya. Apakah bagi-ku ada peluang (diterima) taubat?
Ibn ‘Abbas bertanya: “(Apakah) Ibu-mu masih hidup?”
Jawab lelaki itu: “Tidak.”
Kata Ibn ‘Abbas: “Bertaubatlah kepada Allah A.Z.W.J. dan hampirkanlah diri kepada-Nya semampu-mu.”
‘Atho bin Yasar berkata: “Aku pergi bertanya kepada Ibn ‘Abbas: “Mengapa anda bertanya kepada lelaki itu apakah ibunya masih hidup?”
Jawab Ibn ‘Abbas: “Sesungguhnya aku tidak mengetahui adanya satu amalan yang lebih hampir kepada Allah A.Z.W.J. lebih daripada berbuat baik kepada ibu.”[4]

Hadith ini menunjukkan kepada kita bagaimana berbuat baik kepada ibu dapat menghapuskan kesalahan yang dilakukan, kerana itu sahabat Nabi S.A.W. Ibn ‘Abbas r.a. bertanyakan keadaan ibu lelaki tersebut apakah masih hidup ataupun tidak, sehingga dia dapat berbuat baik kepada ibunya, seterusnya dapat menghapuskan kesalahan dan dosanya. Dari Abu Hurairah R.A. Nabi S.A.W. bersabda:

Maksudnya: “Seorang anak tidak dikira dapat membalas kebaikan bapanya, melainkan jika dia mendapati bapanya menjadi hamba (kepada seseorang), kemudian dia membelinya dan memerdekakan bapanya itu.”[5]

wallahu'alam...

May 27, 2009

Blog Remaja BIC



ALHAMDULILLAH, Bintulu Iqra Center mengorak langkah dengan mewujudkan Blog untuk Remaja BIC.

Anda dapat melayari Blog Remaja BIC ini dengan "klik" pada logo Remaja BIC di ruangan kanan Blog BIC ini. Insyaalah blog ini akan dimuatkan dengan perkongsian-perkongsian mengenai remaja, program-program yang dilaksanakan dan lain-lain lagi.

Kepada semua pihak yang menjayakan Remaja BIC, selamat maju jaya. Semoga terus diberi istiqamah oleh Allah.

May 25, 2009

Bengkel Pemerkasaan AMAL Sarawak 2009-2011

Backdrop Bengkel AMAL 2009

Sesi Bengkel AMAL

AMAL Sarawak, 30 Jamadil Awwal 1430H: Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, pada hujung minggu lepas bermula petang Sabtu (23 Mei 2009) sehingga petang Ahad (24 Mei 2009), seramai hampir 50 orang ahli dan sukarelawan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak (AMAL Sarawak) telah berkampung di Villa Mardhiah, Bintulu untuk sama-sama berpartisipasi dan menjayakan Bengkel Pemerkasaan Halatuju dan Pelan Tindakan AMAL Sarawak bagi Sesi 2009-2011.


Program yang pertama seumpamanya selepas Muktamar Pertama Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak pada 15 Mac 2009 yang lalu ini dirangka khusus dengan objektif seperti berikut:

  • Membentuk dan menentukan halatuju AMAL Sarawak mengikut suasana setempat berlandaskan syariat Islam,
  • Membentuk Blue Print perlaksanaan gerak kerja AMAL Sarawak bagi sesi 2009-2011,
  • Menyediakan perancangan tindakan jangka pendek dan tindakan jangka panjang,
  • Mengeratkan lagi ukhuwwah antara pimpinan, ahli dan sukarelawan AMAL Sarawak.

Antara pengisian sepanjang program ini termasuklah Pengisian Khas daripada Ustaz Hj Elilas bin Zakaria, Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah berkongsi dengan para hadirin tentang “Dakwah dan Pengorbanan”. Beliau telah memberi penekanan kepada pentingnya Q&Q diberi perhatian dalam memastikan kejayaan misi dakwah. Q yang pertama ialah Quality iaitu kualiti dalaman ahli dan juga kualiti gerak kerja dalam pelaksanaan agenda kebajikan dan kemasyarakatan. Manakala Q yang kedua ialah Quantity, iaitu pentingnya usaha perkaderan dan mencari pelapis dakwah terus dijalankan. Selain itu, beliau juga menasihatkan ahli-ahli dan sukarelawan agar sentiasa menggunakan pendekatan berhikmah di dalam memasyarakatkan Budaya AMAL di Sarawak.


Sementara itu, Saudara Muhtar Hj Suhaili selaku Pengerusi AMAL Cawangan Sarawak pula telah berkongsi dengan rakan-rakan seusahanya berkenaan “Yayasan AMAL Malaysia di Sarawak… Satu Perjalanan”. Beliau telah mengimbas kembali tentang sejarah bertapaknya AMAL Malaysia di Sarawak, realiti dakwah di Sarawak, pencapaian semasa yang telah diikhtiarkan, program-program yang telah dilaksanakan, penekanan tentang pentingnya usul-usul muktamar diberi perhatian dan harapan agar semua ahli serta sukarelawan AMAL terus istiqamah dalam perjuangan.


Seterusnya Saudara Mohd Azwani bin Abdul Rani, Setiausaha AMAL Cawangan Sarawak telah menjadi moderator Bengkel Penetapan Pelan Tindakan dan KPI. Perbincangan telah dibahagikan kepada 6 kumpulan mengikut biro-biro seperti berikut:

  1. Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan
  2. Biro Pembangunan Insan dan Motivasi
  3. Biro Pembangunan Belia dan Sukan
  4. Biro Ekonomi dan Kewangan
  5. Biro ICT dan Multimedia
  6. Biro Hal Ehwal Wanita dan Keluarga.

Program selanjutnya diteruskan dengan sesi pembentangan dan sesi ‘brainstorming’ oleh setiap biro. Pelbagai program dan aktiviti, idea-idea bernas dan cadangan-cadangan mantap telah didiskusi dan dipersetujui. Kesemua hasil bengkel seterusnya akan diperhalusi dan disusun sebaiknya untuk dijadikan Blue Print pelaksanaan agenda AMAL Sarawak bagi sesi 2009-2011. Pembentangan resolusi menutup sesi bengkel dan mudah-mudahan segala yang dibincangkan ada khair dan manfaatnya kepada perjuangan menegakkan Islam di Bumi Kenyalang. Amiin.


Program selama dua (2) hari tersebut diakhiri dengan ucapan penangguhan oleh Ustaz Abdul Halim Abdul Kadir, Timbalan Pengerusi Cawangan Sarawak. Di dalam ucapannya, Ustaz Abdul Halim telah menekankan akan keperluan untuk kita melaksanakan amanah yang telah ditaklifkan dengan sebaik-baiknya ke arah memenuhi tuntutan Allah dan RasulNya. Beliau juga mencadangkan agar sinergi gerak kerja serta ‘networking’ dan ’smart-partnership’ dengan NGO-NGO Islam yang lain dapat dipertingkatkan pada masa akan datang demi kemaslahatan usaha dakwah dan islah. Kebajikan ahli-ahli juga wajar diberi pertimbangan yang sewajarnya demi memastikan rasa kebersamaan dan kekukuhan gerakan dapat dipertahankan.


Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Cawangan Kali Ke-2 juga telah diadakan sejurus selepas tamatnya program bengkel tersebut.


Bengkel AMAL 23-24 Mei 2009

Ikhwah AMALian yang hadir


Bengkel AMAL 23-24 Mei 2009-2

Akhawat AMALian yang hadir


Alhamdulillah, Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak dengan ini ingin mengucapkan syabas dan jazakumullahu khairan kathiran kepada semua ahli-ahli di atas komitmen dan kerjasama mantap di dalam menjayakan bengkel pada kali ini. Tahniah juga kepada Saudara Zahari Deli dan seluruh AJK pelaksana kerana berjaya melaksanakan program kali ini dengan cemerlang. Semoga Allah SWT menerima segala ‘amalan kita, terus mengikatkan hati-hati kita dalam iman dan mudah-mudahan kita semua akan istiqamah dalam kebaikan dan beroleh redhaNya. Amiin Ya Rabbal ‘Alamin.


“Berkhidmat Untuk Kemanusiaan, Ber’amal Kerana Allah”.


Sumber : http://amalsarawak.net/

May 21, 2009

Forum Perdana : Masjid Assyakirin

JAKET BIC UNTUK DI TEMPAH..DAPATKAN DENGAN HARGA YANG BERPATUTAN!!!





harga seperti berikut:

JAKET BIC KOD 005 RM 55
JAKET KOSONG KOD 005 RM 45
JAKET KOSONG KOD 006 RM 45
JAKET BIC KOD 015 RM 70
JAKET KOSONG KOD 015 RM 60


Kepada yang berminat untuk menempah untuk syarikat kerajaan,swasta,sekolah dan individu bolehlah menghubungi kami.Boleh menempah jaket kosong dengan design sulaman sendiri dengan bayaran tambahan RM10.Ini adalah harga promosi.Sebarang perubahan harga tanpa sebarang notis.

Untuk tempahan sila hubungi:

Azraie - 0134010490
email - ad_jani@yahoo.com




Ejen diperlukan.

May 18, 2009

Tazkirah Untuk Manusia Zaman Ini: Tangisilah Iman Yang Kian Mati Itu!


Assalamu’alaikum warahmatuLLAHi wabarakatuh,


AlhamduliLLAHi ‘alaa kulli haal,

Segala puja-puji kepada Al-Khaliq, Yang Maha Menciptakan ke atas segala-galanya,

Selawat dan salam isyarat kecintaan kepada HabibuLLAH Ar-Rasul SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda.


“Al-Iman Yazid Wa Yankus”,

Kita biasa dengar penyataan yang satu ini. Maksudnya, iman itu hakikatnya mempunyai turun naiknya. Sihat dan bertumbuhnya iman itu adalah atas hasil ikhtiar empunya hati yang memiliki iman itu sendiri. Begitu juga apabila bercerita tentang jatuh merudumnya iman, ianya adalah natijah daripada pekerjaan manusia yang ‘asi, atas ikhtiar yang empunya hati itu sendiri.


Susahnya menjaga iman ini.

Susahnya menjaga iman kerana di zaman ini ada banyak macam benda yang mempu mencuri iman itu daripada hati manusia. Tidak perlu melihat ke dalam sudut yang lebih dalam ataupun di perspektif yang lebih jauh, cukuplah dengan memandang keadaan di sekeliling kita – itu sudah cukup untuk menjadi asbab agar iman kita itu dibawa lari.

Aurat yang tidak tertutup sepenuhnya mampu merampas iman dari dalam jiwa hati manusia. Hiburan tanpa mengenal batasan mampu juga merompak iman manusia. Memenuhi tuntutan hawa nafsu makan secara berlebihan juga mampu merombak iman manusia. Di zaman ini, seolah-olah selautan perkara, sebanyak macam benda boleh menjadi asbab kepada berkecainya iman di dalam hati manusia.


Bahayanya bahana iman yang tidak terjaga itu.

Bahayanya sekiranya tuan empunya hati yang menyimpan iman itu tidak menangisi realiti keteguhan iman yang semakin goyah, tercabar semakin hari. Tidak menjaga lidah dalam berbicara, tidak menutup telinga seraya seruan-seruan fahsya’ dan munkar memasuki ruang pendengaran, tidak mahu menoleh ke arah zon yang menyelamatkan iman apabila mata mula meliar mencari dosa-dosa, tidak mahu menarik tangan apabila tangan-tangannya itu ditawarkan dengan emas permata tipuan dunia, tidak mahu mengangkat kaki untuk berhijrah ke arah yang menghidupkan, masih mahu duduk di takuk dosanya yang lama.



Alangkah gelapnya terasa di dalam dunia orang yang tidak mahu menjaga iman itu.

Mahu sahaja datangnya cahaya iman ke dalam hatinya, dia hambat dan dia tutup tingkap hatinya daripada menerima sinaran iman itu. Dia tolak kehadiran cahaya itu. Dia seolah-olah lebih suka di dalam gelap gelita dunia kesesatannya sendiri!


Alangkah sedih melihat iman yang tidak dijaga,

Sedihnya melihat iman yang tidak dijaga, kerana tidak mengetahui ataupun telah menutup mata sendiri tentang hakikat iman yang tidak dapat dijual-beli serta diwarisi. Menangis dan merana jiwa yang hampa apabila melihat sewenang-wenangnya manusia yang pada mulanya beriman di dalam hatinya telah dihanyutkan oleh badai perosak iman.

Hari ini iman sudah mudah-mudah dijual-beli, sudah mudah-mudah digadai. Sedangkan nilai pajakannya itu apabila dibandingkan dengan harga iman, maka harga iman kurniaan Tuhan tiada ditandingi. Iman sudah boleh dijual dengan tawaran gaji yang tinggi, iman sudah boleh ditukar dengan pujukan suami ataupun isteri, iman sudah boleh dilelong dengan pangkat dan jawatan tertinggi, iman sudah boleh dilepaskan dari tambatan hati dengan menunaikan nafsu syahwat yang tidak dipagari.


Hari ini iman menjadi saksi,

Bahawa tanpa dirinya di dalam hati orang-orang yang memiliki hati, nyawa dengan mudah diragut sana-sini. Kekayaan duniawi menjadi sasaran utama sehingga manusia lupa akan tujuan ukhrawi. Pasangan yang belum bernikah sudah boleh jadi persis laki-bini. Amanah pangkat dan jawatan sudah tidak lagi dilihat sebagai ujian daripada Ilahi. Rasuah dan gelap duit semata-mata mahu kaya tanpa mengira keberkatan di dalam rezeki.


Hakikatnya, itulah dia natijahnya, banyak kemusnahan yang terjadi apabila iman yang mahal itu sudah ditolak ke tepi. Iman sudah jadi picisan bagi manusia yang tidak mengenang budi Tuhan hari ini!


Kasihanilah iman,

Kasihanilah ia bukan kerana lemahnya ia, tetapi kasihanilah ia kerana semakin nazak dan mungkin sudah matinya ia di dalam hati diri manusia. Iman tidak dapat dilihat, tetapi manusia yang mempunyai mata hati pasti sedar akan sakitnya iman di hujung zaman ini. Menangis ia. Meraung ia. Meronta-ronta ia. Meminta-minta ia untuk dilepaskan diri daripada dibelenggu nafsu manusia. Dibelenggu kemaksiatan manusia. Ia sudah tidak tahan dengan dosa-dosa kita! Ia mahu dibebaskan daripada penjara ‘melebihkan cinta dunia’!


Maka wahai kaum yang memiliki hati,

"Indeed, it is with the remembrance of ALLAH that the hearts enter into a state of tranquility"


Usahakanlah dirimu untuk menjaga iman di dalam hati itu. Bajai hati yang beriman itu. Kuatkan dirimu untuk bersolat agar subur kembali ia. Sedekahkanlah zikruLLAH untuknya. Berwudhu’lah untuk mensucikan dirinya. Tadabburlah Al-Qur’an serta alam untuk menerangi ia kembali.

Usahalah kamu ke atas kehidupan iman kamu! Jangan biarkan dia menangis, kerana yang ditakuti dalam ia menangis, ia semakin sakit, sangat boleh jadi kemudian iman itu mati!


Oleh itu, pujuklah hati ini. Pujuklah hati untuk menangis memikirkan hakikat iman di akhir zaman ini!


Menangislah! Menangislah wahai manusia akhir zaman! Menangislah ke atas iman yang kian mati itu!


Wassalam,


Ibn ‘AbdiLLAH As-Sarawaki,

10.40 pm,

18 Mei 2008, Isnin,

Bintulu, Sarawak.

May 15, 2009

Jemputan : Forum Perdana

May 11, 2009

Ziarah 'AMAL' ke Ulu Kota kali ke-2

Rakan-rakan yang menyertai program ziarah saudara kita
Ulu Kota pada 1-3 Mei 2009 yang lalu

Pertamanya, ucapan JAZAKALLAH kepada semua peserta yang sanggup mengorbankan masa, harta dan keluarga demi menjayakan program ziarah ke Ulu Kota, Pakan pada 1 hingga 3 mei 2009. Moga Allah memilih kita lagi untuk misi dakwah dan kebajikan pada masa akan datang. Insyaallah.

Semangat kombinasi golongan veteran dan baru dalam mengerakkan usaha ziarah kali ini kian “keras”, kerana masing-masing sedar tentang kepentingan dakwah di kawasan pedalaman Sarawak. Asbab pergorbanan antum, islam kian menyinar diufuk timur.

Alhamdulillah, 1 hingga 3 Mei 2009 gabungan BIC dan AMAL Miri, Sibu Serta Sarikei menggorak langkah seterusnya bagi memantapkan hubungan silaturrahim dengan saudara kita di Ulu Kota, Pakan Sarikei.

Program 2 hari 1 malam di Ulu Kota rasanya tidak cukup bagi mereka yang sudah mengenal erti dakwah. Keadaan perjalanan yang agak mencabar sehingga tidak putus kalimah zikrullah dibacakan, terkumat-kamit mulut peserta kerana memuji betapa indahnya kebesaran ALLAH s.w.t, sesekali pengharapan terus diserahkan kepadaNya bulat-bulat kerana perjalanan ini, jika tersilap langkah jalannya mungkin ada dikalangan peserta rombongan yang tidak dipilih oleh ALLAH s.w.t untuk balik ke pangkuan keluarga.

Tetapi itu bukan menjadi alasan kepada pendokong gerak kerja dakwah, sukar sekalipun diterjah juga. Peserta paling veteran kali ini adalah Hj. Masaat dari Miri. Beliau dikagumi kerana telah berusia menjangkau 70 tahun tapi masih bersemangat seperti usamah bin zaid. Kata-kata beliau “dakwah tiada pencen” menyuburkan hati-hati kami untuk meneruskan langkah ini untuk meneruskan perjalanan tanpa perlu gentar dengan halangan yang bakal akan muncul.

Nama berita bala indai ?” (apa khabar wahai kaum ibu-ibu sekalian) itulah kata-kata awal yang disuarakan pada hari pertama oleh presiden AMAL Cawangan Sarawak Saudara Mukhtar Suhaili. Kehadiran kami disambut dengan hati gembira bercampur celaru oleh penduduk kampung, mana tidaknya sebelum tiba ke destinasi kami mendapat penggilan dari isteri ketua kaum saudara baru menyatakan ayahnya telah meninggal dunia, tetapi 3 jam selepas itu mendapat panggilan yang kedua menyatakan ayahnya “sedar” kembali. Subhanallah... maha besarNya kebesaranMu. Inilah satu pengalaman yang banyak mendidik kami agar sentiasa untuk bermuhassabah diri tentang persediaan menghadapi saat kematiaan. Alangkah gembiranya kami pak Ajang ( ayah kepada isteri Abang Azhar) yang disangka telah meninggal dunia, mampu bersama kami sehingga program ziarah ini tamat. Walaupun uzur tetapi senyuman yang diukirnya tetap menjadi pujaan hati kami.

Tibanya di perkampungan tersebut, Saudara Zahari Deli selaku ketua rombongan mula menyusun atur perjalanan gerak kerja dengan pembahagian tugas yang telah dirancang. Berkat bantuan daripada sahabat-sahabat, beliau mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Walaupun baru baginya dalam menjalankan aktiviti kebajikan ini, tetapi segalanya berjalan dengan lancar.

Ziarah kali ini, tidak menekankan elemen ceramah atau teori semata-mata. Antara aktiviti yang dijalankan bersama penduduk kampung termasuklah praktikal wudhu’, praktikal solat dari segi perlakuan, kursus ringkas pengurusan jenazah bagi saudara baru, kursus sembelihan, perlawanan persahabatan sepak takraw bersama penduduk bukan Islam di rumah panjang yang berdekatan. Aktiviti ini dijalankan mengikut keputusan mesyuarat ahli rombongan kerana lebih utama kiranya menjalankan aktiviti yang diperlukan oleh penduduk kampung.

Terasa kagum bila mana melihat sendiri keadaan disini. Persekitaran yang tenang mata memandang, apabila malam, terasa kedinginannya sampai ada yang boleh terkeluar dari mulutnya “sorry geng, lupak tutup aircond”. sejuk diwaktu pagi terasa sampai ke tulang sum-sum. Sambutan anak-anak kecil, walaupun kecil tetapi comel semuanya kerana sepanjang program anak-anak muslimat yang kecil tidak terasa janggal untuk bertudung. Terima kasih diucapkan kepada ahli rombongan muslimah yang mengikuti ziarah yang pertama dahulu telah mengajar bagaimana kaedah menjadikan anak-anak kecil muslimin dan muslimah menjadi anak yang soleh dan solehah.

Penyampaian sumbangan berupa wang tunai dan barang-barang keperluan adalah acara terakhir program ini. Sumbangan yang diberikan sekurang-kurangnya dapat membantu sedikit keperluan penduduk kampung. Semoga semangat, harta,masa yang dikorbankan oleh peserta-peserta rombongan ziarah pada kali ini terus istiqamah dan tidak jemu untuk berdakwah dan berkebajikan kepada masyarakat. InsyaAllah.

Berikut adalah gambar-gambar sepanjang program ziarah kedua ke Ulu Kota Pakan, Sarikei yang telah dijalankan.

Perjalanan yang terpaksa melalui beberapa halangan dan rintangan

Hanya mereka yang mempunyai keazaman dan komitmen yang tinggi
sahaja mampu sampai untuk menyampaikan dakwah Islam

Belajar menyembelih ayam, antara aktivit praktikal yang dijalankan

melebarkan dakwah dengan masyarakat rumah panjang yang masih
belum menerima Islam


Rumah penempatan mereka yang serba sederhana

Kesukaran untuk mendapatkan sumber air

Masak lauk yang dibekalkan oleh seorang penderma dari Bintulu

antara masyarakat Islam Ulu Kota

menjamu selera bersama masyarakat Islam Ulu Kota

mas'ul program ' Zahari Deli' bersama dengan sebahagian kaum ibu

Kita mendoakan semoga mereka ini akan diberi kekuatan iman yang teguh untuk untuk menghadapi segala cabaran dan rintangan yang mendatang. Di pihak kami insyallah akan membantu dengan kekuatan dan kemampuan yang ada. Bagi mereka yang telah membantu jawatankuasa ini, diucapkan jazakumullah khukhairan khathira. Semoga Allah membalas budi baik kalian. Sehingga bertemu lagi. Insyallah.

May 9, 2009

JAKSA Berjaya Laksanakan QTC 2009

Jawatankuasa Sahsiah & Akademik (JAKSA ), Unit Pendidikan Islam PPD untuk tahun 2009 ini telah berjaya menganjurkan Qiyadah Training Course ( QTC ) yang telah diadakan pada 24 - 26 April 2009 yang lalu. Program yang bertujuan untuk mencungkil bakat kepimpinanan dan melatih bakal pemimpin sekolah ke arah yang lebih bertaqwa dan beketrampilan mulia.

Tema program ' Ke Arah Melahirkan Pemimpin Intelek dan Bertaqwa ' yang telah diadakan di Kelab Kidurong Bintulu dengan usaha Tuan Haji Mohd Hassan Sirat. Antara objektif program ini ialah:
  1. Menanam jiwa kepimpinan Islam kepada pelajar
  2. Membimbing pelajar ke arah kecemerlangan sahsiah dan akademik
  3. Berkongsi idea, fikiran dan pengalaman dari pemimpin persatuan pelajar Islam seluruh bahagian tentang pengendalian tugas kepimpinan.
  4. Menambah serta meningkatkan kualiti kepimpinan, asas pemimpin, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah berdasarkan panduan Islam

Pengarah program Saudara Nik Mohd Lizam Nik Yahya, seorang guru kaunseling di SMK Bintulu serta seluruh kepimpinan JAKSA mengucapkan terima kasih kepada semua guru-guru yang terlibat menjayakan program QTC 2009 ini. Kepada semua pelajar yang telah terpilih menyertai program tersebut, di harap dapat terus istiqamah di dalam menjalankan urusan kepimpinan di sekolah masing-masing. Insya Allah di pihak JAKSA akan turun ke sekolah untuk memberi pemantauan dan bimbingan kepada pelajar untuk menguruskan sesebuah persatuan di sekolah masing-masing.

Sesunggunya, JAKSA amat berperanan membantu dari sudut sahsiah individu ke arah kejayaan , bukan sahaja dari sudut akademik, tetapi yang lebih penting sahsiah diri.

May 4, 2009

Aiman Abd Halim Masih Dirawat

Makluman kepada semua sahabat yang belum mengetahui bahawa anak sahabat kita iaitu Ustaz Abd Halim telah dimasukan ke wad kanak-kanak kerana demam panas. Ketika dihubungi malam ini, Ustaz Halim memaklumkan bahawa anaknya masih belum dapat keluar.

Suka penulis maklumkan disini bahawa, kepada sesiapa yang berkelapangan dan masih belum menjengguk Aiman, bolehlah berbuat demikian di wad kanak-kanak, Hospital Bintulu. Difahamkan keadaan suhu badan Aiman tidak menentu yang menyebabkan Aiman masih belum dapat keluar dari wad berkenaan.

Marilah kita mendoakan agar kesihatan Aiman akan sihat seperti sediakala supaya urusan keluarga Ustaz Halim akan berjalan seperti biasa.

sewaktu Ierfan menziarahi Aiman di Hospital Bintulu pada pagi semalam (Ahad)

May 3, 2009

Mesyuarat Agung ' AMAL ' Dwi Tahunan

Kelana Jaya : 25 April, Yayasan Amal Malaysia ( AMAL ) telah berjaya mengadakana mesyuarat agung dwi tahunan bagi kali ke 5 di Dewan Sri Jugra, Komplek Tabung Haji Kelana Jaya. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Ustaz Hassan Syukri selaku penasihat AMAL Malaysia.

Presiden AMAL Malaysia sedang memberikan ucap utama sewaktu majlis perasmian

Perwakilan Sarawak yang dapat hadir


Antara perwakilan yang hadir


Seramai hampir 180 orang hadir ke mesyuarat tersebut yang terdiri dari pemimpin masyarakat, pemimpin NGO, perwakilan dan pemerhati. Sebanyak 14 Cawangan seluruh negara telah menghantar Perwakilan. Negeri Sarawak buat julungkalinya menghantar wakil pada mesyuarat kali ini. Dianggotai oleh 6 orang wakil yang boleh dianggap paling muda sepanjang tempoh mesyuarat diadakan. Keunikan 2 negeri dari kepulauan borneo iaitu dar Sabah dan Sarawak, mendapat tepukan gemuruh dari perwakilan kerana mampu melaksanakan tugas-tugas dakwah dan kebajikan dengan prestasi yang membanggakan sehingga membolot 2 anugerah khas walaupun diketahui 2 negeri tersebut merupakan anak bongsu yang baru dilahirkan dalam Yayasan Amal.


Mesyuarat yang diadakan setiap dua tahun sekali ini berjaya diadakan dengan mesra dan mahabbah di kalangan sesama ahli, selaras dengan motto AMAL Malaysia ’Beramal Kerana Allah'.


Kutipan ketiga terbanyak untuk Palestine Cawangan Sarawak sebanyak RM53,000.00


Timbalan Presiden AMAL SARAWAK Ustaz Abdul Halim Mewakili Sarawak

untuk menerima Anugerah Khas – Kreatif 2007-2009


Sempena mesyuarat tahun ini, diadakan beberapa aturcara antaranya penyerahan sumbangan dana untuk Tabung Amanah Palestin.

Tempat Pertama : Cawangan Terengganu - Rm331,000.00,

Tempat Kedua : Cawangan Selangor - Rm113,000.00

Tempat Ketiga : Cawangan Sarawak Sebanyak Rm53,000.00.


Manakala kategori Cawangan Terbaik 2007-2009, Cawangan Selangor ditabalkan Cawangan Terbaik 2007-2009, manakala Cawangan Sarawak mendapat Anugerah Khas – Kreatif 2007-2009, Cawangan Sabah mendapat Anugerah Khas – Aktif 2007 – 2009,manakala Cawangan Pahang mendapat Anugerah Khas – Qurban 2008/1429H. Semua pemenang menerima sijil penghargaan dan cenderahati.


Manakala bagi pemilihan Jawatankuasa Pusat bagi sessi 2009 – 2011 pula, para perwakilan mengekalkan penyadang sessi lepas bagi jawatan utama tanpa ditandingi:-


Presiden : Hj. Husin b. Ismail

Timbalan Presiden : Hj. Jamuliddin b. EliasNaib-naib Presiden

Naib Presiden 1 : Dr. Hj. Abd. Rani Osman,

Naib Presiden 2 : Dr. Hj. Mohd Hamdan b. Mohd Khalib

Naib Presiden 3 : Dr. Hjh. Halimah Ali bt. Abdullah.


6 orang Ahli Jawatankuasa yang dipilih oleh perwakilan melalui undi sulit sebagaimana berikut:-


· Abd. Hamid Seman,

· Mohamad Misbahul Munir Masduki,

· Ustaz Jamsari Marsom, Hj. Zaman Abdullah,

· Azri Mohd Arish dan Prof. Dr. Hashimi Bohari.

· Sdr. Abd. Hamid Seman dan· Sdr. Hj. Zaman Abdullah

dikekalkan jawatan asal sebagai Ketua Setiausaha dan Bendahari Pusat

oleh mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat yang diadakan sebaik selesai

mesyuarat agung tersebut.


Sebagaimana yang diketahui, kepimpinan yang telah diputuskan dalam mesyuarat pada kali ke-5 ini dianggotai gandingan muka baru dan lama. Perkara yang jelas pemilihan Jawatankuasa Pusat pada kali ini mampu untuk terus istiqamah melaksanakan amanah serta matlamat Yayasan AMAL Malaysia.


Zahari Bin Deli

Penolong Setiausaha 2

Yayasan Amal Cawangan Sarawak

zahari_deli@yahoo.com

 
Design by Free Wordpress Themes | Bloggerized by Free Blogger Templates | Walgreens Printable Coupons